[Nafsiyah] Seburuk-buruk Manusia
Sebagai manusia dan hamba-Nya yang beriman, kita pastinya tidak berharap menjadi manusia yang paling buruk. Kerana manusia yang paling buruk akan merasai dahsyatnya peristiwa hari kiamat. Apabila hari itu tiba, yang tinggal hanyalah manusia yang paling buruk.
Rasulullah saw bersabda, “Tidak akan tiba hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang baik dari penduduk bumi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang jahat. Mereka mengetahui yang baik dan tidak mengingkari yang mungkar.” (HR Ahmad)
Maksud hadis di atas ialah bahawa Allah akan mematikan orang-orang baik dan para ulama. Kemudian yang tinggal hanyalah orang-orang jelek yang tidak ada kebaikan dalam diri mereka. Kita mengetahuinya tatkala ilmu diambil, sedangkan manusia menjadikan orang-orang bodoh sebagai pemimpin yang memberi fatwa tanpa ilmu.
Pada hadis yang lain kita diingatkan oleh Rasulullah saw., “Akan datang pada manusia suatu zaman yang mereka akan dipilih sehingga yang tinggal dari mereka hanyalah orang-orang yang hina, perjanjian dan amanah mereka telah bercampur (tidak menentu), dan mereka berselisih. Mereka seperti ini. Beliau (Rasul) merenggangkan jari-jemarinya (menunjukkan keadaan mereka yang saling bermusuhan.” (HR Ahmad)
Orang-orang soleh hilang ketika banyak kemaksiatan dan apabila amar makruf nahi mungkar ditinggalkan. Kerana, jika orang-orang soleh melihat kemungkaran, lalu mereka tidak mengubahnya, maka kerosakan semakin banyak. Seksaan juga akan turun kepada mereka semua, sebagaimana sabda Rasulullah saw, “Apakah kami akan binasa, sedangkan orang-orang soleh masih ada di antara kami? Beliau menjawab, ‘Ya, apabila kemaksiatan berleluasa.’” (HR Bukhari)
Hari ini kita menyaksikan betapa ramai orang yang tidak mengetahui yang benar dan salah. Malah, ketika ada yang menolak perbuatan homoseksual, mereka dikenalpasti sebagai golongan radikal. Kemudian ketika ada yang mengingatkan bahawa pekerja seksual ialah pelaku maksiat, malah kenyataan tersebut dianggap diskriminasi, pelaku maksiat dianggap pekerjaan yang membantu ekonomi keluarga.
Kita juga dapat mengetahui ciri-ciri manusia yang paling buruk di antaranya:
Pertama, orang yang ditakuti sesama manusia kerana kejahatannya. Sabda Rasulullah saw, “Wahai Aisyah, sungguh manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah adalah seseorang yang ditinggalkan atau dijauhi oleh sesama manusia hanya kerana mereka takut kepada kejahatannya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Kedua, orang yang tidak dapat disedarkan oleh al-Quran. Rasulullah saw bersabda, “Di antara manusia yang terburuk adalah seorang penderhaka lagi kurang ajar, yang membaca Kitabullah, tetapi tidak disedarkan oleh satu pun daripadanya.” (HR Ahmad)
Oleh itu, apa yang boleh kita harapkan dari seseorang yang tidak dapat menerima nasihat dari Allah Taala? Hatinya telah terkunci mati sehingga dia akan lebih sesat dibandingkan dengan seekor binatang ternak sekalipun. Firman-Nya, “Atau apakah engkau mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu hanyalah seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat jalannya.” [TMQ al-Furqan (25): 44]
Keempat, orang yang merasai dahsyatnya hari kiamat dan menjadikan kuburan sebagai masjid. Sabda Rasulullah saw, “Di antara manusia yang terburuk adalah mereka yang mendapati hari kiamat dan orang-orang yang menjadikan kuburan sebagai masjid.” (HR Ibnu Hibban)
Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali jika sudah tidak ada seorang pun yang menyeru nama Allah di muka bumi. Zaman yang Allah dilupakan. Innalillahi.
Kelima, orang yang merosakkan akhiratnya demi meraih dunia milik orang lain. Rasulullah saw bersabda, “Di antara orang yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat adalah seorang hamba yang menghancurkan akhiratnya demi merebut dunia milik orang lain.” (HR Ibnu Majah)
Maksud hadis di atas ialah orang yang membunuh demi merompak harta orang lain. Kerana cita-cita dunia dia merampas hak milik orang lain dan menghancurkan akhiratnya. Atau, dia membantu orang zalim demi mencapai tarikan duniawi yang menyebabkan agama mereka juga hancur.
Keenam, orang yang panjang umurnya, tetapi buruk amal perbuatannya. Abu Bakrah menceritakan bahawa suatu hari pernah seseorang bertanya kepada Rasulullah, “Orang seperti apakah yang paling baik?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya.” Dia bertanya lagi, “Lalu, orang seperti apa yang paling buruk?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya, tetapi buruk amal perbuatannya.” (HR Tirmidzi)
Saudariku, semoga kita tidak termasuk menjadi sebahagian daripada seburuk-buruk manusia. Begitu menyedihkan kehidupan kita jika menjadi penduduk terakhir bumi yang merasakan dahsyatnya hari kiamat. Malah sehingga Rasulullah mengingatkan kita, mereka yang melihat terbitnya matahari dari arah barat, petanda Allah tidak menerima taubatnya. Yang tinggal hanyalah penyesalan dalam diri mereka. Astagfirullah. Wallahul musta’an.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/10/02/12276/
#Nafsiyah
#SeburukBurukManusia
#Kejahatan
#TidakMendengarNasihat
#MaksiatBerleluasa