[Fikrul Islam] Boleh Berbilang Parti dalam Islam (Bahagian 1/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Sekarang, setelah kami menjelaskan bahawa apa yang dianggap sebagai “dalil” mengenai kewajipan persatuan amal isIami tidak mencapai darjat dalil yang sebenar, hal ini tidak bererti bahawa pendapat lain, iaitu mengenai boleh adanya berbilang parti atau banyaknya jemaah yang berusaha untuk menegakkan Islam, menjadi sesuatu yang disyariatkan. Dengan anggapan bahawa tertolaknya sesuatu secara automatik mengukuhkan apa yang bertentangan dengannya. Ini merupakan suatu pernyataan yang salah.
Apa yang benar, semestinya perlu ada dalil-dalil yang tepat yang menegaskan kebenaran pengambilan dalil dan ketepatan penggaliannya. Jika demikian, bagaimanakah gerangan dalil-dalil itu?
Ada banyak sekali dalil-dalil yang membolehkan adanya perbezaan pendapat dalam masalah cabang (furu’), bukan masalah pokok (ushul), iaitu perbezaan dalam hukum-hukum syariat, bukan dalam akidah. Sunnah Nabi saw. sendiri telah menunjukkan boleh adanya perbezaan dalam masalah-masalah cabang ini. Perbezaan pendapat dalam masalah ini berlaku juga di kalangan para sahabat, begitu juga di kalangan para tabiin dan para ulama salaf.
Sebaliknya, yang terlarang adaIah berbeza pendapat sebagaimana halnya yang berlaku di kalangan orang-orang kafir, iaitu perbezaan dalam masalah pokok-pokok agama dan bukan dalam masalah-masalah cabang. Mereka, misalnya, berbeza pendapat mengenai nabi-nabi mereka, hari kebangkitan, kehidupan dan kehidupan selepas kematian, dan kitab-kitab mereka.
Mereka terpecah menjadi banyak kelompok, parti, aliran, dan mazhab. Akibatnya, mereka tersesat dari kebenaran yang telah diturunkan AlIah kepada para nabi mereka sehingga tersesat pula para pengikut mereka.
Allah Swt. berfirman,
فَٱخْتَلَفَ ٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَيْنِهِمْ ۖ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ
“Kemudian berselisihIah golongan-golongan (yang ada) di antara mereka sehingga kecelakaanlah bagi orong-orang kafir pada waktu menyaksikan hari yang besar.” [TMQ Maryam (19): 37]
Maksudnya, AlIah Swt. memperingatkan kita terhadap perbezaan seperti yang mereka tunjukkan.
Rasulullah saw. sendiri, pada waktu Perang Khandaq telah membiarkan adanya perbezaan pemahaman para sahabat terhadap perkataan beliau. Yakni ketika beliau bersabda kepada mereka,
“Siapa saja yang mendengar dan taat, hendaknya dia tidak menunaikan solat kecuali di Bani Quraidzah.” (Sirah lbnu Hisyam)
Rasulullah saw. juga bersabda,
“Apabila seorang hakim berijtihad dan dia benar dalam ijtihadnya, maka dia mendapatkan dua pahala. Sebaliknya, apabila dia berijtihad dan ternyata ijtihadnya salah, maka dia mendapatkan satu pahala.” (HR Bukhari)
Dari hadis-hadis di atas dapat disimpulkan sebagai dalil:
- Seorang mujtahid, ketika berijtihad, boleh jadi salah boleh jadi benar. Ini tidak bererti bahawa kedudukannya sebagai seorang mujtahid menjadikan dia tidak pernah melakukan kesalahan.
- Hukum yang digali oleh seorang mujtahid dianggap sebagai hukum syariat meskipun salah.
- Seorang mujtahid yang salah dalam ijtihadnya tidak mengetahui bahawa dia salah. Ini karena seandainya dia mengetahui kesalahannya, dia jelas tidak boleh tetap berada dalam kesalahannya itu. Akan tetapi, dia mesti membandingkan pemahamannya dengan pemahaman orang lain.
- Seorang mujtahid mendapatkan pahala di sisi Allah, baik ketika ijtihadnya benar atau salah. Akan tetapi, pahala keduanya berbeza.
Ada kesepakatan di kalangan para ulama bahawa dosa terlepas dari para mujtahid yang berijtihad dalam hukum-hukum syariat yang zhanni yang berkaitan dengan fikih.
Dalam tafsirnya, Imam AI-Qurthubi bertutur, “Para sahabat berbeza pendapat dalam menghukumi peristiwa-peristiwa yang berlaku. Akan tetapi, meskipun demikian, mereka tetap bersatu.”
Sementara itu, dalam bukunya, Al-Faqih wa al-Mutafaqqih, Al- Baghdadi menukil pernyataan ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz ra. yang berkata, “Tidaklah saya merasa senang jika para sahabat Rasulullah Muhammad saw. tidak pernah berbeza pendapat. Sebab, seandainya mereka tidak berbeza pendapat, bererti tidak akan ada rukhshah (keringanan).”
Banyak sekali karya yang ditulis oleh para ulama besar kaum muslim yang menjelaskan perihal perbezaan ini. Di antaranya adalah yang menjelaskan hal-hal berikut:
- Manusia, dengan tabiatnya sebagai manusia, memiliki pemahaman yang berbeza-beza, begitu juga kemampuan dan pemikirannya. Dari sinilah lahir berbagai ijtihad dan penggalian hukum yang bermacam-macam sejak masa sahabat sampai masa kita sekarang. Keadaan seperti ini akan tetap berlangsung sampai hari kiamat. Tabiat syariat juga telah memungkinkan kaum muslim berbeza pendapat dan dalam masalah ini ada rahmat.
- Adanya perbezaan qiraat (bacaan) mengakibatkan adanya perbezaan pemahaman. Setiap mujtahid memahami nas-nas Al-Quran yang ada berdasarkan qira’ah-nya. Mereka, misalnya, berbeza dalam memahami ayat tentang wudhuk (dalam kaitannya dengan kedua kaki): apakah sekadar mencucurinya dengan air atau perlu mengusap keduanya.
- Adanya perbezaan ulama dan fuqaha dalam memahami beberapa hadis Nabi. Kadang-kadang, sebuah hadis dipandang sahih menurut sebahagian ulama atau fuqaha, tetapi dianggap lemah menurut sebahagian yang Iain. Hal ini bergantung pada metod dalam menerima atau menolaknya.
Contohnya berkenaan dengan hadis mursal. Para ahli hadis, para ulama ushul, para fuqaha, dan para imam umat ini telah berbeza pendapat dalam penggunaan hadis mursal sebagai hujah. Sebahagian dari mereka ada yang menggunakannya sebagai hujah, sementara sebahagian lainnya tidak memakainya sebagai hujah dan menganggapnya sebagai hadis munqathi’.
- Adanya pertentangan di antara beberapa dalil yang ada. Contohnya adalah berkenaan dengan persoalan terkait berubat dengan najis. Ada nas yang melarang berubat dengan najis kerana najis adalah haram. Demikianlah sebagaimana terdapat dalam hadis berikut,
“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubatnya. Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Oleh kerana itu, berubatlah kalian, tetapi janganlah kalian berubat dengan sesuatu yang haram.” (HR Abu Dawud)
Sementara itu, ada nas lain atau perbuatan lain yang membolehkan berubat dengan sesuatu yang najis atau dengan sesuatu yang haram, sebagaimana dalam hadis berikut,
“Nabi saw. telah memberikan rukhshah (keringanan) kepada Abdurrahman ibn ‘Auf dan Zubair untuk mengenakan sutera kerana gatal-gatal yang mereka deritai.” (HR Jamaah)
“Kaum Muslim pernah berubat dengan air kencing unta. Mereka menganggap hal itu tidak apa-apa.” (HR Bukhari)
- Tidak adanya nas yang jelas dalam satu masalah sehingga jalan untuk mengetahui hukum Allah dalam masalah ini adalah dengan ijtihad. Ijtihad adalah hukum yang zhanni yang memungkinkan adanya perbezaan pendapat.
- Adanya keluasan pemaknaan (madlulat) dalam bahasa Arab separti adanya isytirak (satu kata banyak makna), adanya hakikat dan majaz, adanya muthlaq dan muqayyad, ‘am dan khash. Watak bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran memiliki kata-kata dan susunan-susunan yang mengandungi makna-makna yang berbeza dan pengertian-pengertian yang banyak.
Allah Swt, misalnya, berfirman tentang muthallaqat (wanita- wanita yang ditalak) sebagai berikut,
“Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) selama tiga kali quru’.” [TMQ Al-Baqarah (2): 228]
Kata quru’ secara bahasa boleh bererti ath-thuhr (suci) dan boleh juga bererti al-haidh. Lalu, makna mana yang dimaksud oleh ayat ini? Inilah yang menjadi penyebab adanya perbezaan pendapat dikalangan fuqaha.
Ini berkaitan dengan syariat secara umum. Jika demikian, lalu apakah yang kita bicarakan dalam pembahasan kita sebelum ini ada kaitannya dengan pembahasan ini? Dengan kata lain, apakah boleh berbeza pendapat dalam hukum-hukum syariat yang telah diakui oleh syariat sendiri juga membolehkan adanya banyak harakah, jemaah, atau parti yang berusaha untuk melakukan perubahan? Atau adakah topik pembahasan ini memiliki dalil-dalil tersendiri dan bersifat khusus yang mengeluarkannya dari hukum sebelumnya?
Bersambung ke bahagian 2/2 : https://wp.me/pdmUzG-1re
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #pemikiranislam #partipolitik #jemaahislam