[Fikrul Islam] Analogi Akal (Qiyas ‘Aqli) (Bahagian 2/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Pembahasan mengenai sumber-sumber syariat dan usulnya perlu didahulukan oleh jemaah/parti dakwah daripada pembahasan tentang hukum-hukum syariat praktis yang berkaitan dengan pembahasan realiti. Masalahnya, jemaah/parti dakwah menghadapi banyak cabaran dan hambatan yang besar selama menempuh perjalanan dakwahnya.
Jika jemaah/parti dakwah tidak mengangkat perkara-perkara usul secara tertib dan berdasarkan kekuatan dalil, kita akan melihat jemaah/parti tersebut akan cepat berbalik dan mengubah pendapatnya. Akibatnya, seringkali mereka mengambil keputusan untuk ikut bermain dalam sistem demokrasi walaupun sistem tersebut merupakan sistem rosak yang telah menjadi masalah dan penghalang utama dakwah, dengan alasan bahawa ada dasar yang membolehkan perspektif ini, contohnya seperti di dalam Islam, ada syura yang serupa dengan demokrasi.
Banyak juga jemaah yang mengadaptasi sekaligus mengambil beberapa hal dari agama-agama terdahulu dengan alasan : Inna syar’a man qablana huwa syar’u lana (sesungguhnya syariat orang-orang sebelum kita juga merupakan syariat bagi kita). Faktor yang mendorong jemaah berubah seperti ini biasanya adalah kerana begitu sukarnya untuk mengikuti jalan perjuangan dakwah yang benar sesuai dengan ketetapan syariat atau kerana adanya pandangan bahawa aktiviti jemaah/parti dakwah dapat dilakukan dengan cara membuat beberapa lembaga sosial yang akan mendorong terjadinya perubahan realiti yang ada.
Akibatnya, mereka kemudian tenggelam dalam persoalan teknik (uslub) dengan mengorbankan jalan (thariqah) dakwah yang benar. Ada juga jemaah yang menyandarkan diri pada gerakan bersenjata kerana keadaan memaksa mereka melakukan hal itu, bukannya hukum-hukum syariat.
Oleh kerana itu, usaha untuk mengangkat perkara-perkara usul dan sumber-sumber syariat serta mengikuti jalan ijtihad yang baku dan sesuai dengan syariat merupakan bentuk keterikatan jemaah/parti dakwah dan ia dilakukan semata kerana Allah, bukan kerana realiti dan situasi atau ketundukan pada aspek kemaslahatan.
Dengan demikian, jika jemaah/parti dakwah telah menetapkan landasan berfikirnya yang sesuai dengan syariat, ia akan mampu menentukan jalan praktik untuk merealisasikannya. Jika perkara itu tidak dilakukan, akan banyak sekali jalan yang terbentang di hadapannya dan Allah tidak akan mempedulikan orang yang menempuh banyak jalan di lembah yang akan menghancurkannya.
Jika parti/jemaah dakwah telah menetapkan sumber-sumber tsaqafahnya dan segala batasannya, ia juga perlu menentukan tsaqafahnya dengan berpedoman pada sumber-sumber dan perkara-perkara usul yang telah diangkatnya.
Sebuah jemaah dakwah, ketika membahaskan perkara-perkara usul dan sumber-sumber syariat, ia perlu berusaha agar pemahamannya terhadap syariat tidak bercampur-aduk (perlu berusaha untuk menjauhi segala perkara yang dapat mencemarkan wahyu, berusaha agar tidak terpengaruh dengan hawa nafsu di dalam memahami syariat dan agar akal tidak mendominasi proses penetapan hukum). Jadi, pembahasan tsaqafah jemaah tidak mungkin dilakukan tanpa terlebih dahulu membahas sumber-sumber syariat dan perkara-perkara usul yang menjadi landasannya.
Berdasarkan pembahasan terdahulu, sebuah jemaah dakwah wajib untuk berpindah pada realiti tempat masyarakat hidup, kemudian mempelajari sekaligus memahami apa yang ada di dalamnya iaitu pemikiran, perasaan dan sistem yang digunakannya. Dengan begitu, dapat diketahui sejauh mana penerimaan atau penolakan masyarakat terhadap sistem dan pemikiran yang sedang menguasai mereka.
Sebagaimana yang kita maklum, umat Islam telah diperangi oleh berbagai pemikiran kufur yang digambarkan sebagai “makanan bergizi” yang diperlukan oleh umat agar kembali pulih. Umat Islam, secara politik diperintah oleh para penguasa yang diangkat oleh penjajah kafir agar mereka dapat menguasai kekayaan umat dan menghalang setiap usaha yang akan mengancam kepentingan orang-orang kafir dan membahayakan penjajahannya.
Ketika penjajah Barat menyedari betapa bahaya kewujudan aktiviti jemaah dakwah yang terorganisasi, maka mereka akan menyebarkan berbagai pemikiran yang bertujuan untuk menjadikan masyarakat alergi dan fobia terhadap gerakan dan parti Islam. Malahan, Barat mendorong masyarakat untuk mendirikan berbagai gerakan yang hanya berusaha untuk mencapai sebahagian tujuan dan hanya menyelesaikan sebahagian masalah saja seperti kemiskinan dan kerosakan akhlak.
Kafir Barat penjajah juga sentiasa berusaha untuk menggoncangkan kepercayaan umat Islam pada agama mereka sendiri. Usaha ini dilakukan bersamaan dengan usaha mereka untuk melakukan sekularisasi iaitu dengan memisahkan akidah umat Islam dengan kehidupan mereka sementara ia memaksa umat Islam untuk menerima dan tidak menghapuskannya.
Kerana itu, jemaah dakwah wajib mempelajari realiti dan segala hal yang ada di dalamnya baik ia berupa pemikiran, perasaan mahupun sistem yang mengaturnya. Usaha ini mesti ditempuh dengan melakukan penelitian yang mendalam agar jemaah dakwah dapat menyedari realiti dan karakter tempat ia berpijak. Dengan begitu, jemaah dakwah akan dapat mengetahui cara halus melangkah, jenis sarana dan kelengkapan apa yang boleh digunakan untuk mengatasi segala masalah dan bahan-bahan apa yang diperlukan untuk membantu “menguatkan” jalannya.
Dengan demikian, memahami realiti sebenarnya merupakan bahagian yang penting dari tsaqafah jemaah dakwah. Perkara ini perlu jelas baginya kerana dia juga mesti menjelaskan kepada para anggotanya dan juga masyarakat secara umum mengenai jalan yang perlu ditempuh sehingga mereka tidak melalaikannya dan mereka dapat menyedari pentingnya penyelesaian untuk mengatasi realiti masalah yang mereka hadapi itu.
Setelah menetapkan realiti pemikiran, politik dan sosial masyarakat, jemaah dakwah perlu beralih pada usaha menerapkan pemikiran, pendapat dan hukum-hukum syariat. Hal ini dilakukan dengan penuh pedoman pada perkara-perkara usul dan batasan-batasan serta sumber-sumber syariat, sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelumnya.
Seterusnya, jemaah dakwah perlu menjelaskan jalan yang dipakai untuk dapat memahami berbagai pemikiran, pendapat dan hukuman syariat ini kepada masyarakat dan kepada anggota-anggotanya. Hal ini akan menciptakan kesedaran serta mewujudkan keperibadian Islam secara intensif pada anggota-anggota jemaah dakwah dan pada umat secara umumnya.
#fikrulislam #dakwah #jemaah #partipolitik