[SAUTUN NAHDHAH]
SN618 – PEMIMPIN AMANAH VS PEMIMPIN KHIANAT
Bahang PRU15 semakin terasa memenuhi suasana politik Malaysia. Manakan tidak, seramai 946 calon didaftarkan akan bertanding untuk merebut hanya 222 kerusi parlimen manakala 434 calon berdaftar akan bertanding untuk merebut kerusi-kerusi DUN di tiga negeri. Dengan beberapa hari tinggal sebelum pilihanraya, para calon sibuk berkempen dan menabur janji agar mereka dipilih oleh rakyat. Di pihak pengundi pula, mereka masih berkira-kira siapakah di antara calon tersebut yang layak diundi untuk memimpin mereka nanti. Di dalam keghairahan memilih, adakah mereka sedar bahawa terdapat dua jenis pemimpin di dunia ini?
• Pertama, pemimpin yang amanah
• Kedua, pemimpin yang khianat
Bagaimanakah untuk kita mengenali mereka ini?
Amanah di Dalam Kepimpinan
Islam telah meletakkan sifat amanah sebagai satu sifat yang amat terpuji sehingga apabila seorang pemimpin melaksanakan tugasnya dengan penuh amanah, dia akan akan mendapat keredhaan Allah (swt) manakala jika dia berkhianat, dia akan dibenci dan dilaknat oleh Allah (swt). Malah pengkhianatannya itu akan diperlihatkan oleh Allah (swt) sebagai satu penghinaan ke atasnya di akhirat kelak.
Justeru, setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas setiap amanah yang diberikan kepadanya. Rasulullah (saw) bersabda, “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Hadis Rasulullah (saw) ini menujukkan bahawa kepimpinan merupakan suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah (swt) di akhirat kelak. Disebabkan amanah yang berat ini akan dipersoalkan di hari akhirat, maka generasi salafus-salih pada masa lalu sangat takut dengan beban amanah kepimpinan yang berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan. Namun, situasi hari ini amat berbeza di mana ramai di antara kita bersaing dan berebut-rebut untuk menjadi pemimpin.
Seseorang pemimpin itu hanya akan dikatakan amanah apabila dia melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Firman Allah (swt): “… dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):49].
Inilah tugas yang harus dilaksanakan oleh pemimpin yang mempunyai sifat amanah dan integriti yang sebenar. Ia bukanlah sekadar menjaga tingkah laku sopan yang diukur dari kaca mata manusia, tetapi ianya akan dinilai oleh Allah (swt) dari segi pematuhan dan perlaksanaan hukum syarak di dalam setiap aspek kehidupan.
Pengkhianatan di Dalam Kepimpinan
Generasi salafus-salih amat mengerti betapa beratnya tanggungan beban amanah sebagai seorang pemimpin dan pemerintah. Banyak nas yang menerangkan hal ini, misalnya sabda Rasulullah (saw): “Tidak seorang hamba pun yang diserahi oleh Allah (swt) untuk memelihara dan mengurusi kemaslahatan rakyat, lalu dia tidak melingkupi rakyat dengan nasihat, kecuali dia tidak akan mencium bau syurga.” [HR Bukhari]
Begitu juga dengan sebuah hadis yang lain menyatakan, Rasulullah (saw) bersabda: “Tidaklah seorang penguasa diserahi urusan kaum Muslim, kemudian ia mati, sedangkan ia mengabaikan urusan tersebut, kecuali Allah mengharamkan syurga untuk dirinya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Terkait dengan hadis ini, Imam Fudhail bin Iyadh menuturkan, “Hadis ini merupakan ancaman bagi sesiapa sahaja yang diserahi Allah (swt) untuk mengurus urusan kaum Muslimin, baik urusan agama mahupun dunia, kemudian dia berkhianat kerana menyimpang daripada memenuhi urusan itu.
Jika seseorang berkhianat dengan sengaja terhadap suatu urusan yang telah diserahkan kepadanya maka dia telah melakukan dosa yang besar dan ini menjauhkannya dari syurga. Pengabaian yang dimaksudkan itu adalah dengan sengaja tidak melaksanakan urusan agama terhadap umat, tidak menjaga syariah Allah daripada unsur yang boleh merosakkan kesuciannya, mengubah makna ayat Allah dan mengabaikan hudûd (hukum Allah). Pengabaian juga boleh wujud dalam bentuk pengabaian terhadap hak umat, tidak menjaga keamanan dan kesejahteraan mereka, tidak berjihad untuk mengusir musuh dan tidak menegakkan keadilan di tengah-tengah mereka. Setiap orang yang melakukan hal ini dipandang telah mengkhianati umat.” [Imam an-Nawawi, Syarh Shahîh Muslim].
Inilah bentuk pengkhianatan yang paling dibenci oleh Allah (swt) dan Rasul (saw). Seorang pemimpin yang khianat ini, di akhirat kelak, tidak boleh menyembunyikan diri kerana mereka akan diazab dengan memikul panji khas agar manusia mengenali mereka sebagai pengkhianat ketika itu. Dari Abu Sa’id al-Kudzri, Rasulullah (saw) bersabda: “Setiap pengkhianat diberi panji pada Hari Kiamat yang diangkat sesuai kadar pengkhianatannya. Ketahuilah, tidak ada pengkhianat yang lebih besar pengkhianatannya daripada pemimpin masyarakat (penguasa).” [HR Muslim, Ahmad, Abu ‘Awanah dan Abu Ya’la]
Di dalam hadis ini, pengkhianatan paling besar digambarkan bagi mereka yang diberikan jawatan pemerintahan dan kekuasaan. Mengapakah pengkhianatan paling besar ini dirujuk kepada para pemimpin? Hal ini adalah kerana pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin sudah tentu akan menyebabkan kerosakan yang lebih luas, bukan hanya melibatkan beberapa orang, tetapi seluruh masyarakat dan negara. Misalnya, jika pemimpin tidak menerapkan hukum syarak berkaitan ekonomi Islam, sebaliknya mereka melaksanakan sistem ekonomi kapitalisme dan ribawi, maka masyarakat akan berhadapan dengan inflasi yang buruk, dicengkam beban hutang yang tinggi, kemiskinan akan berleluasa, jurang ekonomi antara kaya dan miskin terus bertambah dan akan berlaku kemelesetan ekonomi yang tidak berkesudahan. Jika pemimpin tidak menerapkan hukum pergaulan lelaki-perempuan dan sebaliknya membiarkan pemuda-pemudi bebas bergaul, maka masyarakat akan terus mengalami pelbagai masalah sosial seperti keruntuhan akhlak, perzinaan, jenayah rogol dan lain-lain lagi akibat ehwal sosial yang tidak diatur oleh Islam. Begitulah kesan daripada pemimpin yang tidak menerapkan hukum Allah (swt) sebaliknya memilih untuk melaksanakan hukum atau undang-undang selain Syariat Islam untuk digunapakai oleh masyarakat.
Firman Allah (swt); “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan (juga) janganlah kamu menkhianati amanah yang telah dipercayakan keadamu, sedang kamu mengetahui” [TMQ al Anfal (8) : 27]
Khatimah
Kita perlu sedar bahawa sifat amanah di dalam kepimpinan bukanlah sekadar tidak mengambil rasuah, menepati masa atau melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan, tetapi ia jauh lebih luas dari itu sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam nas – yakni melaksanakan seluruh hukum syara’ ke atas umat Islam dan menjaga hak mereka seperti yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasul-Nya. Mana-mana pemimpin yang telah diberikan kekuasaan ke atas umat Islam wajib melaksanakan perkara tersebut dan jika tidak, dia telah melakukan helah dan pengkhianatan ke atas umat. Oleh yang demikian, umat Islam yang berhasrat untuk memilih pemimpin mereka perlulah merenung kembali dan berhati-hati di dalam memilih pemimpin agar tidak salah memilih. Ini adalah kerana, setiap pilihan yang diberikan akan ditanya oleh Allah (swt) di akhirat kelak.
Wallahualam.
Sumber: mykhilafah
#sautunnahdhah #sn618 #pemimpin #PRU15 #politikmalaysia #politikislam #pemimpinamanah #pemimpinkhianat