[Fikrul Islam] Pemikiran Kolektif Parti
Penulis: Ahmad Mahmud
Sesungguhnya realiti umat ini perlu diubah. Perubahan itu semestinya dilakukan secara politik melalui sebuah parti (kutlah) politik yang ditegakkan di atas dasar ideologi (mabda) Islam.
Ini memerlukan adanya penelitian terhadap pelbagai perwatakan parti politik Islam yang ada, termasuk faktor-faktor pendukungnya, di samping mesti pula dilakukan penelitian terhadap sejumlah parti politik terdahulu dalam rangka mengetahui sebab-sebab kegagalan dan kehancurannya, terutama yang berkaitan dengan aspek organisasinya.
Aspek ini berkaitan dengan masalah teknikal atau strategi yang pilihan-pilihannya adalah untuk menentukan yang terbaik dan yang paling sesuai. Pada asasnya ini bersifat mubah, iaitu diserahkan kepada setiap muslim. Meskipun merupakan masalah teknikal strategi, hal ini termasuk di antara perkara yang mesti ada dalam pemikiran (tsaqafah) kolektif sesebuah organisasi atau parti.
Umat Islam ketika ini hidup di dalam struktur masyarakat dimana pemikiran, perasaan, dan peraturannya bercampur aduk. Oleh kerana itu, perjuangan untuk mendirikan Daulah Islamiyah pasti akan berhadapan dengan masyarakat yang meliputi seluruh realiti, komponen, dan apa sahaja yang berpengaruh di dalamnya. Di samping akan berhadapan dengan cara mengubahnya agar tercipta suatu masyarakat yang memiliki pemikiran, perasaan, dan peraturan bersifat monolitik (satu warna) dan khas Islam.
Realiti individu tidak sama dengan realiti masyarakat. Komponen-komponen pembentuk individu tentu berbeza dengan komponen-komponen pembentuk masyarakat. Berdasarkan hal ini, hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan individu berbeza pula dengan hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan masyarakat.
Aktiviti parti politik Islam berkaitan dengan transformasi sosial atau perubahan masyarakat. Oleh kerana itu, ia mesti menerima pakai secara terperinci semua hal yang berkaitan dengan perubahan masyarakat, iaitu berbentuk pelbagai pemikiran dan hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan memperbaiki realiti masyarakat ini.
Pada waktu yang sama, organisasi atau parti, mesti memberikan panduan kepada setiap individu, baik yang menjadi anggotanya mahupun yang menjadi anggota masyarakat bahawa mereka wajib menerima pakai setiap hukum yang berkaitan dengan aktiviti dan perjuangannya.
Hukum-hukum yang dimaksudkan ialah sama ada yang berkaitan dengan usaha mendirikan masyarakat Islam yang terkait dengan dirinya sebagai fardhu kifayah—yang tidak ada uzur baginya untuk meninggalkannya—mahupun yang berkaitan dengan peribadinya ketika parti politik ini menyeru dirinya untuk terikat dengan syariat dalam masalah muamalah, ibadah, dan akhlak, yang seluruhnya tegak di atas landasan akidah Islam dalam kehidupannya setiap hari.
Umat Islam ketika ini banyak menggunakan akal mereka yang telah diracuni oleh pemikiran Barat dan mengikuti hukum-hukum akalnya dalam menentukan kemaslahatan. Untuk dapat meneladani dengan tepat dan benar-benar konsisten jalannya bagi suatu aktiviti, kita mesti berhadapan dengan akal dan faktor-faktor penyusunannya. Dengan cara yang sedemikian akan dapat diketahui batas-batas penggunaannya sekaligus cara-cara penggunaannya dalam masalah akidah, hukum-hukum syariat, pemikiran-pemikiran, dan realiti yang ada.
Aktiviti dakwah ini ditujukan untuk menegakkan hukum Allah dan menegakkan Daulah lslamiyah. Oleh kerana itu, diperlukan adanya pengetahuan mengenai perjalanan Rasulullah SAW di Meka dan pelbagai aktiviti yang baginda lakukan untuk menuju kepada tertegaknya Daulah lslamiyah di Madinah. Dari sinilah kita dapat meneladani baginda Rasulullah SAW.
Aktiviti perjuangan ini juga menuntut adanya usaha dalam membezakan diantara hukum-hukum berkaitan metod (thariqah), sarana (wasilah), dan strategi (uslub) dakwah sehingga kita benar-benar tepat dalam meneladani Rasulullah SAW.
Aktiviti dakwah ini juga ditujukan untuk menegakkan hukum Allah dan mengubah sistem yang ada sekarang ini. Oleh kerana itu, diperlukan adanya monitoring (kawalan) politik terhadap setiap aktiviti penguasa, sekaligus adanya pemahaman mengenai realiti mereka, penglibatan mereka, dan politik negara-negara besar yang mengendalikan sepak terajang mereka, serta adanya usaha untuk membongkar segala strategi mereka.
Negeri-negeri Islam ketika ini tunduk pada sistem kufur, khususnya pada peradaban Barat, baik dalam sistem pemikiran, sosial, ekonomi mahupun politik. Oleh kerana itu, perjalanan dakwah untuk mendirikan Daulah lslamiyah akan berhadapan dengan sejumlah ideoIogi, akidah, serta pemikiran yang tumbuh di atasnya dan sistem-sistem yang dilahirkannya.
Tujuan syariat adalah diterapkannya Islam dan menyebarkan Islam sebagai risalah ke seluruh dunia. Untuk tujuan itu, diperlukan adanya pemaparan mengenai pemerintahan Islam dan Daulah Islamiyah serta bentuk negaranya, seterusnya tiang-tiangnya, strukturnya, undang-undang dasarnya, dan pemikiran umum yang diterapkan di dalamnya.
Diperlukan adanya pemaparan bentuk-bentuk pemerintahan yang ada sekarang ini agar boleh dilihat terdapat perbezaan diantara Daulah Islamiyyah dan negara kufur serta agar umat Islam tidak terpengaruh dengan segala bentuknya, serta diperlukan juga adanya pemaparan mengenai dasar negara.
Dengan metod (minhaj) seperti ini, parti politik Islam mesti menempuh perjalanan dakwahnya dengan cara menentukan terlebih dahulu pemikiran (tsaqafah) kolektifnya. Pemikiran kolektif inilah yang dipraktikkan dan didakwahkan di tengah-tengah masyarakat dengan cara yang dituntut oleh dakwah yang ditujukan dalam rangka mengembalikan kehidupan Islam.
Caranya adalah hanya dengan melalui penegakan Khilafah Islamiyyah yang memerintah umat Islam dan non-muslim yang menjadi rakyatnya dengan Islam. Dari sinilah risalah Islam kemudian disebar luaskan ke luar negeri melalui aktiviti dakwah dan jihad yang dilakukan oleh negara.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
https://muslimahnews.net/2022/09/11/11247/