[KOLUM SIYASAH]
Kestabilan Politik Hanya Wujud dengan Sistem Khilafah
Sempena Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15) ini, di antara hujah yang banyak dicanangkan adalah tentang betapa pentingnya Malaysia mempunyai kestabilan politik untuk memastikan agar kestabilan ekonomi dapat diraih. Dikatakan pula bahawa apabila kerajaan yang memerintah itu kuat dan stabil, maka banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk rakyat.
Namun, jika kita mengimbau kisah PRU yang lalu, kita akan dapati bahawa walaupun kerajaan yang memerintah pada ketika itu amat stabil dan kuat, kemelesetan ekononomi tetap juga berlaku. Contohnya kemelesetan yang berlaku sekitar tahun 1986, 1997 dan 2008, membuktikan bahawa hujah tersebut tidak berasas. Contoh lain adalah kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika yang juga membuktikan bahawa kestabilan politik gagal untuk memastikan kestabilan nilai matawang sesebuah negara. Di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, kemelesetan ekonomi akan tetap berlaku kerana ia adalah masalah sistemik yang pasti akan muncul disebabkan asas ribawi yang menjadi teras kepada pelbagai transaksi kewangan. Hakikatnya, di sebalik slogan kestabilan politik yang dicanangkan, apa yang dimaksudkan adalah penguasaan mutlak parti yang memerintah ke atas mekanisme pengagihan kekayaan di dalam negara. Kerajaan yang dibentuk oleh parti pemerintah akan memiliki kuasa dan kemudahan untuk mengawal dan mengagihkan kekayaan di dalam negara. Inilah sebenarnya maksud di sebalik naratif ‘politik stabil’ sebagai ‘modal’ bagi mendapatkan mandat dari rakyat – mandat untuk meraih seberapa banyak manfaat yang akan tersedia nanti.
Adapun di dalam Islam, kestabilan politik sedia wujud sebaik sahaja Sistem Pemerintahan Khilafah didirikan. Ini adalah kerana, di dalam Sistem Khilafah, tidak wujud konsep parti yang memiliki kuasa dominan sebagai parti memerintah. Konsep ini tidak pernah ada sepanjang sejarah pemerintahan Islam. Apa yang wujud adalah Khalifah sebagai ketua negara dan Majlis Umat selaku saluran untuk melakukan muhasabah terhadap Khalifah yang akan terus berada di tampuk kepimpinan selagimana dia melaksanakan sepenuhnya hukum syara’. Dan dialah yang akan menjadi penjaga paling utama atas segala urusan umat. Harta kekayaan negara bukan untuk dibolot oleh mana-mana parti tetapi sebaliknya terpulang kepada Khalifah, dengan berpandukan syariat Islam, bagaimana ia harus diagihkan. Inilah kaedah kepimpinan tunggal yang ditunjukkan oleh para sahabat. Kestabilan politik di dalam Sistem Khilafah dicapai bukan kerana faktor manusiawi tetapi kerana ia adalah sistem yang berasaskan kepada nas syara’. Jadi, kestabilan politik yang dimaksudkan disini adalah kestabilan yang berasaskan kepada pimpinan daripada wahyu dan umat hanya menjalankannya sesuai dengan kehendak wahyu dari Sang Pencipta Alam Semesta.
Sumber: mykhilafah
#kolumsiyasah #politikmalaysia #sistempemerintahan #PRU15