[Fikrul Islam] Boleh Berbilang Parti (Bahagian 2/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Suatu jemaah atau parti berdiri di atas pemahaman terhadap syariat tertentu yang kadang-kadang mungkin berbeza-beza, sebagaimana terhadap syariat yang lainnya; kecuali apabila hukum-hukum syariat itu bersifat qathie (tegas). Hukum-hukum syariat yang diterapkan oleh suatu jemaah/parti adaIah hukum-hukum syariat yang bersifat ijtihadi yang boleh jadi benar dan boleh jadi keliru juga.
Apabila seorang muslim menyaksikan banyak kesalahan dalam satu jemaah/parti, sudah pasti dia tidak boleh beraktiviti bersama jemaah/parti tersebut. Akan tetapi, yang perlu dilakukannya adalah menasihati jemaah/parti tersebut sembari mencari jemaah/parti yang dapat menyelamatkan dirinya di hadapan Allah Swt., apabila dia beraktiviti di dalamnya.
Sebagaimana telah saya katakan bahawa watak manusia, para ulama, syariat, dan bahasa secara keseluruhan menunjukkan kemungkinan dan kebolehan adanya pemahaman yang berbeza. Inilah yang menjadi alasan dibolehkannya terdapat Iebih dari satu jemaah/parti. Adanya banyak jemaah/parti tidaklah menjadi masalah selagi tidak meluas perbezaan pemahaman antara parti.
Namun demikian, dalam hal ini, beraktiviti atau berjuang bersama-sama jemaah/parti yang lebih dekat dengan kebenaran menjadi wajib hukumnya. Demikianlah sebagaimana Allah Swt. berfirman,
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
“Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebajikan, menyuruh kemakrufan, dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 104]
Perintah Allah Swt. di dalam ayat ini menunjukkan pada kewajipan untuk mendirikan sekurangnya satu jemaah/parti di tengah-tengah kaum muslim yang aktivitinya adalah mendakwahkan al-khair (Islam) dan amar makruf nahi mungkar. Apa yang dimaksudkan oleh ayat di atas sudah pasti bukan hanya satu jemaah/parti saja. Sebab, seandainya hal itu yang dimaksudkan, tentu akan dikatakan “ummah wahidah”. Akan tetapi, yang dituntut adalah jemaah/parti yang aktivitinya adalah melakukan dakwah Islam dan amar makruf nahi mungkar.
Usaha mendirikan jemaah/parti ini sifatnya adalah fardhu kifayah yang akan dapat terealisasi hanya dengan adanya satu jemaah. Namun demikian, apabila terdapat lebih dari satu jemaah/parti yang disebabkan oleh adanya perbezaan pemahaman dalam aktivitinya, maka hal itu tidak mengapa. Ungkapan seperti ini telah banyak diulang dalam ratusan ayat Al-Quran dan hadis Nabi. Contohnya dalam potongan hadis berikut,
“Siapa saja yang melihat suatu kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya.”
Kemungkaran yang dimaksud oleh hadis di atas bukanlah satu jenis kemungkaran saja, tetapi kemungkaran secara umum (segala jenis kemungkaran).
Abu al-‘A’la al-Mawdudi rahimahullah dalam buku Mafahim Islamiyah hawla ad-Din wa ad-Dawlah pada bab “Faridhah al-Amr bi al- Ma’ruf wa an-Nahy ‘an al-Munkar,” telah menyatakan, “Dari seluruh pembahagian (tab’idh) pada surah Ali ‘Imran ayat 104, yang tampak secara zahir bukan bererti bahawa kaum muslim dituntut untuk mendirikan satu jemaah/parti saja yang menegakkan kewajipan dakwah Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar sedangkan sebahagian kaum muslim yang lain tidak memiliki kewajipan untuk itu. Akan tetapi, makna ayat ini adalah bahawa di tengah-tengah umat ini tidak boleh kosong dari adanya sekurangnya satu jemaah/parti yang berusaha untuk menyalakan lampu kebenaran dan kebaikan serta berjuang melawan gelapnya keburukan dan kebatilan. Apabila di tengah-tengah kaum muslim tidak ada jemaah/parti yang seperti ini, maka tidak mustahil mereka akan mendapatkan laknat Allah dan azab yang pedih berbanding menjadi umat terbaik.”
Demikianlah pernyataan Al-Mawdudi.
Berdasarkan penjelasan terdahulu dapat dipaparkan hal-hal berikut:
- Sesungguhnya kita wajib memahami dengan baik bahawa apa saja yang diakui atau disetujui oleh syariat merupakan rahmat. Apabila ia kemudian berubah menjadi laknat maka yang demikian itu akibat dari buruknya pemahaman kaum muslim terhadap syariat, bukan kerana faktor lain.
Perhatikanlah, misalnya, fikih yang mulia dari dua Imam Besar, imam-imam umat ini, yakni Imam asy-Syafie dan Imam Ahmad. Dalam buku Sudzur aa’z-Dzahab disebutkan bahawa murid-murid Imam asy-Syafie pada suatu hari pernah menjumpai lmam asy-Syafie. Mereka mengadukan perihal bagaimana caranya agar mereka dapat mengunjungi Imam Ahmad bin Hanbal, sementara mereka sering saling berbantah-bantahan dengan murid-murid Imam Ahmad bin Hanbal kerana adanya perbezaan pendapat di antara mereka. Imam asy- Syafie, semoga Allah merahmatinya, bertutur kepada mereka demikian,
Kata mereka, Ahmad mengunjungi Anda dan Anda mengunjunginya
Kataku, kemuliaan tak akan berpisah dengannya
Jika dia mengunjungiku, itu kerana kemuliaannya; jika aku mengunjunginya, itu pun kerana kemuliaannya, Kemuliaan melekat padanya dalam dua keadaan itu
Hal seperti ini juga terjadi kepada murid-murid Imam Ahmad, Imam Ahmad kemudian bertutur kepada mereka demikian:
Meski berbeza dalam nasab, kita disatukan oleh ilmu yang kita tempatkan sebagaimana halnya orang tua.
Meski air laut berbeza-beza, kita semua minum air tawar dari satu bekas.
- Orang yang ingin mempersatukan kaum muslim dalam satu amal, maka selain tidak memperhatikan realiti syariat, dia juga tidak memperhatikan realiti manusia. Kerana itu, kepada orang seperti ini, kami akan berkata sebagaimana Imam Malik berkata kepada Khalifah Harun ar-Rasyid ketika Khalifah ingin menerapkan dan mentabanni pemahaman dan mazhab Imam Malik, sekaIigus memaksa masyarakat untuk mempraktikkannya dan melarang penerapan pemahaman yang lain. Saat itu Imam Malik berkata, “Janganlah Anda mempersulitkan kaum muslim dalam perkara apa saja yang telah Allah mudahkan untuk mereka.”
- Di sini perlu diperhatikan bahawa negara-negara kafir dengan sistem yang dibawanya dalam menghadapi munculnya satu atau beberapa jemaah/parti di muka bumi ini secara nyata yang berusaha keras untuk menegakkan hukum-hukum Allah, selain menggunakan cara-cara keganasan dan membuat berita-berita bohong tentang jemaah-jemaah/parti-parti itu, mereka pun sengaja menjatuhkan dan menggagalkan jemaah-jemaah/parti-parti ini dengan jalan mendirikan Jemaah/parti lain yang tunduk kepada mereka.
Seandainya kita mengandaikan bahawa berbilang jemaah/parti itu tidak boleh, itu bererti kita wajib menyatukan berbagai jemaah/parti yang ada. Akibatnya, jemaah/parti yang terbentuk akan terdiri atas campuran jemaah-jemaah parti-parti yang palsu dan yang asli. Padahal, yang dituntut dalam keadaan ini adalah sebaliknya, yakni kita wajib membuang apa saja yang palsu dan membiarkan apa saja yang bermanfaat bagi manusia.
- Gagasan mengenai wajibnya menyatukan amal islami dan tidak boleh adanya pelbagai jemaah/parti jelas bertentangan dengan realiti syariat, realiti manusia, dan realiti bahasa Arab yang menjadi bahasa wahyu. Kerana itu, gagasan seperti ini tidak mungkin dapat diterapkan. Dengan kata lain, perbincangan mengenai gagasan ini hanya akan melalaikan usaha yang lebih penting, iaitu usaha untuk mendirikan Negara Khilafah.
Sementara itu, pernyataan yang menyebutkan bahawa Allah tidak akan menolong kaum muslim, kecuali apabila mereka bersatu merupakan pernyataan yang tidak dapat diterima. Yang benar, Allah tidak akan menolong kaum muslim kecuali apabila mereka terikat dengan syariat, berpegang teguh dengan tali Allah, serta melaksanakan semua perintah-Nya. Allah akan menolong mereka, meskipun mereka hanya sedikit. Satu dalam kebenaran itu banyak, sementara banyak dalam kebatilan adalah seperti buih.
Dengan demikian, bererti tinggal satu pembicaraan yang akan kita bahas dalam topik ini, iaitu bahawa adanya seorang Khalifah dan adanya Daulah lslamiyah adalah representasi dan penampakan terpenting dari bentuk-bentuk persatuan kaum muslim; tidak ada persatuan selain dalam kerangka itu. Memang, dalam Daulah lslamiyah, akan ada banyak pemahaman yang berbeza-beza, tetapi kita diperintahkan untuk tetap mentaati Khalifah.
Khalifahlah yang akan menerapkan sekaligus mentabanni hukum. Tabanni hukum yang dilakukan khalifah, bukan melarang atau menghapuskan pemahaman mazhab tertentu, tetapi jelas akan menghilangkan perbezaan pendapat di kalangan umat. Sebab, perintah khalifah wajib diterapkan, baik secara zahir mahupun batin, oleh seluruh kaum muslim. Sementara itu, pemimpin jemaah/parti hanya wajib ditaati di dalam jemaah/partinya saja. Perintahnya akan menghilangkan perbezaan pendapat di antara anggota-anggota partinya saja, bukan di antara kaum muslim secara keseluruhan.
Kembali ke bahagian 1/2 : https://wp.me/pdmUzG-1rd
#fikrulislam #pemikiranislam #partipolitik #jemaahislam