[Fikrul Islam] Antara Gerakan Antarabangsa dan Gerakan Lokal
Penulis: Ahmad Mahmud
Di antara kaum muslim ada yang melontarkan pemikiran bahawa sebuah harakah Islamiyah wajib bersifat antarabangsa. Alasannya, agama lslam adalah agama yang bersifat universal kerana Muhammad SAW. diutus kepada manusia seluruhnya, kemudian dari segi realiti, suatu jemaah/parti lslam berhadapan dengan gerakan-gerakan lain dimana penyebarannya bersifat mendunia, juga kerana beban yang amat berat yang dipikul oleh dakwah Islam mewajibkan adanya jemaah/parti yang bersifat antarabangsa.
Para penggagas pemikiran ini berdalil dengan ayat-ayat Al-Quran berikut,
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَٰكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
“Demikian pula, Kami telah menjadikan kalian (umat Islam) sebagai umat pertengahan dan pilihan agar kalian menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kalian.” [TMQ Al-Baqarah (2): 143]
قُلْ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا
“Katakanlah, ‘Hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah buat kamu semuanya.’” [TMQ AI-A’raf (7): 158]
وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Kami tidak mengutus kamu (Muhammad) melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Akan tetapi, kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [TMQ Saba’ (34): 28]
Dengan demikian, Rasulullah SAW. telah mengarahkan dakwahnya ke seluruh dunia, ke segala kekuatan, ke seluruh blok, dan kepada semua raja. Kerana itulah, beliau mengirim utusan kepada Najasyi (Raja Habsyah), Heraklius (Kaisar Romawi), Muqauqis (Pembesar Koptik), dan Kisra (Pemimpin Persia). Dalam hal ini, dakwah Islam tidak boleh hanya berbentuk seperti “kedai-kedai” dan “tanah-tanah pertanian” yang ada di sana-sini, sementara jihad Islam pun hanya merupakan jeritan semangat di padang sahara yang lengang.
Memang benar, lslam sebagai agama bersifat antarabangsa dalam akidah dan sistemnya. Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Pengatur segala sesuatu. Dia Maha Mengetahui baik yang zahir mahupun yang batin. Manusia yang lemah yang diciptakan dari air yang hina wajib kembali kepada-Nya. Allah adalah Pencipta manusia. Dia adalah Tuhan setiap manusia. Keberadaan manusia berkaitan dengan tujuan penciptaannya, iaitu ibadah.
Keberadaan manusia juga berkaitan dengan kehidupan selepas kematian, iaitu hari kebangkitan dan hari pembalasan, syurga dan neraka, balasan bagi keimanan dan kekufuran, serta balasan bagi ketaatan dan kemaksiatan. Hakikat akidah Islam wajib untuk ditransformasikan dan disampaikan kepada manusia seluruhnya. Allah Swt. berfirman,
لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَنۢ بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَىَّ عَنۢ بَيِّنَةٍ
“Iaitu agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata (pula).” [TMQ Al-Anfal (8): 42]
Peraturan yang telah diturunkan Allah kepada Rasul-Nya dan yang berasal dari akidah ini juga merupakan peraturan untuk manusia sebagai manusia tanpa memperhatikan lagi warna kulit, ras, atau keadaannya.
Memang benar, Islam adalah agama yang universal. Islam mewajibkan benih berdirinya Daulah lslamiyah adalah benih yang mendunia. Seterusnya, Islam juga mewajibkan jemaah/parti mempersiapkan dirinya untuk menegakkan tugas ini. Oleh kerana itu, jemaah/parti pada dasarnya wajib untuk tidak memandang aktivitinya dengan pandangan yang sempit, tidak hanya membataskan dirinya sekadar di negeri tempatnya beraktiviti, serta tidak menerima lontaran-lontaran pendapat yang bersifat tampal sulam, bertahap, atau hanya menerima kebenaran yang bersifat sebahagian yang justeru akan menghilangkan intipati kebenaran itu sendiri.
Akan tetapi, jemaah/parti perlu memandang bahawa dirinya wajib menyelamatkan umat manusia seluruhnya dari idea-idea kufur dan syirik meskipun kekufuran dan kemusyrikan itu menampilkan diri dalam berbagai bentuk (Sebelumnya, mereka beranggapan bahawa berhaIa itu bermanfaat dan di tangannya ada kebaikan dan kemudaratan. Sebaliknya sekarang, mereka beranggapan bahawa pemikiran-pemikiran tertentu bermanfaat dan mengandungi kebaikan sementara pemikiran selainnya mengandungi kemudaratan). Jemaah/parti juga hendaklah mengembalikan manusia pada kebenaran yang tidak berbilang. Inilah yang wajib menjadi perspektif jemaah/parti. Berdasarkan ini juga, diterapkan pemikiran-pemikiran (tsaqafah) jemaah/parti.
Jemaah/parti juga mesti memandang bahawa aktiviti dan langkah-langkah perjalanannya teIah direka bentuk sedemikian rupa. Dengan begitu, apabila jemaah/parti berjalan tanpa melencong sedikit pun dan bersabar menghadapi segala hal yang menimpanya tanpa berat sebelah, tanpa melakukan pendamaian, dan tanpa melakukan penyamaran, maka Allah SWT. telah mempersiapkannya (secara praktikal dan teori) untuk menegakkan urusan ini secara antarabangsa iaitu setelah berdirinya Daulah lslamiyah.
Dengan demikian, apabila dilihat dari segi pemikiran, jemaah/parti hendaklah bersifat antarabangsa. Sebaliknya, dari segi aktiviti, ia tidak keluar dari keadaannya sebagai suatu jemaah/parti yang beraktiviti di satu tempat tertentu untuk mendirikan Daulah Islamiyah. Setelah itu, Daulah Islamiyah yang akan berperanan untuk menegakkan tugas yang agung itu.
Masih ada satu topik lagi yang perlu dijelaskan, iaitu bahawa negeri-negeri kaum muslim telah terpecah-pecah menjadi beberapa negara. Inilah yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam dan kaum muslim. Secara umum, kaum muslim di negara-negara itu hidup dalam keadaan yang sama; meskipun ada perbezaan di dalam beberapa aspek cabang yang tidak mengubah metod dan menghalangi penyebaran aktiviti yang terorganisasi dan bersatu di lebih dari satu negeri.
Perluasan ini akan memberikan kekuatan bagi jemaah/parti, membuatkan orientasinya Iebih besar dan lebih efektif, dan menjadikan tegaknya Daulah Islamiyah di salah satu wilayah di antara wilayah-wilayah yang menerima dakwah lebih luas dan lebih tersebar. Faktor inilah yang dapat membantu jemaah/parti untuk melaksanakan tugasnya yang akan mengantarkannya pada tegaknya Daulah Islamiyah dan mempersiapkan Daulah Islamiyah memasuki fasa pergulatan antarabangsa. Dalam dua perkara ini jemaah/parti hendaklah lebih sedar akan pengharapan mereka terhadap pertolongan Allah SWT..
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #jemaahislam #dakwahislam #tegakkhilafah