[Tsaqafah] Benarkah Ayat-ayat Ini adalah Dalil Prinsip-prinsip Demokrasi dalam Al-Quran?
Penulis: Ustazah Rahmah
Demokrasi ialah sistem pemerintahan berdasarkan suara majoriti. Konsep pemerintahan demokrasi adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.
Ternyata, ada yang beranggapan walaupun ia berasal dari pemikiran Barat, demokrasi dianggap “Islami” atau selari dengan al-Quran dan hadis. Mereka juga mendakwa bahawa prinsip-prinsip demokrasi juga ada dalam Islam.
Contohnya, dalil dalam al-Quran iaitu yang pertama, kekuasaan sebagai amanah (Surah An-Nisa: 58); kedua, berkaitan dengan musyawarah (Surah Ali Imran: 159); ketiga, persoalan keadilan (Surah An-Nisa: 135, An-Nahl: 90); dan keempat, tentang persamaan (Surah Al-Hujurat: 13). (Sumber: Harakatuna).
Persoalannya, benarkah nas-nas tersebut berkaitan dengan demokrasi? Bagi menjawab persoalan tersebut, sudah tentu kita mesti mengkajinya secara mendalam.
Bantahan terhadap Dalil-Dalil yang Didakwa sebagai Prinsip Demokrasi
Pertama, kuasa adalah amanah untuk dilaksanakan mengikut hukum Allah bukan hukum buatan manusia.
Perintah untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak, ada dalam Surah An-Nisa ayat 58,
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Firman Allah SWT dalam ayat tersebut tidak tepat jika didakwa sebagai salah satu prinsip demokrasi. Memang benar ayat tersebut memerintahkan amanah mesti disampaikan kepada ahlinya atau kepada yang berhak. Namun, amanah yang dimaksud dalam ayat tersebut adalah amanah yang sesuai al-Quran dan hadis. Jika amanah itu berbentuk kekuasaan bererti ia mesti dilaksanakan mengikut hukum Allah bukan hukum buatan manusia.
Dalam Mukhtashar Ibnu Katsir menjelaskan bahawa yang dimaksud dengan “amanah” adalah pelbagai kewajipan manusia secara umum kepada Allah seperti solat, zakat, puasa, haji, menunaikan nazar. Demikian juga, hubungan sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain seperti bermuamalah sama ada jual beli, sewa menyewa dan sebagainya.
Ringkasnya, amanah adalah hubungan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia yang diatur oleh hukum Allah bukan hukum buatan manusia. Dengan demikian, amanah adalah kewajipan menurut perintah Allah, sesuai dengan ajaran Islam.
Oleh itu, semua amanah mesti ditunaikan. Sesiapa yang tidak menunaikannya di dunia atau dia mengkhianati amanah, kelak di akhirat akan ditagih dan mendapat balasannya. (Ali ash-Shabuni, Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir, Juz I, hlm. 405).
Bahkan Imam Al-Qurthubi menegaskan bahawa amanah adalah merangkumi perkara-perkara hukum yang terkandung dalam syariat Islam secara menyeluruh. (Al-Qurthubi, Tafsir Al-Qurthubi, Juz V, hlm. 255).
Dengan demikian, jelaslah bahawa kekuasaan adalah amanah untuk dilaksanakan mengikut hukum Allah, bukan hukum buatan manusia.
Allah SWT berfirman dalam Surah Yusuf ayat 40,
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ
“Sesungguhnya, (penetapan) hukum itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus.”
Kedua, musyawarah hanya pada perkara yang mubah, bukan dalam penetapan hukum atau undang-undang.
Mereka mendakwa bahawa ayat 159 dari Surah Ali Imran adalah prinsip musyawarah dalam demokrasi, bahkan sebahagian umat Islam menganggap demokrasi sama dengan musyawarah. Mereka menggunakan ayat tersebut sebagai dalilnya.
وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ١٥٩
“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Dakwaan ini tidak tepat kerana musyawarah berbeza dengan demokrasi. Perintah bermusyawarah dalam semua perkara, termasuk urusan kenegaraan dan menyelesaikan masalah dalam Islam berbeza dengan demokrasi.
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan dalam kitab Syakhsiyyah Islamiyyah Juz I mengenai musyawarah, iaitu sebagai pengambilan pendapat dalam Islam, “Jika pada masalah yang hukumnya mubah, maka boleh dimusyawarahkan dan boleh dengan suara terbanyak. Untuk masalah penetapan hukum, peraturan, dan undang-undang, maka diserahkan kepada al-Quran dan hadis. Adapun jika berkait dengan kepakaran tertentu, maka diserahkan kepada ahlinya.”
Hukum Islam adalah untuk dilaksanakan, bukan untuk dimusyawarahkan. Hasil dari penerapan hukum Islam sudah pasti membawa maslahat dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Ini sebagaimana Syeikh Taqiyuddin dalam kitab Syakhsiyyah Islamiyyah Juz III menjelaskan bahawa adanya syariat mendatangkan rahmat atau solusi bagi manusia. Maksudnya, dengan melaksanakan syariat Allah secara keseluruhan, manusia akan mendapat rahmat dan manfaat.
Jadi, adanya syariat adalah untuk dilaksanakan bukan dimusyawarahkan. Akibat daripada pelaksanaan tersebut, manusia akan mendapat manfaatnya. Seluruh peraturan yang berasal dari al-Quran dan hadis akan membawa kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman dalam Surah An-Anbiya ayat 107,
وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧
“Dan tidaklah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”
Ketiga, adil ialah jujur dalam bersaksi, mentauhidkan Allah dan menerapkan hukum Islam.
Mereka mendakwa bahawa ayat 135 dari Surah An-Nisa sebagai prinsip keadilan dalam demokrasi.
۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.”
Dakwaan bahawa ayat 135 dari Surah An-Nisa sebagai prinsip keadilan dalam demokrasi adalah tidak benar. Perhatikan tafsiran yang berkaitan dengan adil. Maksud “adil” dalam ayat ini menurut Imam Jalaluddin adalah menjadi saksi yang jujur dan memihak kepada yang benar.
Perintah untuk menjadi penegak keadilan bermaksud menegakkan hukum-hukum Allah kerana hanya hukum Allah yang mampu membawa kepada keadilan.
Cuba perhatikan ayat 90 dari Surah An-Nahl berikut,
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”
Demikian juga, tidak benar bahawa ayat 90 dari Surah An-Nahl didakwa sebagai dalil keadilan dalam demokrasi. Perhatikan tafsiran surah tersebut.
Ibni Abbas dalam Tanwir Miqbas min Tafsir Ibnu Abbas menjelaskan bahawa sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil, iaitu mentauhidkan Allah dan berbuat kebajikan, yakni dengan melaksanakan kewajipan-kewajipan dari Allah, berbuat baik kepada manusia, memberi kepada kaum kerabat, bersilaturrahmi dan Allah melarang dari perbuatan keji, iaitu maksiat secara keseluruhan, kemungkaran, iaitu tidak diketahui/tidak diajarkan dalam syariat Islam dan sunnah Rasulullah serta permusuhan yang panjang.
Keempat, semua manusia adalah sama, yang membezakan hanyalah ketakwaannya.
Mereka mendakwa bahawa ayat 13 dari Surah Al-Hujurat merupakan prinsip persamaan dalam demokrasi. Ini tidak tepat. Islam memang memandang semua komuniti masyarakat adalah sama dan sebagai komuniti manusia secara utuh. Tidak ada perbezaan suku bangsa dan ras.
Namun, Islam membezakannya dari sisi ketakwaan. Di sinilah penekanan kemuliaan dan penghargaan Allah hanya kepada orang-orang bertakwa (mukmin), iaitu orang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Dari sini, hanya penyelesaian masalah dengan hukum Islam yang mampu menyelesaikan semua permasalahan manusia secara tuntas dan memberi maslahat kepada manusia.
Dalam al-Quran ditegaskan, tidak ada yang lebih mulia kecuali kerana ketakwaan iaitu orang yang mampu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dalam segala urusan, baik urusan dunia mahupun akhirat.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13,
إِن أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 102,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٢
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”
Imam Zamakhsyari menafsirkan “benar-benar takwa” bermaksud benar-benar melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. (Imam Zamakhsyari, Tafsir al-Kasysyaf, Juz I, hlm. 306).
Kesimpulan
Dengan demikian, dakwaan keempat-empat prinsip tadi [kekuasaan sebagai amanah (Surah An-Nisa: 58), musyawarah (Surah Ali Imran: 159), keadilan (Surah An-Nisa: 135, An-Nahl: 90), dan persamaan (Surah Al-Hujurat: 13)] bahawa semuanya dianggap sebagai dalil demokrasi adalah tidak benar.
Oleh itu, wajib kembali kepada pemahaman yang benar bahawa yang berhak menetapkan hukum hanyalah Allah, manusia hanya perlu menerapkan hukum syarak. Namun, bukan bererti tidak boleh bermusyawarah kerana bermusyawarah dibenarkan hanya dalam urusan yang mubah sahaja.
Demikianlah, orang-orang yang mengambil hukum dan solusi yang tidak berasal dari Allah, tidak akan mendapat penyelesaian yang baik untuk masalah mereka malah menimbulkan masalah lain.
Bahkan, mereka termasuk orang-orang yang zalim, iaitu orang yang tidak mengambil penyelesaian daripada hukum Allah (Al-Quran dan Hadis). Mereka tidak akan mendapat sesuatu apa-apa, kecuali kerugian di dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Israk ayat 82,
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارٗا ٨٢
“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar (solusi) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman; dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
Syeikh Taqiyuddin menjelaskan dalam Syakhsiyyah Islamiyah Juz III hlm. 365, ” … Maka adanya Rasul adalah rahmat, adanya Al-Quran adalah ubat (solusi) dan rahmat. Semua itu menunjukkan bahawa sesungguhnya syariat mendatangkan rahmat (maslahat), iaitu hasil yang diperoleh dari pelaksanaan syariat.”
#Fokus
#Tsaqafah
#Demokrasi
#Dalil-Dalil
#HukumSyariat
#AlQuranDanHadis