[Fikrul Islam] Syarat Jemaah/Parti lslam yang Dapat Menegakkan Daulah Islam (Bahagian 1)
Penulis: Ahmad Mahmud
Pertama, menerapkan seluruh pemikiran, hukum, dan pendapat yang sesuai dengan syariat yang diperlukan bagi aktiviti perjuangannya, sekaligus terikat dengan ketiganya, baik dalam pemikiran, perkataan, mahupun tindakan. Alasannya, di antara fungsi penerapan (tabanni) dalam pemikiran, hukum, dan pendapat adalah untuk mempersatukan para anggota parti.
Sebuah parti yang para anggotanya memiIiki berbagai pemikiran dan menganut berbagai ijtihad, meskipun mereka bersatu dalam satu tujuan dan dalam Islam secara umum, tidak boleh tidak, akan mudah ditimpa oleh keretakan dan perpecahan. Bahkan, lebih jauh, akan muncul di daIam tubuh parti itu beberapa ‘parti kecil’ dan akan Iahir beberapa ‘jemaah’ di dalam jemaah. Dakwahnya akan berubah dari usaha mengajak orang lain berjuang secara bersama-sama untuk menegakkan kewajipan ini ke arah upaya mengajak masuk ke dalam kelompoknya. Mereka akan saling bertengkar dan masing-masing mahu agar pendapatnya sahaja yang boleh dipakai di dalam parti. Dari sini tampak jelas betapa pentingnya penerapan (pemikiran, hukum, pendapat) dan peraturan bagi parti. Alasannya, kesatuan parti sangat dituntut oleh syariat, dan tidak ada yang dapat menjaga kesatuan parti kecuali dengan adanya penerapan pemikiran, hukum, dan pendapat yang diperlukan parti dalam aktiviti perjuangannya. Dalam hal ini, para aktivis parti jelas wajib juga untuk menerapkan apa yang telah diterapkan oleh partinya. Penerapan (tabanni) merupakan tuntutan syariat berdasarkan kaedah, “Ma la yatim al-wajib illa bihi fahuuwa wajib.”
Selagi berbagai pemikiran, hukum, dan pendapat untuk beraktiviti bagi sebuah parti sesuai dengan syariat, serta selagi para aktivisnya menaruh kepercayaan penuh pada parti, maka parti boleh mewajibkan para aktivisnya untuk mengikatkan diri secara penuh dengan hal-hal yang telah ditabanninya. Ini didasarkan pada kebolehan bagi muslim untuk meninggalkan pendapatnya dan beramal dengan pendapat orang lain. Uthman bin ‘Affan ra., misalnya, ketika dibaiat menjadi khalifah, rela meninggalkan ijtihadnya untuk mengambil ijtihad Abu Bakar dan Umar ra., meskipun pendapat keduanya bertentangan dengan pendapatnya. Para sahabat Uthman dan mereka pun membaiat Uthman. Hanya saja, hal ini merupakan sesuatu yang boleh, bukan suatu kewajipan. Alasannya, Saidina Ali ra. tidak mahu meninggalkan ijtihadnya untuk mengambil pendapat Abu Bakar dan Umar, sedangkan tidak ada seorang pun dari para sahabat yang mengingkari hal itu.
Ada juga hadis sahih dari Asy-Sya’bi yang menyebutkan bahawa Abu Musa pernah meninggalkan pendapatnya dan mengambil pendapat Ali; Zaid meninggalkan ijtihadnya dan mengambil pendapat Ubay bin Ka’ab; Abdullah meninggalkan pendapatnya dan mengambil pendapat Umar. Banyak juga hadis yang meriwayatkan bahawa Abu Bakar dan Umar pernah meninggalkan pendapat mereka dan mengambil pendapat Ali. Hal ini menunjukkan bolehnya seorang mujtahid meninggalkan pendapatnya dan mengambil pendapat orang lain dengan didasarkan pada keyakinan dan ijtihadnya. Namun demikian, para aktivis parti hendaklah berpegang teguh pada pemahaman partinya sehingga akan tumbuh pada diri mereka suatu kesatuan pemikiran dan perasaan.
Kedua, di samping parti perlu menerapkan hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan aktivitinya, ia juga mesti menerapkan beberapa cara (uslub) yang diperlukan untuk menerapkan hukum-hukum tersebut. Uslub, dengan demikian, merupakan model dari penerapan hukum-hukum syariat. Uslub adalah hukum yang berkaitan dengan hukum asal yang ditetapkan oleh dalil. Sebagai contoh, yang dituntut dari sebuah jemaah adalah menghasilkan pemikiran (tsaqafah) yang mendalam pada diri para aktivisnya, sebagaimana teladan yang diberikan oleh Rasulullah saw.. Ini adalah hukum syariat yang wajib dilaksanakan. Lantas, dengan model seperti apa dan bagaimana hukum syariat ini diaplikasikan, sudah pasti ada cara (uslub) tertentu. Dalam hal ini, dapat digunakan uslub berupa halaqah, usrah, atau model yang lain. Dengan demikian, pemilihan cara/model (uslub) dakwah semata-mata didasarkan pada pertimbangan akal untuk aktiviti yang paling sesuai, yang dengannya hukum syariat dapat dilaksanakan. Secara asal, uslub ini hukumnya mubah. Dengan kata lain, syariat sendiri telah menuntut agar hukum syariat direalisasikan, sedangkan mengenai uslub, penerapannya diserahkan kepada umat Islam sendiri. Banyaknya uslub bagi penerapan satu hukum syariat memerlukan kepada parti untuk menerapkan uslub tertentu dan membimbing para aktivisnya untuk menggunakannya. Dalam hal ini, parti hendaklah menerapkan uslub yang dapat mengantarkan pada penerapan hukum-hukum syariat. Atas dasar ini, hukum uslub diambil berdasarkan hukum pokoknya. Jadi, uslub yang diambil bersifat mengikat sebagaimana halnya hukum syariat.
Sebuah parti yang telah memilih halaqah (halqah, halqat) sebagai uslub untuk mewujudkan pemikiran (tsaqafah) yang mendalam hendaklah menerapkan uslub tersebut sebagai sesuatu yang mengikat. Ketika menerapkan uslub tersebut, parti mesti memandang bahawa tujuan yang diharapkan, iaitu terwujudnya tsaqafah yang mendalam, akan tercapai dengan uslub ini. Contohnya adalah, jumlah anggota halaqah mesti disesuaikan dengan tujuan. Jumlah anggota halaqah yang terlalu banyak dapat menyebabkan para anggotanya kurang fokus. Sebaliknya, jumlah anggota halaqah yang terlalu sedikit akan mengakibatkan jumlah kelompok halaqah menjadi banyak sehingga akan menyukarkan dan menyusahkan.
Oleh kerana itu, jumlah anggota halaqah mesti sesuai dengan proses penanaman pemikiran; tidak lebih dan tidak kurang. Penentuan jumlah anggota halaqah ini perlu dipertimbangkan secara rasional. Begitu juga dengan penetapan waktu yang diperlukan untuk halaqah, perlu diatur agar para anggota halaqah tetap memiliki kesedaran di dalam memahami berbagai pemikiran yang ada. Penetapan waktu halaqah yang terlalu lama akan mengakibatkan daya serap para anggota terhadap bahan halaqah menjadi rendah. Daya serap para anggota yang rendah akan mengakibatkan berbagai pemikiran tidak tersampaikan secara sempurna. Begitu juga dengan penetapan kekerapan halaqah; adakah harian, mingguan, atau dwimingguan, perlu disepakati dan ditetapkan waktunya. Dengan begitu, aspek praktis dalam dakwah tidak akan menjadi sukar dan para aktivis parti tidak disibukkan oleh aspek ilmiah Islam dengan mengorbankan aspek amaliahnya. Demikianlah proses penerapan setiap uslub yang sesuai dengan hukum-hukum syariat berlangsung dan menjadikannya sesuai dengan hukum-hukum syariat yang ingin direalisasikan.
Hal-hal yang dibicarakan berkaitan dengan uslub juga sama persis dengan yang dibicarakan berkenaan dengan wasilah (sarana) dakwah. Seorang pemimpin parti, dalam hal ini boleh melakukan perubahan terhadap uslub dan wasilah yang digunakan sesuai dengan apa yang memang dituntut untuk merealisasikan suatu amal.
Bersambung ke bahagian 2
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam