[Serikandi Teladan] Shafiyyah binti Maimunah asy-Syaibani, Guru Pertama Imam Ahmad bin Hanbal
“Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya.” Memang benar, ketika seorang lelaki mencapai prestasi yang gemilang, selalu ada wanita hebat di sisinya. Tentu kita pernah mendengar bagaimana kezuhudan Imam Hasan al-Basri terbentuk kerana didikan ibu susuannya, Ummul Mukminin Ummu Salamah RA.. Kita juga mengagumi kesabaran Anas bin Malik RA. yang juga berkat peranan besar ibundanya, Ummu Sulaim.
Kita juga tentu sangat familiar dengan perjalanan hidup Rasulullah SAW. yang menjadi yatim piatu sejak kecil, tetapi membesar menjadi seorang yang soleh, kuat dan luar biasa. Di situ terdapat peranan Fatimah binti Asad sebagai pengganti ibunda baginda.
Islam memberikan penghormatan dan peranan yang sangat besar terhadap wanita. Di antara kemuliaan dan peranan bagi wanita adalah mencetak dan menyiapkan generasi unggul. Teladan itu sudah tercatat dalam lebaran sejarah peradaban Islam. Apa yang pernah dikatakan oleh Hafiz Ibrahim, seorang penyair kenamaan yang berasal dari Mesir, sangatlah tepat. “Ibu adalah madrasah yang apabila kau persiapkan dengan baik, bererti engkau telah menyiapkan generasi terdidik.”
Ungkapan itu tercermin dalam kisah Imam Ahmad bin Hanbal dengan gurunya yang merupakan ibunya sendiri, Shafiyyah binti Maimunah binti Abdul Malik Asy-Syaibani.
Peribadi Shafiyyah binti Maimunah
Tidak banyak kisah yang diceritakan oleh salasilah Shafiyyah. Beliau berkahwin pada usia 20 tahun. Ketika suaminya meninggal di medan perang, dia memutuskan untuk tidak berkahwin lagi dan fokus untuk membesarkan anaknya seorang diri.
Imam Ahmad lahir pada bulan Rabiulawal 164 Hijrah. Ayahnya, Muhammad bin Hanbal, bekerja sebagai tentera. Beliau meninggal dunia tiga tahun setelah kelahiran Ahmad.
Beliau mewariskan sebuah rumah yang menjadi tempat berteduh bagi Shafiyyah binti Maimunah dan Ahmad kecil. Di rumah itulah Shafiyyah menjaga Ahmad sebagai ibu tunggal.
Tatkala Ahmad semakin meningkat dewasa dan keperluannya kian meningkat, Shafiyyah mula merasakan kesusahan hidup. Tetapi, tekanan dan kesempitan hidup tidak membuatkannya berputus asa, bahkan dia menolak untuk berkahwin lagi demi mencurahkan segenap waktunya untuk merawat anaknya.
Beliau menjaga Ahmad dengan baik. Shafiyyah menghantar anaknya kepada seorang guru Al-Quran. Hasilnya, beliau berjaya menghafal Al-Quran di usia yang masih muda belia. Shafiyyah juga selalu menceritakan berbagai kisah dan peristiwa sehingga nilai-nilai Islam tertanam kuat dalam diri Ahmad sejak kecil. Beliau juga sentiasa menceritakan tentang Rasulullah SAW dan para Sahabat.
Shafiyyah lah yang memilih tempat anaknya untuk belajar Al-Quran. Beliau juga yang memilih guru-guru untuk Ahmad belajar hadis dan fiqh. Pernah satu hari, Imam Ahmad menceritakan, “Ketika hendak pergi belajar hadis lebih awal, ibuku memegang bajuku dan berkata, ‘Jangan pergi dahulu, sehingga muazin mengumandangkan azan atau sehingga orang-orang keluar.'”
Imam Ahmad pernah bercerita, ketika masih kecil, saat azan berkumandang, ibunya akan berbisik lembut di telinganya, “Wahai Ahmad, bangunlah. Sudah azan subuh.” Kemudian, Imam Ahmad bangun. Setelah itu, beliau melihat ibunya sedang mempersiapkan air wudhuk untuknya.
Setelah berwudhuk, ibunya akan memakaikannya pakaian dan menghantarnya ke masjid. Beliau melakukan perkara itu kerana lokasi masjid adalah jauh dari rumahnya dan jalan menuju ke sana gelap-gelita. Selama perjalanan itulah ibunya akan memimpin tangannya.
Kecintaan Imam Ahmad pada Ibunya
Imam Ahmad berusaha untuk hidup mandiri. Beliau berusaha sekuat tenaga untuk membalas jasa-jasa ibunya atas kesabaran dan pengorbanannya. Dia juga bertekad untuk menjadi pelajar terbaik kerana merasakan dirinya menjadi beban berat buat ibunya walaupun sebenarnya beliau telah membalas jasa ibunya dengan baik iaitu dengan mencurahkan waktu untuk belajar dan menjadi murid teladan di kalangan para guru dan teman-temannya.
Kecintaan Imam Ahmad pada ibunya terlihat jelas dari kepatuhannya mendengar kata-kata ibunya. Suatu ketika, ada seorang ulama besar singgah di tepi sungai yang tepat berhadapan dengan rumah Ahmab bin Hanbal. Air sungai Tigris kemudian melimpah sehingga Khalifah Harun Ar-Rasyid meninggalkan rumah dan membawa keluarganya menaiki perahu. Para penuntut ilmu itu dengan segera berlari menghampiri ulama itu di tepi sungai. Ahmad bin Hanbal dipanggil oleh teman-temannya untuk menyeberangi sungai, kemudian Ahmad menyahut, “Ibuku melarangku untuk menyeberangi air bah ini.”
Imam Ahmad bin Hanbal juga berguru kepada Abdullah bin Al-Mubarak, seorang fasih yang luas ilmunya dan juga kaya. Ibnul Mubarak berusaha membantu Ahmad bin Hanbal dengan harta, tetapi Ahmad menolak dan berkata, “Aku berguru untuk menimba ilmu fiqhmu, bukan hartamu.”
Shafiyyah memberi pesanan kepada Imam Ahmad tatkala puteranya itu hendak berangkat menuntut ilmu, “Wahai Anakku! Apabila Allah telah menyerahkan sesuatu, maka Dia tidak akan mensia-siakan selama-lamanya. Maka, aku serahkan engkau kepada Allah yang tidak pernah mensia-siakan sesuatu apa pun.”
Khatimah
Kisah ini memberi pesanan yang penting. Sosok ibu yang cerdas dan kuat mampu mendidik anaknya sehingga menjadi seorang ulama ahli hadis dan imam besar empat mazhab. Shafiyyah binti Maimunah juga sanggup melepaskan anaknya merantau demi menuntut ilmu kepada para ulama.
Beliau benar-benar telah menyiapkan generasi unggul sejak awal. Beliau mendidik anaknya dengan akidah Islam, menjaga makanannya, memilih guru buat anaknya, mendoakannya, mengenal potensi anaknya dengan baik dan mengikhlaskan anaknya untuk mencari ilmu. Sungguh teladan ibunda yang patut dijadikan inspirasi buat ibu-ibu yang menginginkan generasi terbaik yang akan menjadi perintis bagi peradaban Islam.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/10/21/13120/
#KisahInspirasi #tokohinspirasi #imamahmad #shafiyyah #ibusolehah