[Soal Jawab] HUKUM JAMBANGAN WANG
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
Ustaz, izinkan saya bertanya tentang hukum jambangan wang yang semakin popular dan menjadi kebiasaan. Hari ini, sejambak wang digunakan sebagai hadiah untuk hari lahir, seminar penyelidikan, seminar proposal atau perkara-perkara seumpama ini. Sedangkan wang merupakan salah satu barang riba pada hari ini. Apakah penjelasan mengenai perkara ini? Mohon penjelasannya. Jazakumullahu khairan. (Hamba Allah)
Jawapan:
Memang benar, mata wang semasa iaitu wang kertas (fiat money, al-nuqûd al-waraqiyyah) seperti rupiah Indonesia, ringgit Malaysia, dolar AS, riyal Saudi, yen Jepun dan lain-lain, disamakan hukumnya dengan barang riba berbentuk emas (dinar) dan perak (dirham). Ini kerana wang kertas mempunyai fungsi yang sama dengan dinar dan dirham pada zaman Rasulullah SAW iaitu fungsi al-naqdiyyah iaitu sebagai alat tukar (wang), dan fungsi al-tsamaniyyah iaitu sebagai harga untuk menilai pelbagai barangan dan upah untuk menilai pelbagai perkhidmatan. [Abdul Qadîm Zallûm, Al-Amwâl fî Daulah Al-Khilâfah, hlm. 160-161].
Oleh itu, apabila satu mata wang ditukar dengan mata wang lain, maka wajib mengikuti hukum syariah mengenai hukum pertukaran wang (sharaf), baik pertukaran mata wang yang sama jenis (contohnya ringgit dengan ringgit) mahupun pertukaran jenis wang yang berlainan (contohnya ringgit dengan dolar AS). Hukum syarak untuk pertukaran mata wang yang sama jenis wajib memenuhi dua syarat; pertama, ia mestilah sama nilai (at-tamâtsul), atau dengan kata lain tidak boleh ada penambahan (at-tafâdhul). Kedua, mesti dilakukan secara tunai (tidak boleh ditangguhkan), iaitu penyerahan (serah terima) dilakukan pada majlis akad (al-taqâbudh fî majlis al-‘aqad). Adapun bagi pertukaran mata wang yang berbeza jenis, hanya satu syarat saja yang perlu dipenuhi iaitu ianya berlaku secara tunai. [Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhâm Al-Iqtishâdi fî al-Islâm, hlm. 255-256].
Adapun hukum bagi jambangan wang, jika wang itu berasal dari pembuat jambangan wang (milik pembuat jambangan wang), hukumnya jelas haram, kerana terjadinya riba. Kerana hakikat yang berlaku ialah aktiviti pertukaran wang (sharaf) antara mata wang yang sama jenis (ringgit dengan ringgit ) tetapi disertai dengan penambahan (at-tafâdhul). Maka pertukaran antara wang yang sama jenis yang sepatutnya diwajibkan berlaku dengan wang yang sama nilainya (at-tamâtsul), tetapi sebenarnya menjadi nilai yang tidak sama kerana adanya penambahan.
Sebagai contoh, jambangan wang dengan wang asli RM10 sebanyak 10 keping (bernilai RM100), dijual dengan harga RM150 oleh penjual jambangan wang. Apabila berlaku akad jual beli jambangan wang, pembeli yang sepatutnya menyerahkan RM100, ternyata memberikan RM150. Jadi, di sini terdapat lebihan RM50 yang mungkin boleh dikatakan sebagai upah pembuatan bentuk jambangan bunga atau harga benda-benda yang membentuk gubahan jambangan tersebut. Ini masih tidak dibenarkan mengikut syariat Islam.
Dalil haramnya penambahan dalam pertukaran mata wang sama jenis adalah dari hadis Nabi SAW, di antaranya hadis dari Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لاَ تَبِيعُوا الذَّهَبَ بِالذَّهَبِ إِلاَّ مِثْلاً بِمِثْلٍ، وَلاَ تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ، وَلاَ تَبِيعُوا الْوَرِقَ بِالْوَرِقِ إِلاَّ مِثْلاً بِمِثْلٍ، وَلاَ تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ، وَلاَ تَبِيعُوا مِنْهَا غَائِبًا بِنَاجِزٍ.
“Janganlah kalian berjual beli emas dengan emas kecuali sama beratnya, dan janganlah kalian lebihkan yang satu atas yang lainnya. Janganlah kalian berjual beli perak dengan perak kecuali sama beratnya, dan jangan kalian lebihkan yang satu atas yang lainnya, dan janganlah kalian berjual beli sesuatu (emas/perak) yang tidak hadir (tidak ada di majlis akad) dengan yang hadir (ada di majlis akad).” [HR Bukhari, no. 2031].
Dari hadis tersebut, jelas bahawa apabila berlaku pertukaran wang yang sama jenis, iaitu emas ditukar dengan emas, atau perak ditukar dengan perak, wajib dilakukan dengan jumlah yang sama (at-tamâtsul), iaitu sama berat ( untuk emas atau perak), atau nilai yang sama (untuk wang kertas), dan tidak boleh ada penambahan (at-tafâdhul). Jika ada penambahan (at-tafâdhul), maka jelaslah bahawa penambahan tersebut adalah riba, iaitu riba fadhl. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhâm Al-Iqtishâdi fî al-Islâm, hlm. 258).
Penyelesaian agar jambangan wang itu halal secara syariah, terdapat beberapa alternatif, di antaranya:
Pertama, jambangan wang tersebut diisi dengan wang yang berasal dari pembeli, bukan dari penjual. Jadi pembeli hanya membayar perkhidmatan penjual yang bekerja menggubah wang dari pembeli ke dalam rangkaian jambangan wang.
Kedua, jambangan wang yang dijualbeli merupakan jambangan wang kosong (ini terdapat di sebahagian ‘online shop’). Jadi jambangan wang yang dibeli tidak mempunyai wang, yang ada hanyalah bekas atau tempat untuk mengisi wangnya. Jadi wangnya nanti akan ditambahkan sendiri oleh pembeli jambangan wang itu ketika ingin dihadiahkan kepada pihak lain.
Ketiga, jambangan wang yang dijualbeli adalah jambangan wang yang mempunyai wang mainan (ini terdapat di sebahagian ‘online shop’).
Rujukan :
- Abdul Qadîm Zallûm, Al-Amwâl fî Daulah Al-Khilâfah
- Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhâm Al-Iqtishâdi fî al-Islâm
- https://islamqa.info/ar/answers/208878/بيع-المال-المعمول-على-اشكال-فنية
#soaljawab #riba #jambanganwang