[Soal Jawab] Hukum Rasuah untuk Mendapatkan Hak
Oleh: Ustaz M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Ustaz, ada ulama mengatakan bahawa rasuah untuk mendapatkan sesuatu yang menjadi hak kita adalah dibolehkan. Misalnya, orang yang memohon kerja dan dia memang memenuhi semua kelayakan dan lulus ujian, kemudian dia memberi rasuah kerana diminta oleh pihak pemberi kerja. Kata sebahagian ulama keadaan ini dibolehkan. Namun, sebaliknya jika pemohon kerja itu sememangnya tidak layak dan tidak lulus ujian, tapi memberi rasuah agar diterima bekerja, itu diharamkan. Mohon pencerahannya.
Jawapan:
Memang ada sebahagian ulama yang membolehkan rasuah (risywah) untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman. Dalam kitab Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah disebutkan, “Haram hukumnya meminta, memberi, dan menerima rasuah, sebagaimana haram hukumnya menjadi perantara pemberi dan penerima rasuah.
Hanya saja, menurut jumhur ulama, boleh bagi seseorang merasuh untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman atau kemudaratan, dan dosanya dipikul oleh penerima rasuah, sedangkan pemberi rasuah tidak berdosa.” (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, XXII/222).
Di antara ulama yang membenarkan rasuah seperti itu adalah Imam Ibnu Hazm yang berkata, “Adapun orang yang terhalang dari haknya lalu dia memberi rasuah untuk menolak kezaliman yang menimpa dirinya, maka yang demikian itu mubah (boleh) bagi pemberi, sedangkan bagi penerima dia berdosa.” (fa-ammaa man muni’a min haqqihi fa-a’tha liyadfa’a ’an nafsihi al zhulma fa-dzaalika mubaahun li al mu’thi wa amma al aakhidzu aatsimun). (Ibnu Hazm, Al-Muhalla, VIII/118).
Imam Ibnu Taimiyah juga berpendapat serupa. (Lihat Ibnu Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, Juz XXXI hlm. 285, Juz XXIX hlm. 258, dikutip oleh Syeikh ‘Athiyah Muhammad Salim dalam kitabnya Al-Risywah, hlm. 35-36).
Dalil mereka adalah dalil yang men-takhshish (mengecualikan) keumuman hadis yang mengharamkan rasuah, di antaranya:
(1) Hadis bahawa Rasulullah saw. telah memberikan harta kepada peminta-minta, padahal harta itu akan menjadi api neraka bagi peminta-minta. Umar bertanya, “Lalu mengapa engkau tetap memberikan?” Rasulullah saw. menjawab,”Kerana mereka tetap saja memintaku dan Allah tidak menghendaki aku bersifat bakhil.” (HR Ahmad, No. 10739). (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al Fatawa, Juz XXIX hlm. 258);
(2) Pendapat Ibnu Mas’ud ra. yang memberi rasuah di Habsyah sebesar dua dinar agar dapat bebas melakukan perjalanan, dia berkata, “Dosanya bagi penerima, bukan pemberi.” Juga pendapat sebahagian tabiin, iaitu ‘Atha dan Al-Hasan. (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, XXII/222).
Namun, dalil di atas tidak dapat diterima kerana:
(1) Dalil pertama itu topik (maudhu’)-nya adalah pemberian harta kepada peminta-minta, bukan pemberian harta untuk rasuah, maka tidak dapat ditarik kesimpulan umum hingga mencakup topik rasuah. Kaedah ushuliyah menyebutkan: ‘Umuum al lafzhi fii khushush as sababi huwa ‘umuumun fii maudhuu’ al haditsah wa al su’aal wa laysa ‘umuuman fii kulli syai`in. (Keumuman lafaz dalil dalam sebab yang khusus adalah keumuman dalam topiknya dan pertanyaan [kepada Nabi saw.], bukan umum untuk segala sesuatu). (Taqiyuddin an-Nabhani, Al-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, III/242).
(2) dalil kedua itu berupa pendapat/ijtihad sahabat atau tabiin, padahal keduanya bukan sumber hukum yang muktabar (kuat). (Taqiyuddin an-Nabhani, ibid., III/417).
Jadi, dalil yang men-takhshish (mengecualikan) keumuman haramnya rasuah itu tidak dapat diterima sehingga pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah pendapat yang mengharamkan semua jenis rasuah, termasuk juga rasuah untuk mendapatkan suatu hak atau untuk menolak suatu kezaliman, berdasarkan keumuman hadis yang mengharamkan semua jenis rasuah.
Inilah pendapat yang dipilih oleh sebahagian ulama seperti Imam Syaukani dan Imam Taqiyuddin an-Nabhani, rahimakumullah. (Imam Syaukani, Nailul Authar, X/531; Taqiyuddin an-Nabhani, Al-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, II/333). Wallahualam.
#soaljawab #hukumrasuah #rasuah #hukumfikh