[Fikrul Islam] Hadis Mutawatir
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Berdasarkan sanadnya iaitu jalur periwayatan, sunnah terbahagi kepada tiga iaitu al-mutawatir, al-masyhur dan khabar al-ahad.
Al-mutawatir secara bahasa adalah berurutan satu demi satu secara perlahan. Adapun secara istilah, al-mutawatir adalah hadis yang diriwayatkan pada tiga masa dalam jumlah yang banyak sehingga mustahil secara adat, mereka bersepakat untuk berdusta. Apa yang dimaksud dengan tiga masa di sini adalah masa sahabat Nabi, tabiin dan tabi’ut tabiin.
Selain itu, pengetahuan para perawi terhadap hadis perlu bersandar pada pendengaran dan penglihatan (secara langsung mendengar sabda Rasul atau melihat perbuatan Rasul), bukan berdasarkan pada dalil kesimpulan (mengambil kesimpulan sendiri).
Hadis mutawatir bersumber dari Rasulullah SAW secara pasti (qathie uts-tsubut). Oleh kerana itu, hadis mutawatir wajib untuk diamalkan baik dalam masalah hukum mahupun akidah. Salah satu hadis qauliyah (perkataan) yang berdarjat mutawatir adalah sabda Rasulullah SAW,
مَنْ كَذَّبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْمَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Barang siapa berdusta atas namaku dengan sengaja, maka bersiap-siaplah dia menempati tempat duduknya di neraka.”
Sementara itu, sunah fi’liyah (perbuatan Rasul) yang berdarjat mutawatir pula adalah solat lima waktu.
Jumlah Perawi yang Dapat Menghasilkan Kemutawatiran
Semua pendapat yang menetapkan jumlah tertentu yang boleh menghasilkan darjat tawatur, tidaklah disandarkan pada dalil naqli ataupun aqli.
Sunnah mutawatir yang boleh menghasilkan sebuah keyakinan perlu diriwayatkan oleh jemaah (sekelompok orang) dan bukan diriwayatkan oleh sejumlah tertentu. Akan tetapi, jumlah jemaah ini dan jarak tempat mereka berada perlu menunjukkan kemustahilan untuk mereka bersepakat dalam dusta.
Dengan demikian, syarat-syarat tawatur itu ada tiga :
1- Jumlah periwayatnya perlu dalam jumlah yang boleh mencegah mereka untuk bersepakat dalam kedustaan.
2- Pengetahuan perawi terhadap hadis perlu melalui jalan pendengaran atau penyaksian, bukan pengambilan kesimpulan.
3- Wajib mutawatir pada tiga masa iaitu masa sahabat, tabiin dan tabi’ut tabiin.
#FikrulIslam #HadisMutawatir