[Tsaqafah] Tajdid Agama (Bahagian 1/2)
Penulis: Prof. Yusuf Al-Sarisi (Palestin)
Allah SWT telah menjadikan dalam kehidupan manusia suatu sunnah (hukum) dan aturan untuk melindungi mereka dari berbagai kerosakan, seperti sunnah tadafu’ (ketentuan penyerangan) untuk saling mempertahankan diri, pergiliran di antara manusia, aturan untuk mempercepatkan penghancuran orang zalim (yang berbuat sesuka hati mereka), aturan menuju kebangkitan (yang tidak lain adalah dengan berfikir) dan sebagainya.
Allah SWT juga telah menetapkan aturan yang istimewa bagi umat Islam untuk menjaga kelangsungan dan kelestarian agama Islam. Dengan demikian, agama penutup ini (Islam) merupakan satu-satunya agama sahih dan sesuai di sepanjang zaman dan tempat. Islamlah yang akan menang di atas semua agama dan ideologi yang ada.
Di antara nikmat Allah yang begitu banyak ke atas umat Islam adalah, bahawasanya Dia telah menjamin kitab umat (Al-Quran) dan agama ini (Islam) dari terjadinya penyelewengan. Allah juga menjadikan di dalam tubuh umat ini sekelompok manusia yang akan menampakkan kebenaran pada setiap zamannya.
Barang siapa yang menginginkan kebenaran, dia akan mendapatinya pada kelompok tersebut. Oleh kerana itu, tidak akan berlalu suatu zaman melainkan akan ada penyeru kebenaran yang menjadi saksi bagi manusia.
Begitu juga salah satu nikmat Allah SWT ke atas umat Islam untuk menjaga agama mereka adalah Allah mengutus seorang mujadid yang dapat melakukan tajdid (pembaharuan) agama ini setiap seratus tahunnya.
Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Abu Dawud, “Sesungguhnya setiap seratus tahun Allah SWT akan mengutuskan kepada umat ini seseorang yang akan memperbaharui agama (dari penyimpangan). ”
Kerana itu, seorang mujadid akan memperbaharui masalah agama, menjelaskan pemahaman yang sahih mengenai Islam serta menghilangkan segala hal yang dianggap ajaran Islam tetapi sebenarnya bukan sebahagian dari Islam dan berusaha memecahkan masalah terbesar yang dihadapi umat Islam.
Atas kurniaan-Nya, inilah nikmat terbesar dari-Nya buat umat Islam sehingga agama ini tetap menjadi hujah bagi seluruh alam sehingga hari kiamat kelak. Juga sebagai agama penutup bagi agama-agama yang lain. Umat Islam juga akan menjadi saksi bagi umat yang lain.
Dalam konteks ini, ada pertanyaan yang perlu dijawab iaitu, “Mengapa agama (Islam) perlu tajdid?. ” Jawapannya adalah kerana Islam merupakan agama yang diterapkan manusia dalam kehidupan hariannya. Sudah menjadi tabiatnya ketika pemikiran Islam dan selain Islam akan saling bertelagah, berlebihan dan lalai dalam penerapannya.
Begitu juga akan muncul hal-hal baru yang akan memerlukan jawapan hukum (kerana kemungkinan besar tercemar dengan pemikiran asing hasil dari perang pemikiran serta lemahnya pemahaman akibat sikap berlebihan dan melalaikan, serta ketidakmampuan untuk mengaitkan berbagai realiti dengan hukum syarak saat ijtihad tidak dilakukan. Apabila faktor-faktor tersebut terus terjadi, tentu saja akan menghasilkan kejumudan dan terpisahnya Islam dari realiti kehidupan sehingga memerlukan adanya ijtihad secara berterusan.
Sebelum kita mula membahas makna tajdid dan realitinya, terlebih dahulu kita akan memaparkan kemunculan idea tajdid agama pada zaman moden menurut sebahagian kalangan pemikir muslim.
Menurut mereka, pendorong kemunculannya bukan berasal dari Islam melainkan Barat. Ketika itu, kaum Muslim teracun dengan kaum kapitalis Eropah pada awal abad ke-19 dimana mereka mengikuti bangsa Eropah dalam segala hal termasuklah bab tajdid dan reformasi agama.
Kerana itu, mungkin lebih baik jika kita melihat sejenak sejarah kemunculan idea tajdid dan reformasi agama di kalangan kaum Kristian Eropah sebelum zaman Renaissance agar kita tahu apa yang berlaku di tengah-tengah mereka (termasuk perihal agama), sehingga dapat menjadi pertimbangan bagi kita.
Munculnya Gagasan Tajdid dan Reformasi di Eropah
Sebelum abad ke-16, Eropah berada di bawah tirani Gereja Katolik yang mendorong tercetusnya revolusi dan pembentukan gerakan reformasi di Eropah. Bermula dari protestantisme ke sekularisme, sehingga revolusi nyata melawan kaisar dan raja seperti revolusi Perancis yang berakhir pada perubahan pemikiran dan rejim di Eropah.
Pendeta Jerman, Martin Luther menyerukan reformasi agama pada awal abad ke-16 dengan dalil mereformasikan Gereja Katolik dari kekuasaan untuk mentafsirkan agama, infalibiliti dan kelonggaran yang terbatas pada Paus Vatikan di Rom. Luther menyerukan perlu adanya pemahaman kembali Perjanjian Baru (Injil) dan Pemahaman Lama (Taurat) berdasarkan sudut pandang baru. Ini adalah awal dari idea tajdid agama Kristian di Eropah dan kemudian muncullah doktrin Protestan.
Demikianlah, agama Kristian berpecah menjadi tiga kelompok iaitu Ortodoks Timur, Katolik Kepausan Barat dan Protestan. Dari mazhab Protestan ini, lahirlah gereja-gereja Kristian yang tidak terhitung jumlahnya, masing-masing dengan keimanan, undang-undang dan kurikulum agamanya masing-masing. Walhasil, Gereja Kristian Barat terpecah menjadi beberapa mazhab dan saling bertentangan di antara mereka sendiri. Ini adalah akibat dari idea reformasi agama Lutheran.
Seiring peredaran masa, Gereja Protestan menerima idea baru sekularisme yang muncul di Eropah setelah konflik antara pemuka agama, raja dan kaisar serta para pemikir dan ahli falsafah. Konflik itu muncul setelah mereka (pemikir dan ahli falsafah) memberontak terhadap idea hal illahi dan menggantikannya dengan hak alam serta pentingnya memisahkan agama dari kehidupan (sekularisme). Gereja Protestan di Britain adalah yang pertama sekali menerima sekularisme setelah Revolusi Cromwell pada tahun 1680. Dengan begitu, dapat kita simpulkan bahawa akar ideologi baru (kapitalisme dan sekularisme) muncul dari Britain.
Menciptakan Idea Evolusi di Eropah
Setelah Eropah meninggalkan agama dan memisahkannya dari kehidupan, ia perlu menerapkan undang-undang dan hukum yang jauh dari agama. Bangsa Eropah kemudian mengambil dari Yunani dan Romawi apa yang mereka sebut sebagai hukum alam (naturalisme) untuk menggantikan hukum gereja. Sedangkan, realiti hukum alam itu tetap tidak berubah, sedangkan hukum yang mereka tetapkan memaksa mereka untuk terus-menerus mengubah, menampal dan menyesuaikannya dengan realiti yang ada.
Perkara ini menimbulkan masalah bagi mereka kerana hukum manusia (demokrasi) berubah sesuai dengan keinginan dan kepentingan manusia, dan hal ini bertentangan dengan hukum alam yang bersifat tetap. Akibatnya, perkara ini perlu dibenarkan dengan menganggap bahawa alam itu sendiri mengandungi hukum evolusi (perubahan).
Mereka juga menciptakan idea khayalan yang mereka sebut sebagai “evolusi” dan menganggapnya sebagai hukum alam. Para ahli teori evolusi mengatakan bahawa kononnya hukum dan sistem manusia perlu berevolusi kerana evolusi adalah hukum alam sejak awal serta alam selalu berubah dan berkembang.
Di satu sisi, undang-undang yang mereka terapkan perlu sesuai dengan situasi dan realiti yang baru. Di sisi lain, sistem yang ada tidak berkembang seiring berjalannya waktu. Pengumpulan masalah di dalam sistem tersebut akan menyebabkan ketidakmampuan sistem tersebut untuk mengikuti realiti, sehinga sistem akan menjadi kaku dan gagal. Akibatnya, ada keperluan secara berterusan untuk menggantikan hukum kepada hukum yang lebih moden, maju dan beradab.
Disebabkan eksperimen di Barat adalah berdasarkan kesihatan dan kebaikan, bangsa Eropah memanfaatkan ilmu kehidupan untuk membuktikan kata-kata evolusi bahawa itu adalah hukum alam dalam kehidupan makhluk hidup. Muncullah aliran evolusi alam di Perancis oleh Georges de Buffon, kemudian Darwin menemukan teori evolusi (evolusi dan elevasi) di Britain setelah dia menggabungkan antara teori naturalisme dan teori evolusi alam.
Dengan demikian, ketika pelopor sistem kapitalisme dan sosialisme mengatakan bahawa pembangunan, kemajuan dan pembaharuan adalah di antara hukum alam yang tidak dapat dihindari, sebenarnya merekalah yang menjaga sistem dan idea itu agar tetap hidup, tumbuh dan berkembang. Berdasarkan teori Darwin, siapa yang tidak berkembang pasti akan punah dan musnah.
Tetapi sebenarnya apa yang dikatakan itu adalah ekspresi kegagalan dengan menggunakan kata-kata putar-belit. Ketika hukum dan sistem tersebut tidak mampu untuk mengatasi masalah dan realiti yang ada, ini bermaksud hukum dan sistem itu telah rosak dan gagal. Proses perubahan asas dan rinciannya di bawah slogan “pembangunan dan moderniti” hanyalah usaha untuk menyembunyikan kerosakan dan kegagalan di sebalik slogan tersebut. Jika mereka merenungkannya lebih dalam, mereka akan dapati bahawa standard kebenaran atau kejayaan sesuatu sistem -atau hukum apa pun- adalah kemampuannya dalam menyelesaikan masalah menggunakan aturan dan landasannya.
Seiring dengan perubahan waktu dan situasi, kemudian berlakunya masalah dan realiti baru, kemudian sistem dan hukum tersebut berjaya mengatasinya tanpa menyimpang dari aturan dan prinsipnya, maka barulah sistem dan hukum tersebut dianggap efektif. Tetapi, apabila mereka sesuka hatinya mengubah dan menyesuaikannya dengan realiti baru iaitu dengan membuat tafsiran hukum yang rosak, menyimpang dari landasan serta tujuan dan standardnya, perkara ini justeru menunjukkan kerosakan dan kegagalan hukum tersebut dalam menyelesaikan masalah yang baru.
Dengan demikian, jelaslah bahawa tuntutan perkembangan dan pembaharuan hanyalah usaha untuk menutup kerosakan dan kegagalan sistem dan hukum tersebut. Keabsahan sistem dan hukum adalah berdasarkan kemampuannya dalam menemukan penyelesaian efektif untuk sesuatu masalah, bukan berdasarkan kemampuan mereka untuk mewarnai, meregangkan atau menampal kegagalan mereka dengan perkembangan yang palsu.
Kemunculan Arus Reformasi dan Tajdid di Kalangan Umat Islam
Perancis -di bawah pimpinan Napoleon- telah menyerbu Mesir pada tahun 1798, kemudian ke Palestin lalu menarik diri dari kedua negara tersebut pada tahun 1801. Setelah itu, Muhammad Ali Pasha mengambil alih kekuasaan Mesir. Salah satu tindakannya adalah mengirim elit pemuda Mesir untuk belajar ilmu di Eropah.
Beberapa orang darinya kembali dengan idea-idea baru Eropah tentang demokrasi, liberalisme dan kapitalisme. Setelah mereka terpesona dengan kemajuan industri serta peradaban Eropah, mereka kemudiannya menyebarkan idea-idea baru ini di Mesir dan sekitarnya. Antara model idea ini adalah Rifa’ah al-Tahtawi, Abdul Rahman Al-Kawakibi, Khairuddin Al-Tunisi dan ramai lagi.
Seiring dengan kembali adanya aliran baru yang menyeru untuk mengikuti Eropah, baik peradaban mahupun sistemnya, muncul juga aliran lain yang menyerukan ‘perdamaian’ antara Islam dan juga peradaban Barat yang merupakan tren aliran reformasi. Aliran ini dipimpin oleh Jamaluddin Al-Afghani yang mula menyiarkan idea-idea tajdid dan reformasi di kalangan umat Islam. Al-Afghani dipengaruhi oleh sekelompok ulama Al-Azhar terutamanya Muhammad Abduh yang menjadi Syeikh Al-Azhar dan salah seorang muridnya, Muhammad Rasyid Ridha si penulis Majalah Al-Manar.
Kemudian, aliran reformasi ini berlanjutan -yang berusaha mendamaikan dua peradaban dan ideologi iaitu sekular dan Islam- dan tersebar ke berbagai gerakan, jemaah dan individu di negeri-negeri.
Seruan paling menonjol dari aliran reformasi di kalangan umat Islam adalah idea tajdid dan reformasi agama. Dari idea ini, akan kita temukan persamaan dengan apa yang dilakukan oleh umat Kristian Eropah tatkala mereka menyerukan idea reformasi agama dan yang paling menonjol adalah penerimaan mereka terhadap sekularisme.
Aliran reformasi ini dipersiapkan untuk mengambil idea Barat iaitu demokrasi dalam pemerintahan dan sistem ekonomi kapitalisme serta membungkusnya “secara syarie” dengan label idea tajdid dan perdamaian. Akan tetapi, aliran reformasi ini tidak secara jelas bersetuju dengan sekularisme sebagaimana yang terjadi pada Protestan di Eropah, melainkan hanya ingin mengambil manfaat dari Barat dalam sistem ekonomi dan pemerintahannya, dalam masa yang sama menjaga akidah, ibadah dan akhlak Islam.
Kaum reformasi cuba untuk memperbaharui agama dari sisi pengkajian terhadap hukum Islam terkait hal-hal yang memungkinkan untuk diangkat sistem dan idea-idea Barat. Mereka juga cuba memutarbelitkan hadis-hadis Rasulullah terkait tajdid. Perkara tersebut -beserta perkara yang bersamaan dengannya- menjadi pintu masuk bagi mereka untuk mengubah hal-hal di dalam agama agar bersesuaian dengan apa yang dimiliki Barat dengan bertopengkan reformasi dan tajdid.
Kemudian, mereka bersandar pada prinsip usul fikih. Tetapi kenyataannya ia semakin menghalang mereka dari penerimaan terhadap sistem Barat. Tetapi, mereka tetap mencari dan menggali sehingga mereka berjaya menemukan celah-celah yang mampu ditembus untuk menghalalkan idea mereka.
Celah tersebut tidak lain adalah idea untuk menakwilkan Maqasid syariah dan mashalih al-mursalah dalam bentuk yang boleh menerima “manfaat” terkait perkara-perkara yang dimiliki Barat iaitu sistem ekonomi dan pemerintahannya. Ini adalah kerana, peradaban Barat menjadi ‘ukuran’ kemajuan dan perkembangan sebuah peradaban. Kerana itu, menurut mereka, hukum-hukum Islam perlulah sesuai dengan Barat.
Inilah catatan sejarah singkat tentang munculnya idea tajdid agama iaitu satu usaha yang sampai pada batas tertentu mirip dengan apa yang terjadi pada umat Kristian Barat supaya kita boleh mengambil pengajaran dari pengalamannya.
Tetapi, sungguh umat Islam telah masuk ke dalam lubang sama yang dimasuki oleh umat Kristian Eropah yang kemudiannya melahirkan ajaran sekularisme, ateisme, kepercayaan sesat serta mazhab-mazhab agama baru yang tidak memiliki kesamaan.
Jadi, sebagai seorang Muslim, adakah kita mahu menerima idea yang secara jelas pernah merosakkan agama Kristian dan menerapkannya pada agama Islam kemudian mengatakan kononnya itu adalah bentuk tajdid agama?
Bersambung ke bahagian 2/2: https://muslimahhtm.com/2022/11/20/tajdid-agama-bahagian-2/
#FikrulIslam #tajdid #pembaharuanagama