Orang Yang Tidak Mendapat Syafaat
Penulis: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.
فَمَا تَنفَعُهُمۡ شَفَٰعَةُ ٱلشَّٰفِعِينَ ٤٨
“Tidak berguna lagi bagi mereka syafaat (pertolongan) dari orang-orang yang memberikan syafaat.” [TMQ al-Muddathir (74): 48].
Tafsir Ayat :
Allah SWT berfirman,
فَمَا تَنفَعُهُمۡ شَفَٰعَةُ ٱلشَّٰفِعِينَ ٤٨
“Tidak berguna lagi bagi mereka syafaat (pertolongan) dari orang-orang yang memberikan syafaat.” [TMQ al-Muddathir (74): 48].
Ayat ini diawali dengan huruf al-fâ‘. Ada yang menyebut huruf tersebut sebagai huruf ‘athf. Dengan demikian kalimat selepas itu merupakan lanjutan dari kalimat sebelumnya yang dihubungkan dengan huruf al-fâ‘ tersebut. Ada yang mengatakan huruf tersebut ialah huruf isti’nâfiyyah. Dengan begitu kalimat setelahnya merupakan kalimat baharu yang terputus dengan kalimat sesudahnya.
Meskipun kalimat baharu dan terputus dengan kalimat sebelumnya, objek yang dibicarakan masih sama, iaitu tentang kaum kafir yang melakukan pelbagai perbuatan maksiat sebagaimana diterangkan dalam kalimat sebelumnya.
Kata شَفَاعَة merupakan bentuk mashdar dari kata شفَعَ – يَشفَع ، شَفْعًا وشفاعة (memohon untuk orang lain, menambahkan, menyertakan, memasukkan). Secara bahasa, kata الشفع bererti lawan dari kata الوَتْر (ganjil), iaitu الزوج (berpasangan, genap). Secara istilah, kata asy-syafâ’ah bermakna permohonan untuk mengampuni dosa dan kesalahan di antara mereka). Adapun الشَّافِعِينَ merupakan bentuk jamak dari kata الشَّافِع yang merupakan ism al-fâ’il. Menurut asy-Syaukani, yang dimaksudkan dengan شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ (para pemberi syafaat) adalah para malaikat, para nabi, dan orang-orang yang soleh. Mereka itu adalah yang syafaatnya bermanfaat. Dalam ayat ini diberitakan bahawa syafaat mereka itu tidak berguna dan tidak bermanfaat bagi kaum kafir. Ini disebabkan oleh dalam ayat tersebut ada disebut kata yang merupakan harf al-nafîyy, yang menafikan atau menegaskan kalimat sesudahnya. Dengan demikian ayat ini memberitakan bahawa syafaat dari orang-orang yang dapat memberikan syafaat tersebut tidak bermanfaat bagi orang-orang yang mati dalam keadaan kafir.
Al-Baidhawi berkata, “Syafaat orang-orang yang memberikan syafaat tidak bermanfaat seandainya diberikan kepada mereka.” Ibnu Kathir berkata, “Siapa sahaja yang mempunyai sifat-sifat demikian (yang disebutkan dalam ayat-ayat sebelumnya), tiada berguna baginya syafaat dari orang-orang yang memberi syafaat pada hari kiamat nanti. Ini disebabkan oleh sesungguhnya syafaat itu hanya berguna bagi orang yang diperbolehkan untuk menerimanya. Adapun orang yang kembali kepada Allah dalam keadaan kafir, kelak pada hari kiamat bagi dia hanyalah neraka secara pasti. Tiada jalan lain bagi dia dan dia kekal di dalamnya.”
Menurut Muhammad Ali al-Shabuni, pemberi syafaat tidak dapat menyelamatkan mereka dari siksa Allah. Seandainya penghuni bumi memberikan syafaat kepada mereka, syafaat itu tidak diterima.
Menurut Mahmud Shafi, ayat ini bukan bermakna bahawa para pemberi syafaat itu memberikan syafaat kepada mereka, lalu syafaat tersebut tidak bermanfaat bagi mereka. Akan tetapi, maknanya adalah nafiyy al-syafâ’ah (meniadakan atau menegaskan syafaat) sehingga tidak bermanfaat. Ertinya, tidak ada syafaat bagi mereka sehingga bermanfaat bagi mereka.
Secara jelas disebutkan bahawa syafaat itu tidak bermanfaat bagi mereka. Ini menunjukkan bahawa syafaat itu bermanfaat bagi selain mereka. Orang-orang mukmin yang fasik adalah termasuk dalam orang yang dapat diberi syafaat. Menurut Fakhruddin ar-Razi bahawa ulama dari mazhabnya berhujah tentang adanya syafaat bagi orang-orang fasik atas dasar mafhum mukhâlafah dari ayat ini. Mereka berkata, “Dikhususkan syafaat bagi mereka itu menunjukkan bahawa syafaat dari para pemberi syafaat tersebut bermanfaat.”
Menurut Imam Al-Qurthubi, ayat ini menjadi dalil kebenaran pendapat yang mengatakan bahawa syafaat itu berguna bagi orang-orang yang melakukan perbuatan dosa; bahawa kaum yang termasuk ahli tauhid yang melakukan dosa di dunia diazab terlebih dahulu, kemudian mereka akan mendapatkan syafaat. Lalu Allah SWT merahmati mereka kerana tauhid mereka dan syafaat. Kemudian mereka pun dikeluarkan dari neraka. Adapun orang-orang kafir tidak memiliki pemberi syafaat dalam kalangan mereka.
Perkara yang sama juga disampaikan oleh para ulama lain, seperti Ibnu Jarir ath-Thabari, Ibnu Asyur dan lain-lain. Penjelasannya dinukilkan dalam hadis-hadis yang sahih.
Beberapa Pengajaran Penting
Dalam ayat ini terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil. Diantaranya :-
Pertama, bahawa akan adanya syafaat pada hari kiamat. Hanya sahaja, orang-orang yang diterangkan dalam ayat ini tidak mendapat syafaat.Tentang adanya syafaat tersebut, juga dijelaskan dalam banyak dalil lainnya [Lihat: TMQ az-Zumar (39): 43-44].
Syafaat menjadi hak mutlak Allah SWT semata-mata. Tidak ada yang boleh memberikan syafaat, kecuali dengan izin dan redhaNya. Ini juga ditegaskan dalam ayat lain (Lihat: TMQ an-Najm (53): 26;17 TMQ Saba (34): 23]. Semua ayat ini menjelaskan adanya syafaat sekaligus menegaskan bahawa tidak ada seorang pun yang dapat memberikan syafaat kepada orang lain kecuali mendapatkan izin dan redha dari Allah SWT.
Adanya syafaat pada hari kiamat juga diberitakan dalam banyak hadis. Di antaranya hadis dari Imran bin Hushain RA bahawa Nabi SAW bersabda :
يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنَ النَّار بِشَفَاعَةِ مُحَمَّد -صلى الله عليه وسلم- فَيَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ، يُسَمَّوْنَ الْجَهَنَّمِيِّينَ
“Ada sekelompok kaum yang keluar dari neraka kerana syafaat Muhammad SAW. Lantas mereka masuk syurga dan diberi julukan ‘Jahannamiyun (mantan penghuni Neraka Jahannam).” [HR Al-Bukhari dan Abu Dawud].
Menurut al-Qadhi Iyadh, mazhab Ahlusunnah menyatakan kebolehan syafaat secara rasional dan kewajipan syafaat berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا يَشۡفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ٱرۡتَضَىٰ ٢٨
“Mereka tidak memberikan syafaat melainkan kepada orang yang Allah redhai.” [TMQ al-Anbiya (21): 28].
Juga dalam firman Allah SWT:
يَوۡمَئِذٖ لَّا تَنفَعُ ٱلشَّفَٰعَةُ إِلَّا مَنۡ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحۡمَٰنُ وَرَضِيَ لَهُۥ قَوۡلٗا
“Pada hari itu tidak berguna syafaat, kecuali (syafaat) orang yang Allah Maha Pemurah telah memberi izin kepada dia dan Dia telah meredhai perkataannya.” [TMQ Taha (20): 109].
Ayat-ayat seperti ini serta berita dari Rasulullah SAW sesungguhnya telah sampai riwayat-riwayat yang secara keseluruhan darjatnya sampai ke tingkat mutawatir membenarkan adanya syafaat pada hari akhir bagi kaum mukmin yang berdosa. Pendapat ini juga disepakati oleh para ulama salafussoleh dan kalangan Ahlusunnah sesudah mereka, tetapi ditolak oleh kaum Khawarij dan sebahagian Muktazilah.
Kedua, orang kafir tidak akan mendapatkan syafaat. Abdullah bin Mas’ud pernah berkata, “Nabi kalian iaitu Nabi Muhammad SAW ialah pemberi syafaat yang keempat. Para pemberi syafaat merupakan Malaikat Jibril, Nabi Ibrahim, Nabi Musa atau Nabi Isa, Nabi Muhammad SAW, para malaikat, para nabi, para siddiqin, kemudian para syuhada. Setelah itu, tinggal sekumpulan orang yang tidak diberikan syafaat di dalam neraka. Kemudian, mereka dibacakan surat al-Muddathir dari ayat 42 hingga ayat 48. Ibnu Mas’ud pun berkata, “Mereka itulah yang akan tetap berada di dalam neraka.”
Ketiadaan syafaat bagi kaum kafir turut disebutkan dalam ayat lain :
لَّا يَمۡلِكُونَ ٱلشَّفَٰعَةَ إِلَّا مَنِ ٱتَّخَذَ عِندَ ٱلرَّحۡمَٰنِ عَهۡدٗا ٨٧
“Mereka tidak berhak untuk mendapat syafaat kecuali orang yang telah mengadakan perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah.” [TMQ Maryam (19): 87].
Menurut Ibnu Abbas, makna al-‘ahd (janji) yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah syahadah Lâ ilâha illâllâh (kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah SWT), dan berserah diri kepada Allah SWT dengan segala tenaga dan kekuatan serta tidak berharap kecuali kepada Allah SWT.
Menurut al-Wahidi, perjanjian tersebut adalah akidah tauhid. Siapa sahaja yang mengatakan Lâ ilâha illâllâh, maka berhak untuk mendapatkan syafaat. Itu bermakna, orang yang tidak bersyahadat, maka tidak diberikan syafaat.
Ibnu Jarir juga berkata: Allah SWT berfirman, “Wahai Muhammad, orang-orang kafir itu tidak mendapatkan syafaat dari tuhan mereka pada hari Allah SWT mengumpulkan orang-orang yang bertakwa kepada-Nya sebagai utusan terhormat ketika orang mukmin memberikan syafaat kepada mukmin lain.’”
Menurut al-Qadhi Iyadh, terdapat ayat-ayat yang menerangkan ketiadaan syafaat pada hari kiamat seperti dalam [TMQ al-Muddathir (74): 48] dan [TMQ Ghafir (40): 18].
مَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنۡ حَمِيمٖ وَلَا شَفِيعٖ يُطَاعُ ١٨
“Tidak ada seorang pun teman setia bagi orang yang zalim dan tidak ada bagi dia seorang penolong yang diterima (pertolongannya).” [TMQ Ghafir (40): 18].
Selain ayat al-Quran, terdapat juga beberapa hadis yang memberitahu bahawa syafaat hanya akan diberikan kepada ahli tauhid, iaitu kaum mukmin. Di antaranya, adalah hadis dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,
لِكُل نَبِىٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ فَتَعَجَّلَ كلُّ نَبِىٍّ دَعْوَتَهُ وَإِنِىّ اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِى شَفَاعَةً لأُمَّتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَهِىَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ الله مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِى لاَ يُشْرِكُ بالله شَيْئًا
“Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Setiap nabi doanya dikabulkan segera. Adapun aku menyimpan doaku untuk memberikan syafaat kepada umatku pada hari kiamat. Syafaat itu insya Allah akan diperoleh umatku yang meninggal dan tidak menyekutukan Allah dengan apapun.” [HR Muslim dan al-Tirmidzi].
Anas bin Malik RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
أَنَا أَوَّلُ النَّاسِ يَشْفَعُ فِى الْجَنَّةِ وَأَنَا أَكْثَرُ الأَنْبِيَاءِ تَبَعًا
“Aku adalah orang yang pertama kali memberikan syafaat di syurga dan aku adalah nabi yang paling banyak pengikutnya.” [HR Muslim].
Dari Abu Hurairah RA, dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling bahagia dengan syafaatmu pada hari kiamat?” Baginda menjawab,
لَقَدْ ظَنَنْتُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ أَنْ لاَ يَسْأَلَنِى عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ أَحَدٌ أَوَّلُ مِنْكَ، لِمَا رَأَيْتُ مِنْ حِرْصِكَ عَلَى الْحَدِيثِ، أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله خَالِصًا مِنْ قِبَلِ نَفْسِهِ
“Sungguh saya telah mengira, wahai Abu Hurairah, jangan ada seseorang yang lebih awal dari kamu bertanyakan tentang hadis ini, kerana saya memang melihat keinginanmu untuk mendengarkan hadis ini. Orang yang paling bahagia dengan syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang mengucapkan, ‘Lâ ilâha illâllâh’ dengan tulus dari hatinya atau perasaannya.” [HR Al-Bukhari dan Ahmad].
Hadis dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
شَفَاعَتِى لأَهْلِ الْكَبَائِرِ مِن أُمَّتِى
“Syafaatku juga untuk umatku yang menjadi pelaku dosa besar.” [HR Ahmad, Abu Daud, dan Al-Tirmidzi]
Semua itu menunjukkan bahawa adanya syafaat yang hanya akan diberikan kepada kaum mukmin. Akan tetapi, kaum kafir tidak mendapatkan syafaat dan mereka tinggal di neraka serta tidak akan keluar darinya.
Wallahu’alam bissawwab.