Politik Islam untuk Semua
Penulis: Muhammad Taufik N. T.
Islam adalah agama yang sempurna sekaligus sistem hidup yang merangkumi semua perkara yang dihadapi oleh manusia [Lihat: Surah An-Nahl [16]: 89].
Penjelasan al-Quran kadangkala dinyatakan dengan jelas (sarâhat[an]). Kadang-kadang ia merujuk kepada Sunnah Nabi SAW, ijmak sahabat, ijtihad, atau qiyas. Kadangkala ia juga menerangkan kaedah-kaedah global, tujuan-tujuan umum, dan perkara-perkara utama perundangan.
Politik adalah perkara yang diatur oleh Islam. Politik (as-siyasâh) berakar daripada perkataan sâsa–yasûsu–siyâsat[an], yang bermaksud ‘mengatur, memimpin, memelihara dan mengurus sesuatu urusan’.
Dalam Islam, politik tidak tertumpu kepada perebutan kuasa, tetapi mengatur urusan masyarakat dengan syariat Islam, baik di dalam mahupun di luar negara.
Politik dijalankan oleh negara dan rakyat. Negara secara langsung melaksanakan pengaturan ini dengan undang-undang Islam. Rakyat mengawasi, membetulkan, dan meluruskan negara jika terpesong dari Islam.
Gambaran ini diungkapkan oleh Ibnu Qutaibah [w. 276H], “Perumpamaan antara Islam, kekuasaan, dan rakyat adalah laksana khemah besar, tiang, dan tali pengikat serta pasaknya. Khemah besarnya adalah Islam. Tiangnya adalah kekuasaan. Tali pengikat dan pasaknya adalah rakyat. Satu bahagian tidak akan baik tanpa bahagian yang lain.”
Kewujudan tiang (kekuasaan/negara), dan tali serta pasak (rakyat) adalah sandaran untuk menegakkan khemah (Islam). Jika khemah (Islam) itu tegak, ia akan menaungi sesiapa yang berada di bawahnya, tanpa membeza-bezakan antara satu sama lain.
Bukan untuk Kumpulan Tertentu
Kadangkala timbul kebimbangan sesetengah pihak bahawa politik Islam akan membawa kepada penguasaan golongan tertentu, seterusnya menindas golongan lain khususnya bukan Islam. Jika dilihat realiti politik kapitalisme sekular, pastinya kebimbangan itu amat wajar. Namun, jika dilihat kepada Islam, maka negara dan rakyat mempunyai kesedaran politik Islam, sudah tentu perkara ini boleh dielakkan.
Secara manusiawi, adanya kecenderungan hati terhadap sesetengah golongan adalah wajar, tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, kecenderungan ini tidak seharusnya mewujudkan dasar yang tidak adil kepada rakyat.
Abdullah bin Rawahah RA apabila beliau diutus untuk mengira hasil kebun Khaibar dan beliau hendak disogok oleh Yahudi Khaibar, beliau berkata,
يَا مَعْشَرَ الْيَهُودِ، وَاللهِ إِنَّكُمْ لَمِنْ أَبْغَضِ خَلْقِ اللهِ إِليَّ وَمَا ذَاكَ بِحَامِلِي عَلَى أَنْ أَحِيفَ عَلَيْكُمْ. فَأَمَّا مَا عَرَّضْتُمْ مِنَ الرَّشْوَةِ فَإِنها سُحْتٌ، وَإِنا لا نَأْكُلُهَا
“Wahai kaum Yahudi! Demi Allah, kamu adalah makhluk Allah yang paling aku benci. Namun, kebencianku tidak akan menyebabkan aku berbuat zalim kepada kamu. Adapun semua perhiasan yang kamu berikan kepadaku sebagai rasuah, semuanya haram, dan kami tidak memakannya.” [HR Malik, At-Tabharani, Abdur Razzaq]
Islam telah mengharamkan fanatisme kelompok dan kesukuan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
وَمَنْ قَاتَل تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّة يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَة فَقُتِل فَقِتْلَة جَاهِلِيَّة
“Sesiapa yang berperang di bawah bendera kefanatikan, marah kerana fanatik kesukuan, atau menyeru kepada kefanatikan, atau menolong (berperang) kerana kefanatikan, kemudian dia terbunuh, maka matinya seperti mati jahiliah.” [HR Muslim, An-Nasa’i, dan Ibnu Majah]
Bintu Wathilah Ibnul Asqa’ pernah mendengar ayahnya bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, apakah itu ‘asabiyyah (fanatik kesukuan)?” Baginda SAW menjawab, “Engkau menolong kaummu dalam kezaliman.”
Jika ketua negara membuat dasar yang berpotensi menguntungkan kumpulan tertentu dan menyusahkan kumpulan Islam yang lain, maka rakyat—khususnya ulama—dituntut untuk mengambil peranan politik, iaitu dengan menasihati pemerintah.
Khalifah Abu Ja’far al-Mansur pernah menyampaikan hasratnya kepada Imam Malik bin Anas untuk menyeragamkan umat Islam dengan kitab Muwaththa’-nya. Imam Malik enggan dan menasihati Khalifah supaya tidak berbuat demikian. Padahal, dasar Khalifah ini berpotensi “menguntungkan” Imam Malik, tetapi akan menyusahkan mazhab lain.
Sebaliknya, jika ada pihak yang ingin mempengaruhi negara membuat dasar yang berpotensi menguntungkan golongan tertentu dan menyusahkan golongan lain, maka ketua negara juga tidak boleh bersetuju dengan itu.
Pernah dikatakan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz, “Andai engkau menyatukan manusia pada satu mazhab.” Beliau menjawab, “Tidak ada perbezaan pendapat mereka (dalam perkara ikhtilaf) tidaklah menggembirakan hatiku.”
Kemudian beliau menulis perintah ke pelbagai wilayah,
لِيَقْضِ كُلُّ قَوْمٍ بِماَ اجْتَمَعَ عَلَيْهِ فُقَهَاؤُهُمْ
“Hendaklah setiap kaum memutuskan menurut apa yang telah disepakati oleh para fuqaha mereka.” [HR Ad-Darimi]
Bukan untuk Umat Islam Semata-mata
Politik Islam—berhubung dengan kehidupan awam—memihak kepada semua rakyat, baik muslim mahupun non-muslim. Ini ditunjukkan dalam pelbagai bidang berikut:
- Agama dan Kepercayaan
Dalam sistem Khilafah, non-muslim yang hidup sebagai warganegara (ahluz-zimmah) dibiarkan memeluk akidah dan menjalankan ibadah masing-masing. Begitu juga dalam urusan makanan, minuman, perkahwinan sesama mereka, dan pakaian, mereka diperlakukan menurut agama mereka. Sudah tentu dalam batasan yang dibenarkan oleh syarak.
Rasulullah SAW menyatakan,
أَنَّه مَنْ كَانَ عَلَى يَهُودِيَّتِهِ أَوْ نَصْرَانِيَّتِه فَإِنَّه لَا يُفْتن عَنْهَا
“Sesungguhnya sesiapa yang tetap dalam agama yahudi dan nasraninya, tidak akan diganggu olehnya.” [HR Baihaqi]
Selain itu, mengenai orang-orang musyrik (Majusi/penyembah api), baginda menetapkan, “Perlakukanlah mereka sebagaimana kamu memperlakukan Ahli Kitab.” Ketentuan ini berlaku untuk selain daripada sembelihan dan wanita mereka yang tetap diharamkan bagi umat Islam.
- Politik dan Undang-undang
Dalam bidang politik, muslim mahupun non-muslim secara umumnya dianggap sama. Semua mempunyai hak untuk menduduki mana-mana jawatan asalkan memenuhi syarat dan mempunyai kemampuan. Namun, memang ada jawatan yang hanya boleh disandang oleh muslim, contohnya jawatan ketua negara dan yang dikategorikan sebagai pemerintah (hukkâm), serta jawatan yang mensyaratkan hanya boleh dilakukan oleh muslim.
Adanya syarat muslim untuk jawatan tertentu yang ditetapkan oleh syarak bukanlah satu bentuk diskriminasi terhadap non-muslim, tetapi merupakan batasan yang juga wujud dalam mana-mana sistem. Malah, batasan dalam sistem Islam adalah “lebih longgar” dan lebih mungkin dicapai berbanding sistem lain.
Sebagai contoh, terdapat syarat di suatu negara, “Presiden ialah orang xxx asli.” Syarat ini menutup peluang bagi sesiapa yang bukan berdarah xxx asli untuk menjadi presiden. Apabila ia kemudian diubah kepada, “Presiden mesti seorang warganegara xxx sejak kelahirannya,” ia masih menutup peluang bagi sesiapa yang dilahirkan bukan berwarganegara xxx. Padahal, asal suku bangsa, tempat lahir, dan asal ibu bapa adalah ketetapan Allah yang tidak boleh diubah.
Berbeza dengan syarat muslim, siapa pun dia, apa jua sukunya, lahir di mana pun, apa pun agamanya, semuanya membuka peluang untuk memenuhi syarat tersebut dengan mudah iaitu dengan mengucapkan dua kalimah syahadat.
Adapun hukum ‘uqûbât (sanksi), secara umum tidak ada dibezakan antara muslim dan ahluz-zimmah. Rasul SAW melaksanakan hukum qisas terhadap seorang Yahudi yang membunuh seorang hamba untuk merampas anting-anting hamba tersebut, juga menerapkan had zina, baik kepada muslim mahupun non-muslim yang berzina.
- Ekonomi dan Kesejahteraan
Dalam bidang ekonomi, hukum syarak juga terpakai kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan suku asalnya. Ketika Rasulullah SAW menetapkan,
مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيِّتَةً فَهِيَ لَه
“Sesiapa yang menghidupkan tanah mati, tanah itu adalah miliknya.” [HR Al-Bukhari, Abu Dawud, dan Ahmad]
Peruntukan ini terpakai kepada muslim dan non-muslim. Begitu juga apabila riba diharamkan bagi muslim, maka terhadap Nasrani Najran, Rasulullah SAW juga menetapkan,
أَنَّ مَنْ بايَعَ مِنْكُمْ بالربا فَلَا ذِمَّةَ لَه
“Sesungguhnya sesiapa yang berjual beli dengan riba, maka tidak ada zimmah bagi dirinya.” [HR Ibnu Abi Syaibah]
Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian terhadap apa yang ditentukan oleh Rasulullah SAW. Mereka, sebagai contoh, tidak dilarang meminum khamar atau memakan daging babi dan makanan yang menurut mereka boleh dimakan (di persekitaran/komuniti mereka, ed.).
Dari segi jaminan kesejahteraan, Islam menjamin semua rakyat tanpa sebarang diskriminasi. Rasulullah SAW bersabda,
وَأَيُّمَا أَهْلُ عَرْصَةٍ أَصْبَحَ فِيهِمْ امْرُؤٌ جَائِعٌ فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُمْ ذِمَّةُ الله تَعَالَى
“Penduduk mana-mana negeri yang berada di waktu pagi, sedang di tengah-tengah mereka ada orang yang kelaparan, maka telah terlepas dari mereka jaminan Allah.” [HR Ahmad]
Khalifah Umar bin Khattab RA pernah melihat orang tua mengemis yang ternyata beragama Yahudi. Beliau bertanya, “Apakah yang memaksamu untuk mengemis?” Dia menjawab, “Untuk membayar jizyah, keperluan hidup, dan kerana aku sudah tua (tidak mampu bekerja).” Khalifah Umar RA pun mengutusnya kepada penjaga Baitulmal dan berkata,
انْظُرْ هَذَا وَضُرَباءَهُ؛ فَوَالله مَا أَنْصَفْنَاه أَن أكلنَا شبيته ثُمَّ نَخُذُلُهُ عِنْدَ الْهَرَمِ
“Lihatlah orang ini dan yang sepertinya. Demi Allah! Kita tidak adil kepadanya. Kita mengambil jizyah ketika dia masih muda, kemudian kita meninggalkannya apabila dia sudah tua.” [HR Abu Yusuf, Al-Kharaaj, hal. 126]
Tidak hairanlah jika Will Durant dalam The Story of Civilization menyatakan, “Para khalifah telah memberikan keamanan kepada manusia secara luar biasa untuk kehidupan dan usaha keras mereka. Para khalifah telah menyediakan pelbagai peluang untuk sesiapa sahaja yang memerlukannya dan meratakan kesejahteraan selama berabad-abad di wilayah yang tidak pernah berlaku fenomena seperti itu setelah zaman mereka.”
- Pendidikan
Pada asasnya, semua warganegara—muslim dan non-muslim—wajib terikat dengan kurikulum pengajaran yang telah ditetapkan oleh negara. Kurikulum pendidikan negara berasaskan akidah dan syariat Islam, maka non-muslim juga wajib mempelajari beberapa hukum Islam, khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal awam. Sepertimana dalam sistem sekular, seorang muslim juga mempelajari undang-undang sekular.
Walau bagaimanapun, non-muslim juga dibenarkan untuk mengajar ajaran-ajaran mereka sendiri (di persekitaran/komuniti mereka, ed.). Negara tidak boleh melarang mereka kerana ini adalah hak mereka yang tidak boleh dihalang.
- Keamanan
Dalam bidang keamanan, semua rakyat juga dilayan sama rata. Malah, non-muslim seolah-olah mempunyai kedudukan “istimewa”, iaitu hanya diwajibkan membayar jizyah bagi yang lelaki. Mereka juga tidak wajib berperang apabila negara diserang.
Hal ini diakui oleh T. W. Arnold dalam bukunya, “Ketika Konstantinopel dibuka oleh keadilan Islam pada 1453, Sultan Muhammad II mengisytiharkan dirinya sebagai pelindung gereja Yunani. Penindasan terhadap orang Kristian dilarang sama sekali dan untuk tujuan ini satu dekri telah dikeluarkan yang memerintahkan penjagaan keamanan pada Uskup Agung yang baru dipilih, Gennadios, beserta semua uskup dan penggantinya. Perkara yang tidak pernah diperolehi daripada penguasa terdahulu. Gennadios diberi staf keuskupan oleh Sultan sendiri. Uskup juga mempunyai hak untuk meminta perhatian Pemerintah dan keputusan Sultan untuk menangani gabenor-gabenor yang tidak adil.” Wallâhua’lam.
Sumber artikel: Al-Wa’ie bertarikh 9 September 2022