[Serikandi Teladan] Hamnah binti Jahsy, Berani dan Tegar di Jalan Islam
Kita sangat familiar dengan kisah masyhur seorang sahabat Nabi saw. yang gugur dalam Perang Uhud, iaitu Mush’ab bin Umair. Syahidnya Mush’ab menjadi pelajaran berharga bahawa tidak ada yang lebih bererti dari kehidupan ini selain menjadi pembela dan pejuang Islam tepercaya. Mush’ab bin Umair, sang duta Islam sangat berjasa dalam mengembangkan dakwah di Madinah.
Peranannya dalam Islam terukir secara gemilang sepanjang sejarah. Di sebalik prestasinya sebagai pejuang Islam, ada sosok pendamping yang tidak kalah tangguh. Ya, dia adalah Hamnah binti Jahsy, isteri sekaligus sosok pemberani yang membersamai suaminya, Mush’ab bin Umair dalam Perang Uhud.
Jika Mush’ab bertugas di baris hadapan mengangkat senjata, maka Hamnah pula berada di barisan belakang sebagai perawat perajurit Perang Uhud. Tugasnya antara lain untuk memberi minum dan mengubati tentera muslim yang terluka. Dari Ashim bin Ubaidillah berkata, “Saya mendengar Muawiyah bin Abdullah bin Ahmad RA berkata, ‘Saya melihat Hamnah memberi minum orang-orang yang dahaga dan mengubati orang-orang yang terluka semasa Perang Uhud.’”
Nasab dan Keluarga
Nama lengkap Hamnah, Hamnah binti Jahsy bin Ri’ab bin Ya’mur bin Shabrah bin Murrah bin Kabir bin Ghanm bin Dudan bin Asad al-Asadiyah, dia berasal dari Bani Asad bin Khuzaimah. Hamnah bersaudara dengan Zainab binti Jahsy, isteri Rasulullah SAW.. Hamnah juga memiliki hubungan saudara dengan Ummu Habibah, isteri Abdurrahman bin ‘Auf, salah seorang sahabat yang tergolong assabiqunal awwalun.
Hamnah memiliki ikatan saudara dengan Rasulullah SAW, yakni sepupu. Ibunda Hamnah, Umaimah binti Abdul Muthalib adalah ibu saudara Rasulullah Muhammad SAW.
Memiliki nasab yang dekat dengan Rasulullah SAW. membuatkan Hamnah menjadi salah seorang perempuan yang berbaiat kepada Rasulullah SAW.. Hamnah menikah dengan Mush’ab bin Umair, pemuda cerdas dan pemberani. Dari hasil pernikahan ini, mereka dikurniai seorang puteri.
Keluarga Turut Serta dalam Peperangan
Tepat 7 Syawal tahun ketiga Hijriah, kaum muslim menyertai peperangan di Bukit Uhud. Tampil dalam peperangan itu sepasang suami isteri, iaitu Mush’ab bin Umair dan isterinya, Hamnah binti Jahsy. Keduanya boleh jadi memiliki tugas berbeza. Namun, keduanya sama-sama menjadi pembela Islam yang berani dan tangguh. Bersama 13 perempuan lainnya, Hamnah bertugas di belakang pasukan Islam, iaitu, memberi air bagi yang dahaga, membawa yang terluka dari pertempuran lalu mengubati luka tersebut.
Selain Hamnah, dari 14 perempuan tersebut di antaranya ialah puteri Rasulullah saw., Fatimah, isteri Ali bin Abi Thalib. Dalam pasukan kaum muslim, tampak pula saudara lelaki Hamnah, Abdullah bin Jahsy, dan bapa saudaranya, Hamzah bin Abdul Muthalib. Ketika perang mulai berkecamuk, mangsa luka pun mula berjatuhan dari kedua belah pihak. Hamnah binti Jahsy bersama relawan perempuan sibuk melakukan tugas masing-masing.
Ketegaran Hamnah
Perang Uhud yang berlaku pada 7 Syawal tahun ketiga Hijriah itu meninggalkan duka yang mendalam bagi kaum muslim. Rasulullah SAW. terluka parah dan beberapa sahabat gugur dalam peperangan tersebut. Disebutkan dalam Tarikh Ath-Thabari bahawa sewaktu Rasulullah pulang dari perang, beliau ditanya oleh isteri para sahabat yang suaminya ikut dalam peperangan. Salah satunya, Hamnah binti Jahsy.
Saat itu, Hamnah mendapat khabar duka bahawa saudaranya Abdullah bin Jahsy dan bapa saudaranya Hamzah bin Abdul Muthalib turut gugur dalam peperangan. Tahun penuh duka bagi Hamnah kerana saudara, bapa saudara, dan suaminya meninggal dalam waktu yang sama. Hamnah pun bersabar dan redha menerima semua ketetapan yang Allah gariskan untuknya. Hamnah akhirnya hidup bersama satu-satunya puteri yang ada. Hingga suatu saat salah satu sahabat, Thalhah bin ‘Ubaidillah, meminangnya. Hamnah pun akhirnya menikah dengan Thalhah dan dikurniai dua orang putera, Muhammad dan Imran.
Khatimah
Islam tidak pernah kehabisan tokoh-tokoh inspirasi sepanjang masa. Keberanian Hamnah meneguhkan kedudukannya di hadapan Allah SWT.. Kesabaran dan ketegarannya menghadapi ujian patut menjadi pelajaran berharga bagi muslimah masa kini. Di bsealik ketangguhan suami, ada isteri yang mendukung penuh perjuangannya. Bahkan, keduanya terlibat aktif dalam memperjuangkan Islam.
Sungguh, potret keluarga yang dilingkupi keimanan dan ketakwaan tinggi. Suami isteri pejuang, berjalan beriringan demi menegakkan Islam. Kehilangan orang tercinta justeru membuatnya mulia kerana kesabaran dan keikhlasan menerima ketetapan Allah. Semoga kita sama-sama dapat mengambil butiran hikmah dari sosok bernama Hamnah binti Jahsy.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/10/07/12493/
#tokohinspirasi #sahabiyah #Hamnah #wanitahebat #muslimahtangguh #pejuangislam