Politik Luar Negeri Khalifah Umar bin Abdul Aziz
Penulis: Nabila Ummu Anas
Sejarah membuktikan betapa luar biasa politik dalam negara yang diketuai oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz kerana mampu menjaga seluruh warga negara muslim termasuk yang non-muslim. Hal ini kerana Umar bin Abdul Aziz berjaya mengubah cara kerja dan kewangan negara dengan sangat baik sesuai dengan tuntutan syariat. Bahkan untuk politik luar negara, Khalifah Umar bin Abdul Aziz memiliki cara pengendalian yang sangat strategik.
Strategi di Wilayah Yang Baru Ditaklukkan
Khalifah Umar bin Abdul Aziz memikirkan urusan negara sehingga permasalahan terbaru akibat semakin luasnya kawasan di dalam negara juga turut difikirkannya. Beliau memikirkannya dengan begitu terperinci, dari permasalahan di dalam daerah sehingga masalah perbatasan atau bahagian luar wilayah negara.
Bagi daerah yang baru bersatu dengan Daulah Islam, khalifah membuat strategi memperkenalkan Islam kepada warganya secara jelas dan terperinci serta memberikan keteladanan yang baik dari pasukan muslim yang tinggal di sana.
Penduduk tempatan kawasan tersebut pun mudah menerima Islam kerana di dalam Islam mereka mendapatkan segala perkara yang mereka perlukan, baik yang bersifat spiritual mahupun material. Bahkan, untuk mendapatkan kebahagiaan di kehidupan dunia dan akhirat.
Strategi khalifah ini terbukti membuatkan masyarakat semakin tertarik untuk masuk ke dalam Islam. Bahkan, menjadi magnet(tarikan) bagi penduduk yang tinggal di daerah sekitar yang baru ditaklukkan. Mereka datang beramai-ramai ke Daulah Islam untuk memeluk agama Islam.
Melihat dari keadaan dan suasana yang menggembirakan ini, Amirul mukminin mengirimkan para pendakwah dan ulama terbaik ke daerah perbatasan. Para ulama tersebut mengajarkan Islam kepada orang-orang yang baru memeluk Islam.
Mengirimkan Surat Kepada Para Pemimpin Negara-negara Berdekatan
Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga mengajak para raja atau pemimpin dari pelbagai negara untuk masuk ke dalam Islam. Dia mengirimkan surat kepada para pemimpin Tranxosiana dan para Raja Sindh. Mereka tetap berkuasa di negara mereka dan mendapatkan hak serta kewajipan yang sama seperti umat Islam yang lain.
Surat-surat itu sampai kepada mereka ketika mereka telah banyak mendengar tentang keperibadian dan keadilan Khalifah Umar sehingga mereka dengan mudah menerima dakwah tersebut dan masuk ke dalam Islam, bahkan menggantikan nama mereka dengan nama Arab.
Allah SWT berfirman, “Apabila datang pertolongan Allah SWT dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah. Dan kamu melihat orang-orang masuk ke dalam agama Allah SWT dalam jumlah banyak. Maka muliakanlah (Dia) dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampunan kepada-Nya, sesungguhnya dia amat menerima taubat.” [TMQ an–Nasr (110): 1-3]
Musuh Mengakui Kepimpinan Umar bin Abdul Aziz
Kedudukan Umar bin Abdul Aziz sebagai ketua negara melangkau batas Daulah Islam. Sumber sejarah mencatatkan ketika pasukan yang dikirim oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz tiba di hadapan Maharaja Rom, datanglah berita bahawa Umar meninggal melalui pengintip Maharaja Rom.
Maharaja Rom lalu menjemput ketua pasukan tersebut.
Sang Maharaja pun bertanya kepadanya, “Tahukah engkau, kenapa ku jemput kemari?”
“Tidak,” jawabnya.
Sang Maharaja berkata, “Orang kepercayaanku mengirimkan surat kepadaku bahawa lelaki soleh iaitu Umar bin Abdul Aziz telah meninggal.”
Ketua pasukan tersebut menangis ketika mendengarnya. Maharaja kemudian bertanya kepadanya, “Apa yang membuatmu menangis? Adakah engkau menangisi dirimu sendiri ataukah menangisi kepemergiannya ataukah menangisi pemeluk agamamu?”
“Aku menangisi semuanya,” jawabnya.
Kemudian Maharaja Rom berkata kembali, “Tangisilah dirimu sendiri dan pemeluk agamamu. Sedangkan kau tidak perlu tangisi Umar kerana Allah SWT tidak akan mengumpulkan padanya ketakutan dunia dan akhirat. Aku tidak kagum pada ahli ibadah yang sembahyang di dalam mihrabnya dan meninggalkan dunia. Namun, aku kagum pada orang yang dunia berada dalam genggamannya, kemudian dia meninggalkannya.”
Lalu sang Maharaja menambahkan, “Aku mendapat informasi tentang kebaikan, keutamaan, dan kejujurannya. Andai kata setelah Isa ada orang yang mampu menghidupkan orang yang mati, aku yakin dialah orangnya. Aku telah mendapatkan informasi tentang dirinya, baik secara zahir mahupun batin. Aku pun menilai antara dia dan Tuhannya menyatu, bahkan batinnya jauh lebih menyatu lagi ketika sedang berdua bersama Tuhannya.”
Selama tempoh dua tahun beberapa bulan kepimpinan Umar bin Abdul Aziz, pelbagai strategi beliau keluarkan dan laksanakan. Baik dalam politik dalam negara mahupun luar negara sehingga sebagai seorang khalifah, Umar bin Abdul Aziz berjaya meluruskan arah perjalanan negara Islam.
Umar bin Abdul Aziz sangat dikagumi dan dihormati oleh siapa pun, bahkan oleh kumpulan seperti Khawarij dan Syiah. Para pemimpin negara musuh turut hormat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan mengakui kepimpinannya.
Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah, Pustaka Al-Kautsar
https://muslimahnews.net/2022/10/06/12466/