
[Serikandi Teladan] Khairah, Ibunda Imam Hasan al-Bashri
Siapa yang tidak kenal Imam Hasan al-Bashri? Tokoh tabiin yang dibesarkan di antara wewangian kenabian. Kemuliaan sang Imam tidak terlepas dari pola asuhan ibunda dan ibu susunya, Ummul Mukminin Ummu Salamah ra..
Ibundanya, Khairah adalah seorang perempuan tabiin berpengetahuan luas. Kapasiti ilmu dan kehidupannya yang zuhud telah berjaya mengantarkan kedua anaknya menjadi ulama besar, iaitu Hasan bin Abu Hasan al-Bashri dan Said bin Abu Hasan al-Bashri.
Anak kedua Khairah, yakni Said bin Abu Hasan al-Bashri merupakan tokoh tabiin yang tsiqah. Dia seorang yang zuhud dan terkenal dengan sikap gemar beribadah. Dia dijuluki rahib kerana sikap waraknya, dan hadis-hadisnya terdapat dalam buku kumpulan hadis.
Sosok Khairah
Khairah dikenali sebagai hamba Ummul Mukminin Ummu Salamah RA.. Khairah mendapat banyak kebaikan kerana kebersamaannya dengan Ummu Salamah RA.. Dia juga mendapat banyak ilmu daripada isteri-isteri Rasulullah SAW..
Suaminya adalah Yasar, seorang hamba dari pertempuran ‘Maisan, yang tinggal di Madinah dan dimerdekakan di sana. Tidak lama kemudian, dia dinikahkan dengan perempuan terbaik, Khairah. Hal ini terjadi pada masa pemerintahan Umar bin Khattab ra..
Khairah termasuk isteri terbaik bersama suaminya. Dia memenuhi segala keperluan suaminya tanpa menangguhkan pengabdiannya kepada Ummu Salamah. Allah memberikan keturunan terbaik dan solehah bagi pasangan suami isteri ini. Keturunan yang menjaga kehidupan keduanya pada masa yang akan datang melalui ilmu yang menghiasi manusia dan menghidupkan ingatannya. Khairah melahirkan anaknya, Hasan, dua tahun sebelum berakhirnya pemerintahan Umar bin Khattab pada 21 Hijriah.
Mendapat Berkah dari Rumah Kenabian
Dengan didikan Ummu Salamah, Khairah lulus dan meriwayatkan hadis darinya. Sebagaimana dia juga meriwayatkan hadis dari Aisyah ra..
Dari tangan Khairah banyak tokoh-tokoh tabiin baik lelaki mahupun perempuan yang meriwayatkan hadis. Dari kalangan lelaki diantaranya kedua anaknya Hasan dan Said, Ali bin Zaid bin Jud’an, dan Muawiyah bin Qurrah al-Muzani. Semuanya adalah tokoh terdepan tabiin yang tsiqah.
Adapun dari kalangan perempuan adalah Hafshah binti Sirin, pemimpin perempuan tabiin. Khairah sangat setia melayani Ummu Salamah. Dia melakukan pekerjaannya sekaligus merawat kedua anaknya.
Ummu Salamah pernah menyuruh Khairah untuk suatu keperluan, dia tidak sempat menjaga anaknya hingga Hasan menangis. Ummu Salamah pun memberikan ketenangan pada Hasan dengan menghibur dan menyusuinya. Seperti yang dikisahkan juga bahawa Ummu Salamah mengajak Hasan yang masih kecil itu keluar bertemu para sahabat Rasulullah SAW..
Mereka semua mendoakannya. Suatu ketika dia mengajaknya keluar menemui Umar bin Khattab. Dia pun mendoakannya,”Ya Allah, berikanlah pemahaman mendalam pada agama dan jadikan dia dicintai oleh umat manusia.”
Dengan semua ini, Khairah memperoleh keberkahan pada puteranya Hasan berkat doa daripada Umar bin Khattab, dan menjadikannya sebagai tokoh tabiin terbaik.
Bersama Ummu Salamah, Khairah mendapat banyak keberkahan ilmu. Dia kerap duduk bersama para perempuan muslimah untuk menasihati dan mengajarkan hukum-hukum yang dia dapatkan daripada Ummu Salamah dan Aisyah RA.. Dia menjadi perempuan tabiin yang memiliki kedalaman ilmu serta hafalan yang banyak.
Ibnu Hibban memasukkannya dalam kategori sebagai perawi yang tsiqah. Buah jatuh tidak jauh dari pohonnya. Seorang ibu pembelajar yang mahu mengharungi lautan ilmu dapat menularkan keberkahan ilmunya kepada sang anak. Khairah adalah teladan bagi para ibu. Jika ingin anak soleh dan solehah, para ibu juga mesti belajar menjadi solehah. Sentiasa melayakkan diri menjadi ibu teladan sebagaimana kisah Khairah yang sangat menginspirasi.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/11/09/14031/
#tokohinspirasi #wanitasolehah #inspirasiwanita #keluargateladan