[Soal Jawab] Islam Menolak Demokrasi
Oleh : K.H. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Sebahagian kaum muslim beranggapan demokrasi tidak bertentangan dengan Islam kerana bahan demokrasi adalah prinsip kekuasaan rakyat iaitu rakyatlah yang memilih pemimpin untuk memegang kekuasaan. Bagaimana pendapat ustaz?
Jawapan:
Memang ada yang berpendapat seperti itu contohnya Syeikh Yusuf Qaradhawi dalam kitabnya Min Fiqh ad-Dawlah. Saya katakan, pendapat ini ada benarnya pada satu segi. Namun, secara umum pendapat itu tetap tidak benar.
Ada benarnya kerana dari segi kekuatan atau pemerintahan, Islam memang memberikan kekuasaan itu menjadi milik umat. Inilah yang disebut prinsip as-sulthan li al-ummah. Dalilnya adalah hadis-hadis pembaiatan khalifah oleh umat. Jadi, memang ini sekilas mirip dengan prinsip demokrasi iaitu pemerintahan dari rakyat.
Namun, tetap ada bezanya iaitu dalam Islam, rakyat memilih penguasa untuk menjalankan syariat. Sebaliknya, dalam demokrasi rakyat memilih penguasa untuk menjalankan hukum buatan rakyat, bukan hukum syariat.
Jadi, pendapat Syeikh Yusuf Qaradhawi itu ada benarnya pada satu sisi, tetapi pendapat beliau secara umum saya anggap tetap tidak benar. Nampaknya beliau lupa memperhatikan prinsip lainnya dalam demokrasi iaitu kedaulatan rakyat yang justeru sangat terbalik dengan Islam.
Jika kedaulatan dikatakan ada di tangan rakyat, maksudnya kekuasaan tertinggi untuk menetapkan hukum ada di tangan manusia. Ini jelas sekali bertentangan dengan Islam kerana dalam Islam, yang berhak menetapkan hukum bukanlah manusia melainkan Allah SWT sahaja.
Ingat firman Allah, “In al-hukmu illa lilLah” [Surah Al-An’am (6): 57]. Jadi dalam Islam, kedaulatan bukan di tangan rakyat, tetapi di tangan syariat kerana syariat itu adalah wujud konkrit dari hak Allah sebagai pembuat hukum.
Ada juga yang berpendapat, demokrasi itu bahannya adalah musyawarah dan itu kan justeru disyariatkan?
Ramai yang berbicara seperti itu contohnya Presiden Republik Indonesia pertama, Soekarno. Dia pernah berkata demokrasi bagi umat Islam adalah musyawarah. Saya menentang Soekarno, juga menentang pendapat keliru seperti ini.
Pertama, kerana musyawarah dalam Islam itu tidak layak dibandingkan dengan demokrasi. Musyawarah bermaksud pengambilan pendapat menurut ajaran Islam (akhzdur ra’yi fi al-Islam). Adapun demokrasi adalah satu bentuk pemerintahan dari Barat.
Jadi, pada pendapat saya, membandingkan atau menyamakan musyawarah dengan demokrasi langsung tidak setaraf bagai langit dengan bumi. Sepatutnya demokrasi itu dibandingkan dengan sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah, bukan dengan musyawarah. Itu yang pertama.
Kedua, jika demokrasi dan musyawarah tetap juga dibandingkan, akan banyak perbezaannya. Dalam hal siapa yang turut berperanan, musyawarah berbeza dengan demokrasi. Al-Quran menegaskan, peserta musyawarah hanyalah muslim, bukan orang non-muslim.
Ayat “Wa syawirhum fi al-amri” (bermusyawarahlah kamu dengan mereka dalam segala urusan) [TMQ Ali Imraan (3): 159] dan juga ayat “wa amruhum syura baynahum” (dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka) [TMQ Asy-Syuraa (42): 38], menunjukkan sebenarnya kata “mereka” (hum) adalah merujuk kepada kaum muslim sahaja, tidak mencakup kaum non-muslim.
Sebaliknya, dalam demokrasi, siapa saja boleh berkuasa tanpa ada batasannya baik muslim mahupun non-muslim.
Ketiga, kriteria pendapat yang diambil juga berbeza. Dalam demokrasi, kriterianya adalah suara majoriti untuk semua permasalahan. Dalam Islam, kriterianya tidak selalu menggunakan suara majoriti.
Bagi permasalahan norma sederhana yang hukumnya mubah, memang digunakan suara majoriti. Tetapi, bagi permasalahan yang terkait hukum, suara majoriti tidak digunakan melainkan hanya dalil syarie iaitu dalil syarie mana yang paling kuat. Bagi masalah strategi yang memerlukan kepakaran sesuatu bidang, juga tidak digunakan suara majoriti melainkan pendapat yang benar datangnya dari para pakarnya.
Tetapi, dalam demokrasi, ada keterbukaan dan hak yang boleh memberikan ruang untuk memuhasabah, kesetaraan kesempatan dan rakyat boleh memperjuangkan haknya. Jadi, katanya lagi demokrasi itu tetap penting. Bagaimana pendapat ustaz?
Apa yang disebut sebagai keterbukaan, akauntabiliti dan sebagainya itu tidak dapat menjadi dalil atas untuk mengangkat sistem demokrasi atau dalil atas kebolehan umat Islam untuk turut berperanan dalam sistem demokrasi. Mengapa? Kerana perkara-perkara yang disebut tadi hanyalah masalah cabang dari masalah akarnya iaitu demokrasi.
Sistem demokrasi adalah sistem yang bertentangan dengan Islam, jadi walaupun permasalahan cabangnya tidak bertentangan dengan Islam, maka sistem itu tetap tidak boleh diambil atau diamalkan oleh umat Islam.
Analoginya begini, agama Kristian kononnya mengajarkan kasih sayang sesama manusia, mengajarkan keprihatinan kepada manusia. Pertanyaan saya, adakah boleh seorang muslim memeluk agama Kristian dengan alasan bahawa Islam juga mengajarkan perkara yang sama?
Tetap tidak boleh bukan? Kerana kasih sayang atau keprihatinan itu kan cuma persoalan atau ajaran cabang dalam agama Kristian yang secara lahiriah tidak bertentangan dengan Islam. Jadi, yang perlu kita perhatikan bukanlah persoalan cabangnya melainkan persoalan akarnya dalam akidah Kristian itu sendiri seperti teologi Triniti yang jelas-jelas kufur dan bertentangan dengan tauhid [Surah Al-Maidah (5): 72-73].
Jadi bagaimana hendak lakukan perubahan jika bukan melalui sistem demokrasi?
Perubahan seperti apa yang dimaksudkan? Jika yang dimaksudkan adalah perubahan yang bersifat sebahagian contohnya perubahan polisi atau budaya tertentu pada bahagian tertentu contohnya pada bahagian pertanian ataupun sosial, mungkin ada benarnya masuk demokrasi itu dikatakan penting.
Tetapi, jika yang dimaksudkan adalah perubahan menyeluruh iaitu dengan menggantikan sistem demokrasi kepada sistem Khilafah demi menerapkan syariat secara kaffah dan inilah yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam masa kini, maka terlibat dengan sistem demokrasi itu bukan saja tidak penting, tetapi justeru akan mempertahankan demokrasi yang sepatutnya segera digantikan dengan sistem Khilafah.
Jika kita tidak masuk dalam sistem demokrasi, katanya nanti keadaan umat akan bertambah buruk dan umat semakin terzalimi. Bagaimana ustaz?
Siapa yang kata? Mana buktinya? Itu kan cuma tanggapan yang tidak berdasarkan fakta sama sekali. Faktanya tidak demikian.
Justeru pada era reformasi yang katanya lebih demokratik berbanding era Tatanan Dunia Baru, contohnya rakyat Indonesia yang majoritinya umat Islam, keadaannya tidaklah lebih baik. Angka kemiskinan, hutang kerajaan, rasuah, keruntuhan akhlak, dominasi asing dalam politik dan ekonomi menjadi semakin menggila pada era reformasi sekarang. Sedangkan ramai orang Islam di parlimen dan kabinet.
Jadi, adakah dengan jumlah parti politik yang lebih banyak saat ini, keadaan umat menjadi lebih baik? Adakah dengan adanya orang Islam dalam badan perundangan yang dipilih terus oleh rakyat, keadaan umat menjadi lebih baik? Adakah dengan adanya umat Islam sebagai Perdana Menteri, wakil Perdana Menteri, Ketua Daerah, membuatkan keadaan umat lebih baik? Tidak bukan?
Tetapi jika kita tidak masuk demokrasi, nanti tampuk pemerintahan akan dikuasai oleh non-Muslim serta orang-orang yang zalim dan itu akan mendatangkan dharar (bahaya) bagi umat Islam. Sedangkan dharar kan perlu dihapuskan?
Memang benar ada kaedah fikih, izalah, dharar fardh(un), menghilangkan bahaya adalah fardhu. Namu, tidak tepat kalau kaedah ini diterapkan untuk mewajibkan kita turut serta dalam demokrasi demi mencegah bahaya berupa dominasi non-Muslim atau orang yang zalim. Mengapa? Ada dua sebab.
Pertama, kerana walaupun benar dominasi non-Muslim atau orang yang rosak adalah bahaya bagi umat Islam, perlu diingat bahaya itu tidak muncul dengan sendirinya melainkan kerana adanya sumber bahaya iaitu sistem demokrasi itu sendiri. Sistem demokrasilah yang memberikan ruang kepada mereka untuk menimpakan bahaya kepada umat Islam. Jadi, sistem demokrasi itulah yang semestinya lebih patut dan lebih utama untuk dihilangkan, bukan bahaya-bahaya yang lain sebagai akses sistem demokrasi.
Jadi, kaedah fikih tadi semestinya diterapkan untuk mewajibkan penhapusan sistem demokrasi sebagai induk bahaya, bukan untuk mewajibkan penyertaan umat dalam sistem demokrasi untuk sekadar menghilangkan bahaya-bahaya lain yang muncul sebagai akibat dari sistem demokrasi.
Kedua, jika sistem demokrasi berpotensi menimbulkan bahaya seperti dominasi non-Muslim atau orang yang rosak, ini bermaksud sistem demokrasi telah menjadi sarana (wasilah) pada sesuatu yang haram iaitu munculnya bahaya. Jadi, kaedah fikih yang relevan untuk menghukum sistem demokrasi adalah, al-wasilah ila al-haram muharramah (segala sarana menuju keharaman maka hukumnya haram). Jadi, sistem demokrasi itu hukumnya haram kerana dapat menimbulkan sesuatu yang haram iaitu bahaya yang berupa deminasi non-Muslim atau orang yang rosak.
Ada yang mengatakan bahawa kalau belum boleh diambil semuanya, maka jangan ditinggalkan semuanya. Ini kerana ada kaedah fikih, ma la yudraku kulluhu la yutraku kulluhu. Bagaimana ustaz?
Begini, penerapan kaedah itu ada syaratnya iaitu hanya boleh diterapkan untuk perbuatan-perbuatan halal yang bersesuaian dengan syariat, bukan untuk perbuatan yang diharamkan syariat. Jadi, tidak boleh diterapkan dalam kes, sebagai contoh, jika tidak mampu mencuri kereta, maka curilah cermin pandang belakangnya saja, jangan ditinggalkan semuanya. Adakah ini dibolehkan? Tidak bukan?
Jadi, kaedah tadi tidak boleh diterapkan untuk perbuatan yang diharamkan syariat. Oleh kerana itu, perlu dijawab lebih dahulu, masuk dalam sistem demokrasi, contohnya dalam kes seorang muslim menjadi anggota lembaga perundangan, adakah ia perbuatan yang dihalalkan atau diharamkan?
Menurut saya, hukumnya haram kerana haram hukumnya menetapkan hukum yang bukan syariat Islam. Kecuali jika keterlibatannya bukan untuk menerapkan hukum, tetapi hanya sekadar menjalankan fungsi pengawasan (muhasabah) dan untuk berdakwah, maka hukumnya boleh.
Jadi, jika terlibatnya seorang muslim dalam perundangan adalah perbuatan yang haram, tentu tidak boleh kita terapkan kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku kulluhu. Kekeliruan yang amat besar kalau kita menerapkan kaedah ini untuk membenarkan perbuatan kita yang sudah diharamkan syariat.
–
Bukankah dengan demokrasi pun boleh wujud peraturan-peraturan yang tidak bertentangan dengan Islam?
Yang wajib diamalkan umat Islam itu hanyalah hukum syariat. Apabila ada peraturan atau hukum undang-undang yang tidak bertentangan dengan Islam, tetapi peraturan itu tidak bersumber dari Al-Quran dan Sunnah, maka bagaimana pun status peraturan itu adalah tetap bukan hukum syariat.
Contohnya, di Rusia dulu pernah ada undang-undang yang melarang bunga bank. Adakah ini hukum syariat? Jelas sekali bukan kerana undang-undang itu tentu tidak bersumber dari Al-Quran dan Sunnah. Jadi, demokrasi tetap perlu kita tolak walaupun dengan demokrasi boleh wujud undang-undang yang dikatakan tidak bertentangan dengan Islam. Ini kerana peraturan yang diperlukan umat Islam adalah peraturan yang lahir dari Islam itu sendiri iaitu undang-undang yang hanya hukum syariat semata.
Masuk ke dalam sistem demokrasi itu hanya sebagai alat perjuangan, sedangkan secara sikap tetap menolak demokrasi. Bagaimana dengan pendapat seperti ini?
Bagi umat Islam, alat perjuangan itu perlu yang halal bukan yang haram. Menggunakan alat yang haram untuk mencapai tujuan yang halal, hukumnya tetap haram dan berdosa, tidak halal. Kaedah fikih menyebutkan, la yutawashshalu ila al-halal bi al-haram (tidak boleh mencapai yang halal dengan menggunakan sarana yang haram). Perkara ini disebutkan dalam kitab Ad-Da’wah ila al-Islam karya Syeikh Ahmad Mahmud halaman 101.
Jadi bagaimana kita boleh tetap memperjuangkan Islam, memperjuangkan nasib umat dan merealisasikan perubahan dan perbaikan masa depan?
Perjuangan yang sahih bukanlah melalui demokrasi, melainkan mencontohi Rasulullah SAW, iaitu dengan mengikuti jalan dakwah melalui aktiviti perjuangan politik (kifah siyasi) dan perang ideologi (shira’ fikri), serta berusaha melakukan thalabun-nushrah (mencari dukungan) dari pihak-pihak yang mampu menyerahkan kekuasaan untuk menegakkan Khilafah demi tegaknya syariat secara kaffah. Inilah satu-satunya cara yang wajib ditempuh umat. Tidak ada yang lain.
#soaljawab #demokrasisistemgagal #TegakKhilafah #terapislamkaffah