[Nafsiyah] Redha dan Doa Ibu Menguatkan Perjuangan
Sungguh bahagia hati seorang anak ketika melihat ayah dan ibu turut menyambut seruan dakwah, meski perlu menunggu waktu yang cukup lama. Pada awalnya si anak ananda menjelaskan tentang pemahaman Islam, sudah pasti tidak semudah membalikkan tapak tangan, bahkan acapkali ada penolakan. Sebagai anak, tidak sedikit pun ada niat untuk mengajar kedua orang tua. Namun, Islam mengajarkan kita untuk selalu menyampaikan kebenaran yang datangnya dari Allah dan Rasul-Nya. Meski kebenaran itu datangnya dari anak yang telah dibesarkan dan dididik oleh kedua orang tua, hendaklah tetap didengar dan diterima.
Mendakwahkan Islam di tengah keluarga memang tidak mudah kerana salah satu ujian besar bagi setiap pengemban dakwah ialah keluarga, termasuk kedua orang tua. Namun, hal itu tidak pernah menyurutkan langkah pejuang Islam untuk melakukan dakwah. Dengan harapan agar seruan dakwah dapat diterima dan bersama-sama menjadi keluarga pejuang Islam.
Duhai para ibu yang memiliki anak-anak soleh dan solehah pejuang Islam. Salam takzim untuk para ibu kerana kebaikan hati ibu yang redha atas pilihan hidup anak-anaknya menjadi pejuang Islam. Pilihan yang tidak mudah kerana rintangan dan ujian yang mereka sedia hadapi. Disebabkan redha ibu, setiap kesulitan dalam perjuangan mudah untuk mereka lalui. Meski sebagai anak, kadang-kadang tidak banyak waktu yang diberikan untuk bersama dengan ibunya. Banyak waktu yang ditujukan untuk memenuhi agenda dakwah dan juga menyeru umat dengan Islam. Bahkan, pada waktu yang lain, si anak menunaikan amanah mencari nafkah, belajar, sekolah, kuliah, dan sebagainya.
Wahai ibu, Islam memuliakan ibu melalui sabda Rasul saw., “Wahai Rasulullah, siapa yang paling berhak aku perlakukan dengan baik?” Nabi menjawab, “Ibumu.” “Kemudian siapa lagi?” Nabi menjawab, “Ibumu.” “Kemudian siapa lagi?” Nabi menjawab, “Ibumu.” “Kemudian siapa lagi?” Nabi menjawab, “Ayahmu, kemudian yang lebih dekat selepasnya dan selepasnya.” (HR Bukhari)
Syeikh Fadhlullah al-Jilani menyatakan terkait hadis di atas, “Ibu lebih diutamakan daripada ayah secara ijmak dalam perbuatan baik kerana dalam hadis di atas bagi ibu ada tiga kali bahagian berbanding ayah. Hal ini kerana kesulitan yang dirasakan ibu ketika hamil, bahkan kadang-kadang ibu meninggal saat melahirkan. Penderitaannya tidak berkurang ketika dia melahirkan. Kemudian cubaan yang dia alami mulai dari masa menyusui hingga anaknya besar dan sehingga anak dapat mengurus dirinya sendiri. Keadaan ini hanya dirasakan oleh kaum ibu.” (Fiqhul Ta’amul ma’al Walidain, hlm. 17).
Duhai ibu, jangan pernah lelah untuk selalu mendoakan anakmu dalam perjuangan. Anakmu berjuang saat ini untuk meraih kebaikan syurga yang Allah janjikan. Meraih rumah yang indah di syurga untuk dipersembahkan pada kedua orang tua. Anakmu memahami bahawa anak soleh dan solehah dapat menyelamatkan kedua orang tuanya dari bahaya api neraka.
Si anak juga berupaya melakukan birrulwalidain kepada kedua orang tua kerana begitu besar keutamaan birulwalidain kepada orang tua, termasuk ibu. Dari Ibnu Abbas, ada seorang lelaki datang kepadanya, lalu berkata kepada Ibnu Abbas, “Saya pernah ingin melamar seorang wanita, tetapi dia enggan menikah dengan saya. Lalu ada orang lain yang melamarnya, lalu si wanita tersebut mahu menikah dengannya. Aku pun cemburu dan membunuh sang wanita tersebut. Adakah saya masih boleh bertaubat?” Ibnu Abbas menjawab, “Adakah ibumu masih hidup?” Lelaki tadi menjawab, “Tidak, sudah meninggal.” Lalu Ibnu Abbas mengatakan, “Kalau begitu bertaubatlah kepada Allah dan dekatkanlah diri kepada-Nya sedekat-dekatnya.” Lalu lelaki itu pergi. Aku (Atha’) bertanya kepada Ibnu Abbas, “Kenapa Anda bertanya kepadanya tentang ibunya masih hidup atau tidak?” Ibnu Abbas menjawab, “Aku tidak tahu amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah selain birrulwalidain.” (HR Bukhari)
Ibu, maafkan anakmu kerana boleh jadi masih ada salah dalam tutur kata dan menyakiti hati. Sehingga terkadang membuat ibu sedih kerana kelalaian dan kesalahan anakmu. Anakmu belum memenuhi apa yang diperlukan ibu, menjaga perasaan ibu, serta bersikap tawaduk pada orang tua. Anakmu masih terus membersihkan diri sembari mempelajari ilmu agama. Aktiviti belajar, mengamalkan, serta mendakwahkan pemikiran Islam menjadi pilihan aanakmu. Semata-mata untuk menjadikan diri yang terbaik di hadapan Allah dan Rasul-Nya serta orang tua.
Ibu, ikhlaskan anakmu berada dalam medan perjuangan Islam. Perjuangan untuk mengembalikan kehidupan Islam sangat memerlukan para ibu yang solehah, tangguh, dan sentiasa mendoakan para pejuang Islam. Selayaknya Al-Khansa binti Amru, sahabiyah yang mempersembahkan keempat anaknya sebagai syuhada. Dia juga digelar sebagai “Ibu para syuhada”. Kasih sayang dan ilmu yang berlimpah dia berikan kepada anak-anaknya. Keempat anaknya wafat sebagai syuhada dalam perang Qadisiyah.
Tuturnya, “Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan dan berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya, kalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan dari seorang perempuan yang sama. Jika kalian melihat perang di jalan-Nya, singsingkanlah lengan baju kalian dan berangkatlah. Majulah hingga barisan depan, nescaya engkau akan mendapatkan pahala di akhirat, tepatnya di negeri keabadian.”
Al-Khansa juga mengatakan, “Berangkatlah kalian dan bertempurlah hingga syahid menjemput kalian.” Saat Al-Khansa mendengar anak-anaknya syahid, bukan air mata yang mengalir deras dari matanya, melainkan binar tanda syukur, dan dia berkata, “Alhamdulillah, yang telah memuliakanku dengan syahidnya putera-puteraku. Semoga Allah segera menjemputku dan mempertemukan aku dengan mereka dalam naungan rahmat-Nya di Firdaus-Nya yang luas.”
Masyaallah, patutlah para ibu yang memiliki anak-anak pejuang Islam meneladani Al-Khansa binti Amru. Keikhlasan dirinya sebagai orang yang mengandungkan anak-anaknya selama sembilan bulan tidak terbandingkan nilainya. Bukan hanya menguatkan anak-anaknya dalam perjuangan, tetapi mempersembahkan putera-putera terbaiknya untuk kemuliaan Islam. Wallahualam.
Sumber: Muslimah News ID
#inspirasi #nafsiyah #ibu #perananibu #ibusolehah #pejuangislam #dakwahislam