Ciri-ciri Akidah Islam
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Di antara ciri-ciri akidah Islam yang paling penting adalah seperti berikut:
1. Akidah Islam dibangunkan di atas landasan akal.
Selama kita beriman kepada Allah, al-Quran, dan kenabian Muhammad SAW dengan jalan akal, wajib bagi kita untuk beriman dengan segala perkara yang diberitakan oleh al-Quran kepada kita. Sama ada yang diberitakan itu dapat dijangkau oleh akal dan pancaindera manusia, ataupun perkara ghaib yang sama sekali tidak dapat dijangkau dengan pancaindera manusia seperti kewujudan hari akhirat, malaikat, syurga dan neraka.
2. Akidah Islam sesuai dengan fitrah manusia.
Beragama (at-tadayyun) merupakan fitrah yang memang ada dalam diri manusia. Wujudnya rasa at-tadayyun yang ada dalam diri manusia ini adalah bilamana manusia merasakan bahawa dirinya terdapat kelemahan, kekurangan, dan saling memerlukan dengan sesuatu yang lain.
Kemudian hadirnya akidah Islam untuk memenuhi naluri beragama (gharizat at-tadayyun) ini disamping membimbing manusia untuk mendapatkan kebenaran akan kewujudan Pencipta Yang Maha Kuasa (khaliqun qadirun) yang bersifat azali. Dimana wujudnya semua makhluk yang ada sangat bergantung kepada Al-Khaliq. Sebaliknya, kewujudan Allah SWT tidak bergantung kepada sesiapa pun.
3. Akidah Islam bersifat komprehensif (menyeluruh).
Akidah Islam telah menjawab seluruh pertanyaan manusia tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan serta menetapkan bahawa semua itu adalah makhluk. Akidah Islam juga menetapkan bahawa sebelum kehidupan dunia adanya Allah SWT. Sedangkan setelah kehidupan dunia akan ada hari kiamat.
Akidah Islam juga menetapkan bahawa hubungan antara kehidupan dunia dengan yang ada sebelum kehidupan dunia adalah keterikatan manusia dengan perintah-perintah dan larangan-larangan Allah SWT. Sedangkan hubungan antara kehidupan dunia ini dengan kehidupan selepas itu adalah perhitungan (hisab), syurga, dan neraka.