[Soal Jawab] Bolehkah Suami Memukul Isteri?
Oleh: Ustaz M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Ustaz, mohon penjelasan hukum syarak berkenaan suami memukul isteri. (Abdullah, Bumi Allah).
Jawapan:
Tiada perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha, bahawa boleh (jaiz) hukumnya suami memukul isterinya jika terdapat padanya tanda-tanda nusyuz (sikap tidak taat) kepada suami, contohnya keluar rumah tanpa izin suami, tidak mahu melayani suami padahal tidak ada keuzuran (misalnya haid atau sakit), atau tidak amanah menjaga harta suami, dan sebagainya [Abdurrahman Al Jaziri, Al Fiqh ‘Ala Al Madzahib Al Arba’ah, 4/487; Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al Islami wa Adillatuhu, 9/59; Al Mausu’ah Al Fiqhiyah Al Kuwaitiyah, 10/15; Imam Al Kasani, Bada`i’us Shana`i’, 3/613; Imam Nawawi, Al Majmu’, 16/445; Ibnu Qudamah, Al Mughni, 35/15; Imam Ibnu Hazm, Al Muhalla, 5/261].
Dalil dibenarkannya ialah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wanita-wanita yang kamu bimbang akan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka.” [TMQ an-Nisa (4): 34]
Ayat ini menunjukkan bahawa suami berhak mendidik isterinya yang menunjukkan gejala nusyuz dalam tiga tahap secara tertib seperti berikut:
Pertama, menasihati isteri dengan lembut agar kembali taat kepada suami, sebab mentaati suami adalah wajib atas isteri sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 228.
Kedua, memisahkan diri dari isteri di tempat tidurnya, iaitu tidak bersama dan tidak tidur bersama isteri, tetapi tidak boleh menelantarkan isteri. Langkah kedua ini dilakukan jika tahap pertama tidak berjaya.
Ketiga, memukul isteri. Langkah ini dilakukan jika tahap kedua tidak berjaya. [Wahbah Zuhaili, At Tafsir Al Munir, 5/51; M. Ahmad Abdul Ghani, Al ‘Adalah fi An Nizham Al Ijtima’i fi Al Islam, hlm. 67].
Namun, walaupun Islam membolehkan suami memukul isterinya, Islam menetapkan pukulan itu bukan pukulan yang keras, melainkan pukulan yang ringan. Imam Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan ayat tersebut dengan berkata, ”Pukulan di sini wajib berbentuk pukulan yang ringan (dharban khafifan), iaitu pukulan yang tidak menimbulkan bekas (dharban ghaira mubarrih). Ini sebagaimana penafsiran Rasulullah SAW terhadap ayat tersebut ketika pada Haji Wada’, baginda berkhutbah, “Jika mereka (isteri-isteri) melakukan perbuatan itu (nusyuz), maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menimbulkan bekas (dharban ghaira mubarrih).” [HR Muslim, dari Jabir bin Abdullah RA]. [Taqiyuddin an-Nabhani, An Nizham al-Ijtima’i fi al-Islam, hlm.153].
Ramai dari kalangan ulama menghuraikan bagaimana ukuran pukulan ringan tersebut. Pukulan itu tidak boleh menimbulkan luka, tidak boleh sampai mematahkan tulang, atau sampai merosakkan/mengubah daging tubuh (misalnya sampai lebam/tersiat). [Ibnu Hazm, Al-Muhalla, 5/261].
Pukulan itu bukan pukulan yang menyakitkan, juga mesti dilakukan pada anggota tubuh yang sesuai, misalnya bahu, bukan pada anggota tubuh yang terdedah atau membahayakan, misalnya perut. Jika menggunakan alat, tidak boleh alat yang besar seperti cambuk/tongkat, tetapi cukup dengan siwak (seperti berus gigi) atau yang seumpamanya. ([mam Nawawi al-Bantani al-Jawi, Syarah Uqudul Lujain, hlm. 5; Wahbah Zuhaili, At-Tafsir al-Munir, 5/55-56, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/329].
Islam juga menjelaskan haram hukumnya suami memukul/menampar wajah isterinya, selari dengan hadis Mu’awiyah al-Qusyairi RA, ”Bahawa Nabi SAW pernah ditanya seorang lelaki, ‘Apakah hak seorang isteri atas suaminya?’ Nabi SAW menjawab, ’Kamu beri dia makan jika kamu makan, kamu beri dia pakaian jika kamu berpakaian, jangan kamu pukul wajahnya, jangan kamu buruk burukkan dia, jangan kamu menjauhkan diri darinya kecuali masih di dalam rumah.’” [HR Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah]. [Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al Islami wa Adillatuhu, 9/310].
Walaupun memukul isteri itu dibenarkan atas sebab-sebab tertentu, tetapi yang lebih utama adalah memaafkan, iaitu tidak memukul isteri. Imam Syafie meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,”Orang-orang terbaik di antara kamu, tidak akan pernah memukul isterinya.” [Imam Syafie, Al-Umm, 5/1871].
Wallahu’alam.