[Tsaqafah] Peranan Ulama Rabbani dalam Usaha Menegakkan Negara Khilafah Rasyidah (Bahagian 3)
Penulis: Ustaz Yasin Muthohar
Ibnu Hazm al-Andalusi mengkritik raja-raja yang memerintah wilayah Islam di Sepanyol dan Portugal dengan keras dan ungkapannya yang pedas kerana ketidakpedulian mereka terhadap agama dan akidah setelah keruntuhan Kerajaan Bani Umaiyah di Cordoba. Beliau menceritakan tentang mereka dalam bukunya yang terkenal, Points of the Bride in the Dates of the Caliphs, “Demi Allah, seandainya mereka tahu bahawa dalam penyembahan salib ada sesuatu yang menyelesaikan masalah mereka, mereka akan bersegera ke sana. Kami melihat mereka meminta pertolongan kepada orang-orang Nasrani yang memungkinkan kaum Nasrani untuk ‘mengatur’ umat Islam, anak-anaknya dan para pemudanya. Kemudian membawa kaum muslim sebagai tawanan menuju negara mereka (Nasrani). Boleh jadi mereka akan memberikan kota dan benteng kaum muslim secara sukarela, kemudian kaum Nasrani akan mengosongkannya dari pengaruh Islam dan membinanya semula dengan loceng-loceng.”
Disebabkan kelantangannya, raja-raja membenci Ibnu Hazm dan ingin menjauhkannya dari tanah mereka dan mengasingkannya dari satu tempat ke tempat yang lain. Mereka takut dengan kritikan dan juga pendedahannya terhadap skandal dan kejahatan mereka. Mereka bahkan membakar buku beliau di khalayak ramai.
Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali berkata, “Ini adalah biografi para ulama dan kebiasaan mereka dalam amar makruf nahi mungkar. Mereka tidak takut dengan kekuasaan para sultan dan mereka bertawakal kepada Allah untuk melindungi mereka. Mereka gembira jika Allah menganugerahkan syahid. Dahulu, para ulama ikhlas kerana Allah agar kata-kata mereka mampu mempengaruhi hati yang keras, lalu Allah pun melembutkan hati itu dan menghilangkan kekerasannya. Tetapi sekarang, ketamakan telah membisukan para ulama sehingga mereka pun diam. Kalau pun mereka berbicara, kata-kata mereka tidak dapat menyelesaikannya keadaan sehingga mereka tidak berjaya meninggalkan pengaruh dan kesan. Rosaknya pemeliharaan negara disebabkan rosaknya para penguasa. Rosaknya para penguasa pula disebabkan rosaknya para ulama dan para ulama rosak kerana kecintaan mereka pada harta dan kemasyhuran. Sesiapa saja yang dikuasai oleh cinta dunia, dia tidak akan mampu mempertimbangkan antara hal-hal yang hina. Kerana itu, bagaimana mungkin dia mampu melakukan muhasabah pada para penguasa?”
Semoga Allah memberi pertolongan di setiap keadaan.
Peranan Ulama Selama Ketiadaan Daulah Islam
Hakikatnya, ulama berperanan besar semasa ketiadaan kedaulatan umum dan kekuasaan global yang menjadi penyatu kaum muslim.
Imam Juwaini mengatakan, “Jika suatu masa terjadinya kekosongan dari seorang pemimpin dan hilangnya pemimpin yang memiliki sokongan dan kemampuan, maka permasalahan umat akan menjadi tanggungjawab para ulama. Wajib bagi masyarakat (tanpa mengira darjat) untuk kembali kepada ulama dan merujuk jalan penyelesaian daripada mereka. Jika mereka melakukan perkara itu, mereka akan diberi petunjuk ke jalan yang benar. Ketika itu, para ulama negeri tersebut (merangkap) menjadi pemimpin para hamba.” (Dikutip dari kitab Ghiyaatsul Umam fii ath-Thiyasi adz-Dzulam karya Imam Abul Ma’ali al-Juwaini, Imam Haramain).
Peranan penting ulama yang berpengaruh dan mampu menggerakkan umat ini merupakan perkara yang paling ditakuti dan dihindari oleh sistem antarabangsa (yang mana lembaga dan peraturannya dicipta atas dasar yang sangat bercanggah dengan pemahaman para ulama).
Kerana itu, mereka berusaha untuk menempatkan para ulama di tempat yang baku (tidak dapat berbuat apa-apa), menjadikan mereka hanya sebatas jasad, menghalang mereka untuk menyalakan api perubahan dan pengaruh juga memutuskan hubungan antara ulama dan juga masyarakat.
Perkara yang sama dilakukan terhadap para pemuda yang sedang bangkit dan selalu menang dalam perjuangan. Sistem ini berusaha untuk menjadikan kaum muslim terus hidup dalam kemunduran. Kita disibukkan dengan perkara-perkara remeh, perjuangan tanpa kesedaran dan ketiadaan jalan yang boleh membuatkan umat bangkit.
Ketika ini, ulama kita dihimpit dengan dua kesulitan iaitu kesulitan kerana dihadapkan dengan musuh yang angkuh dan juga kesulitan dengan pemuda yang kacau-bilau.
Islam tidak mengajar umatnya untuk bersikap acuh tidak acuh terhadap segala kekacauan dalam urusan kehidupan. Islam merupakan agama universal yang tidak akan pernah sempurna penerapannya tanpa adanya sebuah negara.
Dengan tidak adanya negara Islam hari ini, setiap muslim -terutamanya para ulama- perlu berjuang untuk mendirikan sebuah negara Islam kerana ini merupakan salah satu kewajipan yang paling utama sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama.
Al-Haythami berkata dalam kitab Ash-Shawaiq al-Muhriqah, “Ketahuilah, para sahabat ra. sepakat bahawa mengangkat imam setelah masa kenabian berakhir adalah kewajipan, bahkan ini adalah perkara paling penting di antara perkara wajib lainnya. Maka, untuk memenuhi kewajipan ini, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
- Tidaklah cukup bagi umat Islam secara individu untuk mendirikan daulah kecuali dengan adanya kelompok di sekitarnya. Kerana itu, perlu ada aktiviti kolektif dari suatu kelompok yang menyedari akan kewajipan ini dan apa pun yang terkait dengannya. Aktiviti kolektif ini tidaklah sempurna kecuali diiringi dengan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah yang berhubungan dengan penegakan daulah, mempelajari sejarah umat Islam dan juga fakta yang meliputinya. Perkara ini merupakan sebuah kewajipan.
- Aktiviti kolektif ini memerlukan ilmu syarie. Maksudnya, tsaqafah kelompok beserta penerapannya adalah hal pertama yang perlu dikuasai dan dilakukan para ulama. Para ulama akan menetapkan pemikiran-pemikiran Islam, juga menggali hukum syarak terhadap sesuatu aktiviti. Kerana itu, sebuah kelompok (yang wajib diwujudkan umat Islam agar dapat menerapkan hukum Allah) perlulah bersandarkan pada ilmu dan ulama terlebih dahulu.”
Memasukkan dan menyertakan para ulama ke dalam dakwah merupakan faktor terbesar kejayaan dakwah. Merekalah kunci hati umat Islam. Ulama wajib menegakkan hukum Allah di bumi sebagaimana umay Islam lainnya juga wajib menerapkan hukum Allah.
Para ulama lah yang akan menjadi penimbang benar atau salah di kalangan masyarakat kerana kata-kata mereka didengari dan dihormati. Kerana itu, usaha untuk memasukkan ulama dalam barisan hadapan dakwah perlu menjadi perkara yang penting dalam aktiviti dakwah.
Para penguasa saat ini telah menyedari pentingnya peranan ulama sehingga mereka mengambil para ulama untuk dijadikan penyokong mereka, melayani dan menjadikan ulama sebagai hambanya yang berfatwa sesuai keinginan mereka.
Di kalangan umat, ada ulama milik para pemimpin iaitu ulama fasik dan ulama yang diberi peringatan oleh Rasulullah dalam sabdanya, “Sesungguhnya yang paling aku khuatiri atas umat setelahku adalah setiap orang munafik yang pintar bersilat lidah.” (HR Ahmad)
Perkara yang sama disebutkan dalam hadis Jabir bin Ka’ab bin Ujroh, bahawasanya Nabi SAW pernah berkata kepadanya, “Semoga Allah melindungi engkau dari kepimpinan orang-orang bodoh wahai Ka’ab.” Dia pun bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan kepimpinan orang-orang bodoh wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka adalah para pemimpin yang akan datang setelahku. Mereka memimpin tanpa mengikuti petunjukku dan tidak mengamalkan sunnahku. Barangsiapa yang membenarkan segala kedustaan mereka dan ikut serta dalam kezaliman yang mereka lakukan, sesungguhnya mereka bukan termasuk golonganku. Begitu juga aku bukan dari golongan mereka dan mereka tidak akan mendatangi telagaku (pada hari kiamat). Sebaliknya, barangsiapa yang tidak membenarkan segala kebohongan mereka serta tidak menolong mereka dalam kezaliman, sesungguhnya mereka itu termasuk golonganku dan aku merupakan bahagian dari mereka, mereka juga akan mendatangiku di telagaku (pada hari kiamat).”
Hadis tersebut memberi peringatan pada umat Islam agar tidak berada di belakang para penguasa mahupun di hadapan mereka.
Dari sini, dapat diketahui dengan jelas bahawa para ulama memiliki peranan serta kedudukan penting dalam Islam. Peranan inilah yang sebenarnya dapat memberi keuntungan lebih banyak pada dakwah daripada manfaat yang diperoleh para penguasa zalim.
Khatimah
Kesimpulannya, sebelum ini para ulama telah membuktikan bahawa keberadaan mereka adalah untuk kepentingan Islam itu sendiri dan pada hakikatnya mereka adalah pewaris para nabi.
Islam saat ini sangat menginginkan terutama para ulamanya (yang saat ini banyak menyimpang) untuk berusaha semaksima mungkin dalam menjelaskan hukum-hukumnya secara jujur dan berani, mengemban dakwah Islam dan menjadikan keberadaan mereka berdasarkan pada asas Islam
Apabila para ulama tidak mendokong kebenaran, tidak mencegah kebatilan, tidak melakukan amar makruf nahi mungkar, tidak memuhasabah penguasa dan tidak memenuhi kewajipan-kewajipan mereka yang lain, maka apa manfaat keberadaan mereka? Bukankah perut bumi lebih baik bagi mereka daripada kedudukannya?
Para ulama yang membataskan diri berkenaan Islam dan kalah melawan kekafiran, sepatutnya bermuhasabah dan mengikut jejak ulama terdahulu yang mengamalkan ilmunya. Hendaklah mereka menjadi penolong atas kegagalan yang menyelimuti mereka.
Hendaklah mereka mengembalikan sejarah awal Islam dengan memulakan kembali kehidupan islami yang memuliakan Islam, para ulamanya serta pengikutnya dan menghinakan kaum kafir, tenteranya dan juga penolongnya.
Sesungguhnya, intergriti umat tidak akan dapat diwujudkan kecuali dengan adanya ulama rabbani dan pemimpin yang mengikuti jalan yang lurus, yang memimpin umat untuk meraih kemuliaan, martabat dan kedudukan Islam dengan mengembalikan kehidupan islami.
Betapa hari ini kita sangat memerlukan sosok ulama yang dapat menghidupkan umat yang mana ketika dia benar, umat akan benar dan ketika dia rosak, umat akan rosak.
#perananulama #ulamarabbani #Tsaqafah