Manusia Terbaik ialah yang Memberi Manfaat yang Maksimum kepada Orang Lain
Oleh: Siti Murlina, S.Ag.
Seorang muslim yang beruntung adalah orang yang dikurniakan kesedaran oleh Allah untuk mengamalkan pelbagai jenis peluang kebaikan dan menghasilkan manfaat sebanyak mungkin untuk kemaslahatan umat manusia, baik dari segi kehidupan dunia mahupun akhirat.
Antara wasilah untuk mendapatkan kebaikan dan kemuliaan seorang muslim dapat dilihat dari sejauh mana dirinya mempunyai nilai manfaat untuk orang lain. Seperti mana yang dinyatakan dalam hadis, Rasulullah saw bersabda,
خَيْرُ الناسِ أَنفَعُهُم لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.” (HR Ahmad, Ath-Thabrani, Ad-Daruqutni)
Hadis di atas menyatakan, salah satu karakter yang wajib dimiliki oleh seorang muslim ialah memberikan sumbangan kebaikan yang maksimum kepada orang lain dalam pelaksanaan syariat Islam. Baik dari dimensi hablum-minallah (hubungan dengan Pencipta), hablum-minannafsi (hubungan dengan diri sendiri), mahupun hablum-minannas (hubungan dengan manusia lain) secara selari dan harmoni. Ini kerana hanya dengan Islam sahaja semua keharmonian hubungan tersebut dapat direalisasikan.
Hal ini selaras dengan tujuan penciptaan manusia oleh Allah SWT dalam hubungan ketiga dimensi kehidupan tersebut yang mesti nyata agar bernilai ibadah dalam pandangan Islam. Ini sebagaimana firman Allah SWT,
وَمَا خَلَقۡتُ الۡجِنَّ وَالۡاِنۡسَ اِلَّا لِيَعۡبُدُوۡنِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali hanya untuk beribadah.” [TMQ Adz-Dzariyat (52): 56]
Adapun kegiatan mulia dan berfaedah untuk mencapai sebutan terbaik sebagaimana sabda Rasulullah saw dalam hadis tadi tidak lain adalah dakwah, iaitu mengajak dan menyeru manusia agar taat dan beribadah hanya kepada Allah semata, Rabb semesta alam, dunia dan akhirat. Dakwah adalah menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, sebagaimana firman Allah SWT,
كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ ۗ َ
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3): 110]
وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ المفلحونَ
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3): 104]
Islam adalah agama dakwah, maka setiap individu muslim mempunyai kewajipan berdakwah untuk menyampaikan kebenaran. Dakwah yang dimaksud di sini adalah mendakwahkan Islam secara kaffah, yakni menjadikan Islam sebagai sebuah sistem kehidupan (nizhamul hayah), sebuah ideologi yang memancarkan peraturan hidup, bukan sekadar agama ritual. Mendakwahkan Islam bukan hanya dimensi spiritual (ruhiyah) berkaitan dengan akhirat sahaja, tetapi juga dimensi siyasahnya yang mengatur tentang urusan dunia.
Dakwah hendaklah dibincangkan bermula dari akidah Islam dan syariatnya secara keseluruhan, bermula dari individu, masyarakat, dan negara. Adapun sudut pandang dalam menyelesaikan masalah kehidupan, bermula dari pemikiran, hukum, dan pemahaman adalah berlandaskan akidah Islam.
Selain itu, Islam mempunyai risalah universal atau untuk seluruh alam. Islam berasal dari Allah SWT, Zat yang Maha Pencipta (manusia, alam semesta dan kehidupan). Dengan menjadikan dakwah Islam sebagai ideologi, ia akan menghasilkan pelbagai jenis kebaikan, keberkatan, dan manfaat bagi kehidupan manusia bahkan seluruh alam.
Hanya syariat Islam sahaja yang dapat menyelesaikan segala permasalahan kehidupan dengan adil dan benar.
Kedudukan dakwah ini dalam Islam sangat mendesak, iaitu merupakan salah satu kaedah untuk menyebarkan risalah. Dakwah dapat mengubah kehidupan dari rendah (hina) menjadi mulia (tinggi). Melalui dakwah, segala kebaikan, manfaat, dan keberkatan akan dapat direalisasikan sepenuhnya. Bukan sahaja dalam ruang lingkup individu, tetapi juga masyarakat, negara, dan seluruh dunia.
Jadi kegiatan yang sangat mulia dan memuliakan adalah dakwah Islam secara total. Dakwah amar makruf nahi mungkar tidak hanya sebatas pada peringkat individu sahaja, tetapi juga pada masyarakat dan pada peringkat penguasa.
Apatah lagi pada zaman penuh fitnah ini, wajib bagi umat Islam untuk menyampaikan kebenaran pada pelaku kemungkaran, terutama di hadapan penguasa yang zalim (muhasabah lil hukkam). Dakwah kepada penguasa ini adalah jihad. Sebagaimana sabda Rasulullah saw,
إن افضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جاءر
“Sesungguhnya jihad yang paling mulia adalah perkataan yang hak di hadapan penguasa yang zalim.” (HR Ahmad)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw sekali lagi menyebutkan bahawa aktiviti dakwah ini adalah aktiviti yang terbaik iaitu menyeru manusia kepada Allah. Hadis dari Durrah binti Abi Lahab berkata, seseorang berdiri ketika Rasulullah saw di atas mimbar lalu bertanya, “Siapakah sebaik-baik manusia?” Beliau menjawab,
خير الناس اقرؤهم واتقاهم وامرهم بالمعروف وانهاهم عن المنظر واوصلهم للرحم
“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling taat, yang paling bertakwa di antara mereka, yang paling banyak melakukan amar makruf nahi mungkar, dan yang paling selalu bersilaturahmi.” (HR Ahmad dan Ath-Thabrani)
Kegiatan dakwah secara total ini sudah pasti akan membawa manusia ke jalan yang lurus dan benar serta memberi manusia petunjuk. Urusan dunia dan akhirat menjadi lebih baik dan benar sehingga terwujud kebahagiaan, kebaikan, serta keberkatan dalam semua dimensi kehidupan.
Sebagaimana firman Allah SWT,
وَلَوْ اَنَّ اَهْلَ الْقُرٰٓى اٰمَنُوْا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّمَاۤءِ وَالْاَرْضِ وَلٰكِنْ كَذَّبُوْا فَاَخَذْنٰهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ
“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.” [TMQ Al-A’raf (7): 96]
Wallahualam bissawab.
Sumber: Suara Mubalighah
#SyarahHadis #ManusiaTerbaik
#MemberiManfaatPadaOrangLain
#MendakwahkanIslamKaffah
#AmarMakrufNahiMungkar