Ummu Hisyam Binti Haritsah, Bahagia dalam Pelukan Islam
Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai perjalanan hidup Ummu Hisyam, mari sejenak kita melihat keluarga yang terdiri dari orang-orang mulia. Ibu kepada Ummu Hisyam ialah Ummu Khalid Binti Khalid Bin Ya’isy al-Anshariyah, dari suku Malik. Beliau memeluk Islam dan berbaiat kepada Nabi SAW. Beliau wanita mulia yang sukar untuk dibandingkan. Beliau berkahwin dengan Haritsah Bin Nu’man dari suku Najar; duda beranak dua (Ummu Kultsum dan Amatullah). Pernikahan ini kemudian dianugerahi beberapa anak, Abdullah, Abdurrahman, Saudah, Umrah, dan Ummu Hisyam.
Ummu Hisyam dan adik beradik perempuannya juga ikut berbaiat kepada Nabi. Secara keseluruhan, anggota keluarga ini telah memeluk Islam. Ayah Ummu Hisyam ialah Haritsah Bin Nu’man, tokoh sahabat tiada tandingan yang telah memeluk Islam pada masa-masa awal. Dengan ikhlas, beliau menawarkan tempat tinggalnya untuk diduduki oleh Rasulullah SAW.
Ketika itu, Haritsah memiliki beberapa rumah yang dekat dengan tempat tinggal Nabi ketika di Madinah. Setiap kali keluarga Nabi bertambah, maka Haritsah akan memberikan satu demi satu rumahnya. Sejarahwan Yakut al-Hamawi menyebutkan akan kedermawanan Haritsah hingga beliau rela memberikan rumah-rumahnya kepada Nabi, “Orang yang pertama kali memberikan tanah dan rumahnya kepada Nabi ialah Haritsah Bin Nu’man.”
Rasulullah Pernah Mendengar Suara Haritsah di Syurga
Aisyah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku tidur dan bermimpi berada di syurga. Aku mendengar suara orang lelaki membaca al-Quran. Aku bertanya, “Siapa orang ini?” Para Malaikat menjawab, “Ini adalah Haritsah Bin Nu’man.” Lalu Rasulullah berkata kepada Aisyah, “Itulah pahala bagi kebaikan, itulah pahala bagi kebaikan.”
Nu’man adalah orang yang paling berbakti kepada ibunya. Aisyah berkata, “Ada dua orang sahabat Nabi yang merupakan orang yang paling berbakti kepada ibunya, Uthman Bin Affan dan Haritsah Bin Nu’man. Uthman berkata, “Saya tidak dapat mengingati wajah ibu saya sejak memeluk Islam.”
Sementara itu, Haritsah selalu menyuapkan ibunya ketika makan dan selalu mentaati semua perintah ibunya. Jika beliau tidak memahami perintah ibunya, dia akan bertanya kepada orang yang ketika itu bersama mereka, tanpa pengetahuan ibunya.”
Malaikat Jibril Menjawab Salam yang Diucapkan Haritsah
Haritsah Bin Nu’man menceritakan, “Saya lalu berdekatan Rasullullah. Ketika itu malaikat Jibril duduk bersamanya. Saya mengucapkan salam kepada baginda, lalu saya berlalu pergi. Ketika saya kembali dan Nabi juga sudah beranjak dari tempat duduknya tadi, baginda berkata, “Adakah kamu tahu siapa yang bersamaku tadi? ” Aku menjawab, “Ya.” Baginda bersabda, ” Dia ialah Jibril. Dan dia juga telah menjawab salam kamu.”
Allah Menjamin Rezeki Haritsah di Syurga
Haritsah Bin Nu’man berkata, “Sepanjang usia saya, saya melihat Malaikat Jibril dua kali. Pertama, pada peristiwa Shauran ketika Rasulullah bertolak menuju Bani Quraizah, Malaikat Jibril menemui kami dengan menggunakan bentuk Dikhyah. Beliau menyuruh kami menyiapkan senjata. Kedua, ketika melakukan pengenalan korban perang Hunain. Saya lalu berhampirannya ketika beliau sedang berbicara dengan Nabi. Saya tidak mengucapkan salam. Jibril kemudian bertanya kepada Nabi, ” Siapa orang ini?” Nabi menjawab, “Haritsah Bin Nu’man.” Jibril berkata, “Dia termasuk 100 mujahid yang teguh pendiriannya pada perang Hunain. Allah menjamin rezeki mereka di syurga. Seandainya dia mengucap salam, kami akan menjawab ucapan salamnya.”
Dalam pelukan keluarga yang penuh berkat inilah, Ummu Hisyam Binti Haritsah tumbuh menjadi orang yang mulia. Satu demi satu firman Allah dan hadis Nabi, beliau hayati dengan sepenuh jiwa dan raga. Seterusnya, mari kita lihat bagaimana keluarga ini memeluk Islam, dan bagaimana Allah mengangkat darjah mereka di dunia dan akhirat.
Beginilah Bagaimana Keimanan Masuk ke Rumah Haritsah Bin Nu’man
Ketika itu musim haji. Rasulullah bertemu dengan beberapa orang dari suku Khazraj di Madinah. Rasulullah kemudian menawarkan ajaran Islam kepada mereka, padahal Rasulullah sudah mengetahui bahawa mereka berasal dari persekitaran Yahudi, hingga sudah tidak asing lagi pembicaraan tentang Allah, para Rasul sebagai utusan, dan kitab suci di antara mereka.
Untuk itu, ketika mereka ditawarkan Islam dan diminta mendengarkan ayat-ayat al-Quran, maka mereka langsung bersedia menerima dan masuk Islam. Bahkan, mereka berjanji akan menawarkan Islam kepada para penduduk Madinah. Mereka lalu pulang ke Madinah dan memenuhi janji mereka dengan menyebarkan ajaran Islam kepada suku Aus dan Khazraj, hingga Islam menyebar di seluruh pelosok Madinah.
Pada tahun berikutnya, dalam jangkaan 12 orang dari mereka datang ke Mekah dan berbaiat kepada Rasulullah di Bukit Aqabah. Ketika mereka pulang ke Madinah, Nabi mengirim seorang sahabat pilihan, Mus’ab Bin Umair, untuk membacakan al-Quran, dan mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah.
Mus’ab melaksanakan tugas ini dengan sangat baik. Sikap bijaknya dapat meluluhkan hati orang-orang Aus dan Khazraj hingga dakwah Islam sampai juga ke telinga Haritsah Bin Nu’man, dan beliau pun segera menemui Mus’ab dan menyatakan keislamannya.
Kerana sangat berbakti kepada ibunya, maka beliau juga sangat gembira ketika ibunya (Ja’dah Binti Ubaid) menyatakan masuk Islam. Setelah itu seluruh keluarganya juga masuk Islam. Begitulah proses keislaman Ummu Hisyam Binti Haritsah beserta keluarganya. Dalam pelukan Islam, mereka merasakan kebahagiaan yang belum pernah mereka rasakan sebelumnya.