[Soal Jawab] Bolehkah Meninggalkan Identiti Islam dalam Berpolitik?
Soalan :
Bolehkah seorang muslim meninggalkan identiti keislamannya ketika dia berpolitik dan melakukan aktiviti politiknya?
Jawapan :
Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya agar memeluk Islam secara kaffah dalam seluruh aspek kehidupan,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [TMQ Al-Baqarah (2): 208]
Imam Al-Qurthubi menjelaskan, “Ketika Allah SWT menjelaskan kepada umat manusia, baik mukmin, kafir mahupun munafik, maka Dia (seolah) berfirman : Jadilah kalian dalam satu agama, berhimpunlah kalian dalam Islam dan berpegang teguhlah dengannya. Perkataan “as-Silmi” di sini membawa maksud Islam. Perkara ini dinyatakan oleh Mujahid dan diriwayatkan oleh Abu Malik dari Ibn Abbas.”
Kerana itu, ayat ini memerintahkan semua umat manusia untuk memeluk Islam secara kaffah. Ibn Abbas ra. menjelaskan, ayat ini ditujukan kepada orang Yahudi dan Nasrani agar memeluk Islam secara kaffah (menyeluruh). Maksudnya, jika orang Yahudi dan Nasrani saja diperintahkan untuk masuk Islam secara kaffah, orang Islam apatah lagi. Sudah pasti lebih wajib lagi.
Kerana itu Al-Qurthubi menjelaskan makna kaffah di dalam ayat ini. Pertama, menyeluruh, meliputi seluruh ajaran Islam. Kedua, menolak yang lain selain dari Islam. Dengan kata lain, orang yang telah memeluk Islam wajib mengambil Islam secara menyeluruh dan menolak yang lain selain Islam. Itulah yang dimaksudkan sebagai masuk Islam secara kaffah.
Pengertian inj diperkuatkan dengan firman Allah SWT,
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 85].
Oleh kerana itu, baik muslim mahupun bukan muslim, tidak akan diterima oleh Allah jika mengambil selain dari Islam sebagai agama. Orang muslim tidak dibenarkan untuk mengambil Islam, dalam masa yang sama, mengambil juga ajaran yang lain. Perbuatan itu juga tidak akan diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan memeluk Islam secara kaffah. Menyeluruh dan menolak yang lain selain Islam.
Dengan kata lain, seorang muslim wajib mengimani dan mengambil Islam secara utuh. Tidak boleh sebahagian-sebahagian. Pilih mana yang suka dan mudah saja (lihat Surah Al-Baqarah (2): 85)
Oleh kerana itu, haram hukumnya meninggalkan identiti Islam dalam perkara apa pun. Sepatutnya, identiti Islam perlu dipegang teguh oleh setiap muslim dalam seluruh aspek kehidupannya. Bukan hanya saat beribadah saja, tetapi juga ketika melakukan kegiatan lain seperti aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, politik, pemerintahan dan sebagainya.
Dalam konteks politik mahupun yang lain, di luar konteks ibadah, identiti Islam wajib dipegang teguh dan dijadikan identiti diri setiap muslim. Menurut Al-Allamah Al-Qadhi Syeikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani,
اَلسِّيَاسَة هِيَ رِعَايَة شُؤُوْنِ الأُمَّة دَاخِلِيا، وَخَارِجِيا وَتَكُوْنُ مِنْ قِبَلِ الدَّوْلَةِ وَالأُمَّةِ، فَالدَّوْلَة هِيَ الَّتِيْ تُبَاشِرُ هَذِهِ الرِّعَايَةِ عَمَلِيا، وَالأُمَّة هِيَ الَّتِيْ تُحَاسِبُ هَذِهِ الدَّوْلَة
“Politik adalah mengurusi urusan umat di dalam dan luar negeri. Hal itu dilakukan oleh negara dan umat. Negaralah yang melaksanakan pengurusan ini secara langsung, sedangkan umatlah yang memuhasabah negara.”
Menguruskan umat di dalam negara itu dilakukan oleh negara dengan cara menerapkan ideologi Islam (akidah dan syariat) secara kaffah dalam seluruh aspek kehidupan. Tugas umat adalah membetulkan atau memuhasabah jalan penerapan ideologi Islam ini jika berlaku penyimpangan. Menguruskan urusan umat Islam di luar negara adalah hubungan negara dengan bangsa, umat dan negara lain serta mengemban dan menyebarkan ideologi ke luar negara. Itulah politik luar negara, negara Islam.
Berpolitik iaitu menguruskan urusan umat di dalam dan luar negara dengan menerapkan Islam secara kaffah itu hukumnya wajib, baik dilakukan oleh negara mahupun umat. Ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis Nabi SAW,
كُلُّكُمْ رَاعٍ ومَسْؤُولٌ عن رَعِيَّتِهِ؛ فَالإِمَامُ رَاعٍ وهو مَسْؤُولٌ عن رَعِيَّتِهِ، والرَّجُلُ في أهْلِهِ رَاعٍ وهو مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ في بَيْتِ زَوْجِهَا رَاعِيَة وَهِيَ مَسْؤُولَة عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالخَادِمُ فِي مَالِ سَيِّدِه رَا ع وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Kalian semua adalah penggembala (pengurus), dan penanggungjawab atas rakyat (yang diurus)-nya. Seorang imam (pemimpin) adalah penggembala, dan dia yang bertanggungjawab terhadap rakyat (yang diurus)-nya. Seorang lelaki adalah pengurus keluarganya, dan dia yang bertanggungjawab terhadap keluarga yang diurusnya. Wanita adalah pengurus di dalam rumah suaminya, dan dia yang bertanggungjawab terhadap urusan keluarganya. Pembantu adalah pengurus harta tuannya, dan dia yang bertanggungjawab atas urusannya.”
Hadis ini menjelaskan tentang kedudukan setiap orang sebagai pelaku politik pada tahapnya. Masing-masing mempunyai kewajipan dan tanggungjawab terhadap apa yang diutuskannya. Itulah politik. Kerana itu, Syeikh Hisyam Abdul Karim Al-Badrani menyatakan, “Sesungguhnya tugas politik adalah tanggungjawab semua pihak di dalam masyarakat Islam sesuai dengan kedudukan mereka dalam kekuasaan atau untuk memuhasabah dan memberikan ketaatan untuk menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman.”
Jadi, bagaimana cara untuk mengurus urusan tersebut? Bagi kaum muslim, tidak ada cara lain kecuali dengan menggunakan Islam secara kaffah. Kerana itu, setiap muslim juga merupakan seorang politikus kerana politik dalam pandangan Islam adalah menguruskan urusan umat dengan syariat Islam, maka mutlak wajib menguasai fikih Islam dengan baik dan benar.
Seorang ahli fikih tidak boleh berhenti pada penguasaan hukum fikih saja, tetapi dia perlu sampai pada tahap pelaksanaan fikih ke dalam kehidupan. Barulah hukum fikih tersebut dapat diwujudkan dalam kehidupan. Jika tidak, hukum fikih tersebut hanya sebatas gagasan.
Begitu juga sebaliknya, seorang politikus yang tidak menguasai fikih tidak akan boleh menguruskan urusan umat dengan baik dan benar. Kerana itu, fikih dan politik dalam pandangan Islam, tidak dapat dipisahkan. Sebabnya, fikih adalah penyelesaiannya sedangkan politik adalah bagaimana cara melaksanakan fikih tersebut dalam kehidupan.
Kerana itu, berpolitik hukumnya fardhu sebagaimana solat, puasa, zakat, haji dan jihad. Sama-sama wajib, tidak boleh dibeza-bezakan. Demikianlah, fikih akan melekat dalam politik dan tidak boleh dipisahkan sekaligus menjadi identiti yang membezakan antara politik Islam dan juga bukan Islam.
Tetapi, ketika politik kaum muslim tidak menggunakan hukum syariat, maka politiknya tidak akan mempunyai identiti yang jelas, bahkan oportunis dan hipokrit. Inilah yang digambarkan dalam Al-Quran,
مُّذَبۡذَبِينَ بَيۡنَ ذَٰلِكَ لَآ إِلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِ وَلَآ إِلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِۚ وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ سَبِيلٗا ١٤٣
“Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 143].
Kerana itu, tidak boleh seorang muslim meninggalkan identitinya ketika berpolitik, apa pun alasannya. Sebaliknya, dia wajib terikat dengan hukum Allah syariat dalam segala aspek kehidupannya, bagaimanapun ujiannya, berat ataupun ringan. Wallahualam.
Sumber : https://muslimahnews.net/2022/09/17/11574/
#soaljawab #politik #PolitikIslam