[Fikrul Islam] Perawi Hadis
Para perawi hadis adalah dari kalangan sahabat, tabiin, dan tabi’ut tabiin. Selain dari mereka tidak ada lagi yang dikategorikan sebagai perawi hadis. Rasulullah SAW bersabda,
أُوْصِيْكُمْ بِأَصْحَابِي، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ، ثُمَّ يَفْشُو الْكَذْبَ
“Aku mewasiatkan kepada kalian para sahabatku, kemudian generasi sesudah mereka, kemudian generasi sesudah itu. Dan setelah itu akan tersebarlah kedustaan.”
Itulah yang menjadi alasan bahawa perawi hadis adalah dari kalangan para sahabat, tabiin, dan tabi’ut tabiin. Periwayatan berhenti setelah masa tabi’ut tabiin dengan dilakukannya pembukuan hadis ke dalam bentuk buku. Rasullah SAW sendiri menjelaskan bahawa sesudah mereka (tabi’ut tabiin) akan tersebar kedustaan.
Syarat-Syarat Perawi Hadis
Perawi hadis mestilah memenuhi syarat seperti baligh (al-bulugh), Islam, adil, dan dhabith.
– Baligh
Sebuah riwayat tidak akan diterima dari anak kecil dan juga orang gila. Namun, apabila terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh seorang shabiyun mumayizun, kemudian hadis tersebut diriwayatkannya kembali setelah dia baligh, maka riwayat itu dapat diterima. Misalnya, para ahli hadis telah menerima riwayat dari Abdurrahman bin Zubair yang berasal dari Nabi SAW padahal pada saat wafatnya Rasulullah, usianya tidak lebih dari sepuluh tahun.
– Adil
Keadilan disyaratkan tatkala seorang perawi meriwayatkan hadis kepada orang lain, bukan pada saat dia menerima hadis. Keadilan adalah sifat-sifat yang berkaitan dengan ketakwaan dan maruah (menjaga kehormatan) seseorang; atau paling tidak adalah meninggalkan dosa-dosa besar, tidak membiasakan melakukan dosa-dosa kecil, dan menghindarkan diri dari perkara yang dapat mengurangkan maruah. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan maruah ialah misalnya bersahabat dengan orang yang suka berbuat dosa [Usul Fiqh, Muhammad al-Khudhariy, idem.]
– Islam
Islam tidak disyaratkan bagi seorang perawi tatkala dia mendengarkan sebuah hadis. Ini kerana para ulama hadis sepakat untuk menerima hadis dari Jabir bin Math’am, yang menyatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW membaca surah [ Ath-Thur ] pada saat solat maghrib, padahal saat itu dia masih kafir.
– Dhabith
Seorang perawi mestilah dhabith terhadap apa yang diriwayatkannya. Ini bermaksud bahawa dia mestilah menghafal apa yang diriwayatkannya, serta sedikit keliru dan lupanya.
Keadilan para Sahabat
Riwayat para sahabat diterima secara mutlak tanpa memerlukan ta’dil. Ini kerana dalil-dalil dalam al-Quran dan Sunnah telah memuji mereka dan memberikan predikat kepada mereka sebagai orang-orang yang jujur (benar) dan beruntung (muflihun).
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam