[Nafsiyah] Pejuang Bertekad Waja
Kita mengharapkan kembalinya kejayaan Islam. Namun, perlu diketahui bahawa kejayaan Islam tidak akan wujud tanpa adanya keikhlasan, titisan keringat , perasaan, pemikiran, ketaatan kepada Allah SWT, serta cucuran air mata taubat. Saudariku, kemenangan, petunjuk, dan ketegasan yang dimiliki oleh para sahabat Nabi SAW berasal dari taufik dan anugerah Allah SWT. Firman-Nya,
“Sesungguhnya Kamu tidaklah boleh memberikan petunjuk kepada orang yang kamu senangi, tetapi Allah SWT yang memberikan petunjuk kepada siapa saja yang Allah SWT kehendaki.” [TMQ al-Qasas (28): 56]
Sesungguhnya perjuangan yang memimpin generasi terdahulu di mana umat ini mencapai kegemilangan, bukanlah kerana tubuh tegap mereka. Juga bukan kerana persenjataan mereka yang lengkap atau kekayaan yang melimpah ruah. Namun, kerana mereka memiliki azam dan tekad sekuat besi, yang datang dari hati yang bersih daripada syirik dan bergantung hidup hanya kepada Allah SWT semata-mata.
Nabi SAW telah bersabda, “Sebaik-baik manusia adalah pada masaku (para sahabat), kemudian orang-orang sesudah mereka (tabiin). Kemudian orang-orang sesudah mereka (tabi’ut tabiin).” [HR Bukhari dan Muslim]
Fahamilah saudariku, Islam pernah berjaya kerana memiliki tokoh seperti Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA yang bertekad waja.
Dengan nada tegas dan penuh tekad beliau pernah berkata , “Demi Allah, aku pasti akan memerangi orang-orang yang memisahkan solat dengan zakat. Sesungguhnya zakat merupakan hak harta. Demi Allah, sekiranya mereka enggan membayar kepadaku zakat unta dan kambing yang pernah mereka bayar dahulu kepada Rasulullah SAW, nescaya aku akan perangi mereka disebabkan keengganan mereka.” [HR Bukhari dan Muslim]
Islam pernah berjaya juga kerana adanya Sayidina Mus’ab bin Umair RA yang memiliki tekad sekuat waja. Dengan tekad yang kuat, beliau mampu mendorong dirinya untuk meninggalkan masa remaja dan kehidupannya yang serba mewah. Dia rela menjalani kehidupan yang susah, miskin, dan penuh derita. Azamnya yang sekeras waja menjadi faktor penting bagi kemasukan sebahagian besar penduduk Madinah ke dalam agama Islam.
Ketika dia memegang panji perang saat bertempur, pergelangan tangan kanannya terpotong. Lalu dia memegang panji perang itu di tangan kirinya. Pergelangan tangan kirinya juga terpotong tidak lama setelah itu. Lalu dia memegang panji perang dengan kedua-dua lengannya. Allahu Akbar!
Ketahuilah saudariku, ternyata apa yang tertancap di dalam dada kita tidaklah sehebat dan sekukuh yang tertancap di dada para sahabat. Mereka memiliki keimanan seperti gunung. Sayidina Umar bin Khattab RA mengatakan, “Seandainya keimanan yang dimiliki Abu Bakar ditimbang dengan keimanan segenap penduduk bumi (selain para nabi), niscaya timbangannya lebih berat daripada timbangan keimanan mereka.” [HR Al Baihaqi]
Kita juga diingatkan oleh kisah Sayidina Abdullah bin Mas’ud RA, dia mengatakan, “Barang siapa di antara kalian yang ingin meniti suatu jalan, maka ikutilah jalan yang ditempuh oleh para ulama yang sudah meninggal, iaitu para sahabat Nabi Muhammad SAW. Mereka adalah manusia-manusia terbaik dari umat ini. Hati mereka lebih baik, ilmu mereka lebih mendalam, dan paling sedikit membebani diri. Suatu kaum yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk menemani Nabi-Nya dan menyampaikan agama-Nya. Contohilah akhlak dan jalan hidup mereka. Yang demikian adalah kerana mereka berada di atas petunjuk yang lurus.” [HR Al Baghawi dalam Syarah As Sunnah]
Begitu pentingnya mempunyai tekad waja dalam agama Allah SWT, Rasulullah SAW sering bermunajat, “Ya Allah, aku sungguh-sungguh memohon kepadamu ketegasan dalam urusan agama ini dan tekad kuat agar berada di atas petunjuk.”
Tekad/keazaman yang tinggi akan benar-benar mendidih di dalam kalbu para pemiliknya seperti air mendidih di dalam periuk. Dengan itu dia mampu memotivasikan diri untuk melakukan kerja-kerja yang hebat setiap pagi dan petang sehingga dia berkata seperti yang dikatakan oleh Imam Syafie rahimahullah, “Berehatnya seorang aktivis itu adalah satu bentuk kelalaian.”
Teladanilah para sahabat Nabi SAW, mereka banyak memiliki keutamaan dalam kehidupan.
Di antaranya, pertama, para sahabat adalah orang-orang yang sangat mudah menerima nasihat.
Irbadh bin Sariyah meriwayatkan, “Rasulullah SAW menasihati kami dengan sebuah nasihat yang menyentuh, yang telah membuatkan hati-hati bergetar dan airmata bercucuran…” [HR Abu Daud dan Tirmizi]
Para sahabat memiliki hati yang mudah bergetar ketika disebutkan kebesaran Allah SWT dan ayat-ayat-Nya.
Firman-Nya, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang apabila disebutkan nama Allah SWT, hati mereka bergetar. Lalu apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, keimanan mereka bertambah. Mereka hanya bertawakkal kepada Rabb mereka.” [TMQ al-Anfal (8): 2]
Kedua, para sahabat ialah orang-orang yang sangat bersemangat dalam meraih kebaikan. Mereka berlumba-lumba dengan segala kemampuan kerana mereka meyakini kemuliaan di sisi Allah SWT dinilai dengan ketaqwaan. Bukan dengan wang, kecantikan, pangkat, ramainya kenalan maupun populariti.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah orang-orang yang paling bertaqwa di antara kalian.” [TMQ al Hujurat (49): 13]
Dengan demikian, betapa pentingnya agar para pejuang Islam memiliki tekad sekuat waja. Tekad seperti inilah yang mampu mengubah sesuatu yang mustahil menjadi nyata. Menjadikan perjuangan terus maju ke hadapan, walaupun terdapat banyak halangan dan rintangan.
Semoga Allah menjadikan kita pejuang Islam yang bertekad waja, mampu menghadapi setiap masalah yang muncul. Bukan pejuang malang yang tidak akan kuat saat dihadapkan dengan gelombang ujian. Wallahul muwafiq.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/09/25/11973/