[Fikrul Islam] Pentingnya Akidah (Bahagian 2/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Secara syarie dapat dimaklumi bahawa kalimat “lailahaillallah Muhammad Rasulullah” baik secara ilmu mahupun amal, tidak akan bersih berada di dalam jiwa sehingga segala pemikiran selain daripada Islam dibuang dan setiap keimanan kepada selain-Nya dijauhkan dari dalam jiwa itu. Allah Swt. berfirman,
فَمَنْ يَّكْفُرْ بِالطَّاغُوْتِ وَيُؤْمِنْۢ بِاللّٰهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقٰى لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗوَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ
“Oleh kerana itu, siapa saja yang ingkar (kufur) terhadap thaghut dan beriman kepada Allah, bererti dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat dan tidak akan putus. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah (2): 256].
Dalam ayat di atas Allah Swt. mendahulukan untuk menyebut kata kufur terhadap thaghut supaya tidak menempel satu noda syirik atau satu kotoran kekufuran pun dalam jiwa sehingga setelah itu datang keimanan yang ikhlas. Inilah keadaan yang dialami oleh orang yang berpegang teguh pada tali yang kukuh (urwah al-wutsqa).
Allah Swt. juga berfirman,
فَاعْلَمْ اَنَّهٗ لَآ اِلٰهَ اِلَّا اللّٰهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنٰتِۚ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوٰىكُمْ
“Oleh kerana itu, ketahuilah, bahawa tidak ada tuhan (yang patut disembah) selain Allah dan mohonlah ampunan atas dosamu dan atas (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu.” [TMQ Muhammad (47): 19]
Frasa “lailaha” bererti bahawa setelah meneliti dan memikirkan muncullah ilm (keyakinan)—yang bermakna penafian—bahawa sesungguhnya tidak ada ‘tuhan’ yang ada sebagai Tuhan yang layak untuk disembah. Kemudian frasa “Illallah” merupakan peneguhan “itsbat” bahawa ketuhanan (uluhiyah) hanyalah hak milik Allah Semata. Ertinya kalimat di atas menafikan Tuhan selain Allah dan sekaligus menguatkan (mengukuhkan) bahawa hanya Allah yang layak disebut Tuhan.
Dalam perspektif bahasa Arab, kalimat seperti ini adalah bentuk pengukuhan (itsbat) yang paling kuat dan memiliki fungsi untuk memberikan pembatasan/pengkhususan (al-hasyr). Oleh kerana itu, bukan pemikiran sosialisme, nasionalisme, atau patriotisme yang akan menyelamatkan atau merupakan pemikiran yang benar. Alasannya, pemikiran-pemikiran itu semuanya adalah rosak dan batil, menyengsarakan manusia, dan bukan membahagiakannya. Jadi, selain Islam dan syariatnya, tidak ada yang lain yang merupakan petunjuk, cahaya, dan penyembuh.
Parti politik Islam mesti melakukan pembinaan atas para anggotanya sekaligus membentuk keperibadian Islam (syakhshiyah Islamiyah) mereka. Caranya adalah dengan menyampaikan kepada mereka beberapa tolok ukur yang benar dan memuaskan jiwa-jiwa mereka. Dengan begitu, mereka suka untuk sentiasa terikat dengan syariat dan benci jika melanggarnya, mereka cinta untuk selalu berhukum dengan syariat dan benci jika melanggarnya. Mereka cinta untuk selalu berhukum dengan syariat dan benci jika berhukum dengan selainnya.
Begitu juga dengan cara berfikir mereka dalam memandang perkara-perkara yang ada selalu terjaga dengan beberapa tolok ukur dan pemikiran yang bersumber dari syariat, kecenderungan mereka mengikuti kecenderungan Islami serta keredhaan dan kebencian mereka semata-mata kerana alasan syarie.
Parti politik Islam juga mesti menanamkan pemikiran-pemikiran ini kepada para pengikutnya melalui beberapa halaqah muraqazah (pembinaan intensif). Halaqah ini dimaksudkan dalam rangka mempersiapkan para aktivis parti untuk memimpin dan melaksanakan aktiviti dakwah. Hal itu dilakukan setelah mereka ikut terjun ke dalam realiti bersama parti untuk mengajak masyarakat agar menerapkan pemikiran-pemikirannya.
Parti politik Islam juga mesti berusaha memahami realiti yang ada dengan cara berfikir. Parti juga mesti menyampaikan kepada para aktivisnya proses berfikir yang dipergunakannya sehingga ianya sampai pada suatu definisi atau batasan-batasan rasional aqliah.
Dengan demikian, parti berperanan sebagai pembimbing bagi para aktivisnya, mengenai cara mereka berinteraksi dengan realiti, serta cara mereka untuk sampai pada berbagai definisi rasional mengenai beberapa realiti yang ada—sesuatu yang nescaya bagi hukum-hukum syariat—yang menempati kedudukan sebagai objek hukum (manath hukum) baginya, seperti definisi akal, keperluan fizik (hajat al-udhawiyah), naluri-naluri (gharaiz), kebangkitan, (nahdhah) masyarakat, peradaban, kebudayaan material (madaniyah), dan lain-lain. Semua itu mesti didefinisikan kerana adanya keperluan untuk mengetahui hakikatnya yang sangat berkaitan dengan banyak hukum syariat.
Parti politik Islam juga mesti memahami hukum-hukum syariat melalui pemahaman terhadap dalilnya. Dari dalil-dalil itulah kemudian digali beberapa hukum yang berkaitan dengan penyelesaian berbagai masalah atau perbaikan realiti. Hal ini memerlukan penerapan (tabanni) beberapa perangkat ilmu. Ilmu inilah yang memungkinkan parti mampu memahami nas-nas syariat sehingga ia mampu memahami hukum-hukum syariat dengan sebenar-benarnya. Dalam hal ini parti wajib mempergunakan metod penggalian dalil (istidlal), khususnya di hadapan para aktivisnya dan juga umat Islam secara umum. Ertinya, parti mesti mengajarkan kepada mereka sekaligus menanamkan di dalam jiwa-jiwa mereka metod Islam yang benar di dalam memahami sekaligus menggali hukum-hukum syariat.
Parti politik Islam, ketika pemikiran-pemikiran Islam yang diterapkan ditransformasikan kepada para aktivisnya, juga wajib memperhatikan bahawa aspek amaliahnyalah yang dijadikan tujuan. Jadi, pemikiran kolektif parti bukan sekadar untuk dipelajari, dikembangkan sebagai pengetahuan, atau semata-mata ditujukan agar para aktivisnya mencapai darjat ilmu yang mumpuni. Akan tetapi, lebih dari itu, pemikiran kolektif ini dimaksudkan untuk menciptakan keadaan perjuangan pemikiran (ash-shira’ al fikri) dan perjuangan politik (al-kifah as-siyasi). Sekaligus untuk mengembannya sebagai kepemimpinan berideologi (qiyadah al-fikriyah) di dalam diri umat sebagai usaha mendirikan sebuah institusi (Daulah Islamiyah) yang akan membumikannya.
Parti politik Islam juga wajib menerjemahkan pemikiran kolektifnya secara praktik dan mendalam. Parti tidak boleh mengatakan sesuatu, tetapi melakukan sesuatu yang sebaliknya. Jika ini terjadi, nescaya hanya kebencian yang besar di sisi Allah terhadap parti kerana ia mengetahui yang hak tetapi melaksanakan hal yang sebaliknya.
Memang, parti politik Islam mesti menerapkan pemikiran (tsaqafah) Islam—sebagai pemikiran kolektif parti—dan begitu juga para aktivisnya. parti mesti menjadikan pemikiran kolektifnya sebagai asas bagi mereka dan menanamkannya ke dalam jiwa para aktivisnya. Dari sini parti politik Islam dapat terjun ke tengah-tengah umat dengan membawa pemikiran-pemikiran Islam yang utama, yakni dengan cara yang dapat membentuk opini umum terhadap pemikiran-pemikiran tersebut.
Parti politik Islam terjun ke tengah-tengah umat dengan beberapa pemikiran Islam mengenai akidah dan hukum-hukum syariat yang utama dalam bentuk yang dapat menyatukan umat. Hal ini dilakukan untuk mencapai satu tujuan iaitu menjadikan syariat Allah sebagai satu-satunya hakim (pemutus perkara). Dengan begitu, parti telah memiliki perspektif yang benar yang dianggap sebagai awal kembalinya keperibadiannya yang telah lama hilang.
Inilah rambu-rambu yang tidak boleh dilanggar oleh parti politik Islam. Jika parti tetap konsisten dengan batasan-batasan di atas, ia tidak akan ditimpa malapetaka seandainya ia membuat beberapa kekeliruan pada sebahagian hukum-hukum cabang atau ketika parti berbeza pendapat dengan parti yang lain. Perbezaan ini merupakan sesuatu yang wajar dan bukanlah hal yang aneh.
Inilah pemikiran (tsaqafah) yang diperlukan oleh parti politik Islam agar berjaya mencapai cita-citanya. Kejayaan tersebut akan direpresentasikan oleh adanya penerapan syariat Allah dan tersebar luasnya dakwah ke seluruh pelosok dunia. Wallahu waliy at-taufik.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
***Bahagian 1 : https://wp.me/pdmUzG-1pe
#fikrulislam #akidahislam #PemikiranIslam #Tsaqafahislam #partipolitik #PolitikIslam