[Fikrul Islam] Penjelasan As-Sunnah terhadap Al-Quran
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sebahagian besar ayat-ayat al-Quran datang secara umum (‘ammah), global (mujmalah), dan mutlak. (Dirasat fil Fikr al-Islamiy, Ibrahim Zaid, hlm. 93).
As-Sunnah, kadangkala berfungsi sebagai tafshil (perincian) dari keglobalan al-Quran; atau takhshish (mengkhususkan) terhadap keumumannya; atau taqyid (membataskan) untuk kemutlakannya; atau memasukkan hukum cabang baru yang asalnya (asas) bersumber dari ayat (al-Quran).
Allah berfirman,
…وَاَنْزَلْنَآ اِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ اِلَيْهِمْ..
“Kami telah menurunkan kepadamu peringatan agar kamu menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka.” [TMQ An-Nahl (16): 44]
Memperincikan keumuman al-Quran (tafshil al-mujmal). Contohnya, adalah tatkala Allah memerintahkan untuk melakukan solat, maka Allah berfirman “Dan dirikanlah solat…” [TMQ An-Nur [24]: 56] tanpa ada penjelasan (bayan) tentang waktu, rukun dan jumlah rakaatnya.
Dalam hal ini As-Sunnah menjelaskannya secara terperinci. Rasulullah ﷺ bersabda,
صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِي أُصَلِّى
“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
Beliau juga bersabda,
خُذُوْا عَنِّي مَنَا سِكَكُمْ
“Ambillah dariku mengenai manasik yang kalian akan kerjakan.”
Mengkhususkan pada keumuman al-Quran (takhshish ul ‘amm). Contohnya firman Allah,
اَلزَّانِيَةُ وَالزَّانِيْ فَاجْلِدُوْا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ…
“Bagi wanita penzina dan lelaki penzina, maka sebatlah masing-masing dari mereka dengan 100 kali sebat.” [TMQ An- Nur(24): 2]
Ayat ini mengandungi maksud umum untuk semua penzina. Kemudian, perbuatan dan perkataan Rasulullah datang untuk mengkhususkan keumuman ayat tersebut, iaitu bagi penzina yang belum berkahwin (ghayru mutazawijin).
Mengenai orang yang sudah berkahwin (al mutazawijun), maka bagi mereka dikenakan hukum rejam sampai mati. Rasulullah sendiri pernah merejam Ma’iz dan Al- Ghamidiyyah. Rasulullah ﷺ bersabda,
لاَ يَحِلُّ دَمُّ امْرِئِ، مُسْلِمٍ إِلاَّ ِإِحْدَى ثَلاَثٌ: الشَيْبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ المَفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
“Tidak halal menumpahkan darah seorang muslim kecuali dia termasuk dari salah satu di antara tiga kelompok ini, iaitu lelaki atau perempuan yang telah beristeri atau bersuami yang berzina, jiwa dengan jiwa (pembunuh), dan orang yang meninggalkan agamanya serta memecah belah kesatuan jemaah.” (Muttafaq ‘alaih)
Membatasi (taqyid) kemutlakan al-Quran. Allah berfirman,
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوْٓا اَيْدِيَهُمَا
“Bagi pencuri lelaki dan wanita, maka potonglah tangan dari kedua orang itu.” [TMQ Al-Maidah (5): 38]
Ayat tersebut mengandungi makna mutlak, meliputi segala kecurian dan pencurian. Namun demikian, as-Sunnah datang untuk membataskan kecurian tersebut dengan sabda Rasulullah ﷺ,
اَلْقَطْعُ فِيْ رُبْعِ دِيْنَارٍ فَصَاعِدًا
“Potong tangan hanya dilakukan bagi pencurian yang kadarnya telah mencapai ¼ dinar atau lebih.” (Muttafaq ‘alaih)
Juga jika pencuri tersebut telah mengeluarkan barang curiannya dari tempat penyimpanan iaitu tempat yang biasa digunakan tempat penyimpanan harta dan taqyid-taqyid lain yang telah dijelaskan dalam sunnah.
Menyertakan hukum cabang baru yang asasnya bersumber dari al-Quran. Allah berfirman,
وَلاَ تَجْمَعُوْا بَيْنَ اْلأُخْتَيْنِ
“Dan janganlah kalian mengumpulkan (untuk dinikahi) dua orang wanita bersaudara.”
Rasulullah ﷺ kemudian menyertakan hukum ini dengan hukum haramnya menggabungkan seorang wanita dengan ibu saudaranya (sama ada saudara dari pihak bapa atau ibu) dengan sabda beliau,
لاَ تَنْكِحُ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا وَلاَ عَلَى خَالَتِهَا وَلَا عَلَى اِبْنَةِ أَخِيْهَا، وَلَا عَلَى اِبْنَةِ اُخْتِهَا، فَإِنَّكُمْ إِنْ فَعَلْتُمْ ذَلِكَ قَطَعْتُمْ أَرْحَامَكُمْ
“Janganlah mengumpulkan (menikahi) wanita, antara ibu saudara dan anak saudaranya. Sesungguhnya jika kalian melakukannya, maka kalian telah memutuskan silaturahmi.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam
#FikrulIslam
#AlQuran
#AsSunnah
#KeumumanAlQuran
#PerincianAsSunnah