[Fikrul Islam] Iman Kepada Allah
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Rukun-rukun akidah yang dibuktikan dengan dalil aqli ada tiga, iaitu iman terhadap kewujudan Allah, iman bahawa Al-Quran berasal dari Allah, dan iman bahawa Muhammad utusan Allah. Dengan Al-Quran, Allah telah membimbing manusia kepada jalan yang dapat membuat manusia memahami atau menyedari keberadaan Allah SWT.. Allah telah memerintahkan manusia untuk memperhatikan, dengan berfirman,
فَلْيَنْظُرِ الْاِنْسَانُ مِمَّ خُلِق
“Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apa dia diciptakan.” [TMQ Ath-Thaariq (86): 5]
Firman Allah,
اَفَلَا يَنْظُرُوْنَ اِلَى الْاِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْۗ – ١٧ وَاِلَى السَّمَاۤءِ كَيْفَ رُفِعَتْۗ – ١٨ وَاِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْۗ – ١٩
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan, dan langit bagaimana ia ditinggikan, dan gunung bagaimana ia ditegakkan?” [TMQ Al-Ghasyiah (88): 17-19]
Allah SWT. juga memerintahkan Rasulullah ﷺ agar beliau mengajak manusia memperhatikan hal itu, dengan firman-Nya, فَذَكِّرْۗ اِنَّمَآ اَنْتَ مُذَكِّرٌۙ
“Maka berikanlah peringatan kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.” [TMQ Al-Ghasiyah (88): 21]
Beliau ﷺ juga diminta untuk mendorong manusia agar melakukan ekspedisi penelitian dan memperhatikan apa yang ada di sekitarnya, dengan firman Allah Swt.,
قُلْ سِيْرُوْا فِى الْاَرْضِ فَانْظُرُوْا كَيْفَ بَدَاَ الْخَلْقَ…
“Katakanlah, ‘Berjalanlah di (muka) bumi dan perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan manusia dari permulaannya…’” [TMQ Al-Ankabut (29): 20]
Dengan jalan mengamati dan memperhatikan, maka dengan akalnya, manusia akan sampai kepada kesimpulan bahawa segala sesuatu yang ada (maujud), pasti ada Pencipta yang menciptakan sesuatu yang ada tersebut. Sebab, tatkala manusia mengamati alam semesta, dia akan berkesimpulan bahawa alam semesta itu terbatas (al-mahdud).
Manusia juga akan berkesimpulan bahawa alam semesta ini berjalan teratur dengan sebuah aturan yang kompleks. Sementara itu, sesuatu yang terbatas (mahdud) dan teratur (munadzam) pasti memerlukan pihak yang “membatasi” dan mengaturnya. Walhasil, alam semesta ini diciptakan oleh Allah SWT..
Begitu juga jika manusia mengamati keberadaan manusia dan kehidupan, dia akan berkesimpulan bahawa keduanya memiliki keterbatasan juga. Manusia—sebagai makhluk yang paling tinggi darjatnya menurut jangkauan pancaindera—kenyataannya bersifat terbatas, lemah, dan memerlukan kepada yang lain.
Umur dan tubuhnya terbatas sehingga agar tetap dapat mempertahankan hidupnya, manusia memerlukan unsur yang lain. Misalnya, manusia perlukan makanan, air, dan udara. Dengan demikian, manusia juga diciptakan oleh Allah SWT..
Iman kepada Allah akan tercapai melalui jalan akal, sedangkan keimanan kepada sifat-sifat Allah dan asma al-husna dapat dicapai melalui jalan naqli, iaitu wahyu Allah SWT.. Sifat-sifat Allah dan asma al-husna telah dijelaskan dalam Al-Quran. Firman Allah Swt.,
هُوَ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۚ اَلْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلٰمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُۗ سُبْحٰنَ اللّٰهِ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ – ٢٣ هُوَ اللهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْاَسْمَاۤءُ الْحُسْنٰىۗ يُسَبِّحُ لَهٗ مَا فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۚ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ- ٢٤
“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Penguasa, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Maha Pemberi Keamanan, Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, yang memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah yang menciptakan, yang mengadakan, yang membentuk rupa, yang mempunyai nama-nama yang paling baik (asma al-husna). Bertasbihlah kepada-Nya apa yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ Al-Hasyr (59): 23-24].
#fikrulislam #rukuniman #imankepadaAllah