[Fikrul Islam] Justifikasi Pihak Yang Membenarkan Tadarruj (Bahagian 1/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Para pendokong idea ini menggunakan justifikasi yang memperkukuh pemahaman mereka tentang pemikiran dan dakwah Islam. Untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai, mereka telah menggunakan alasan ini sebagai dalil untuk apa yang mereka mahukan. Mereka tidak tunduk kepada nas dan dalil. Sebaliknya, mereka menggunakan nas untuk memenuhi kehendak mereka seperti yang akan kita lihat nanti. Antara justifikasi ini termasuklah:
PERTAMA: Pendapat mereka yang mengatakan bahawa Allah tidak mengharamkan riba sekaligus. Pengharaman riba diturunkan secara bertahap dan beransur-ansur. Allah SWT berfirman,
“Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia, maka ia tidak sekali-kali akan kembang disisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukan itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda..” [TMQ ar-Rum (30): 39]
Kemudian, firman Allah SWT,
“Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda.” [TMQ Ali -Imran (3): 13]
Setelah itu firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang).” [TMQ aI-Baqarah (2): 278]
Berikutnya adalah firman Allah SWT,
“Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang melakukannya.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 161]
Kemudian barulah firman Allah SWT,
“Padahal Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” [ TMQ al-Baqarah (2): 275]
Berdasarkan kesemua ayat di atas, para pendukung tadarruj memahami bahawa riba pada mulanya mubah (dibolehkan) berdasarkan ayat pertama. Selepas itu turun ayat yang mengharamkan mengambil riba berlipat ganda, tetapi tidak mengharamkan riba yang sedikit (nilai), berdasarkan ayat kedua. Kemudian diakhiri dengan ayat ketiga yang mengharamkan riba walaupun sedikit berdasarkan firman Allah SWT:
“Dan tinggalkan (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang).” [TMQ aI-Baqarah (2): 278]
Dari sini mereka mengatakan bahawa pengharaman riba bermula dengan sindiran, bukan secara terang-terangan. Ini kerana ayat keempat yang menerangkan tentang kisah orang-orang Yahudi. Akhirnya Allah SWT mengharamkan riba setelah melalui siri ini dan setelah melalui tahap-tahap tersebut, dengan firmanNya,
“Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” [TMQ al-Baqarah (2): 275]
Orang yang memperhatikan aspek-aspek fiqih ayat-ayat ini dengan pandangan yang benar, yang sesuai dengan syariat, nescaya akan mendapat pendapat yang mengatakan tadarruj dibolehkan adalah sangat jauh dari kebenaran.
Ayat pertama tidak ada kaitan dengan riba yang diharamkan. Ayat tersebut membincangkan hibah dan hadiah. Maksud ayat tersebut ialah, sesiapa yang memberi hadiah kerana ingin mendapat pahala yang berlipat ganda daripada manusia, dia tidak akan mendapat riba (tambahan) di sisi Allah SWT. Dengan kata lain, dia tidak akan mendapat pahala atas hadiah dan hibah yang dia berikan di sisi Allah SWT. Manakala berkenaan sedekah, Rasulullah SAW bersabda,
“Barangsiapa bersedekah dengan sebiji kurma dari hasil perniagaan yang baik (halal), dan Allah tidak menerima kecuali yang baik. Maka Allah menerima sedekah dengan tangan kanannya dan memeliharanya seakan-akan salah seorang di antara kamu memelihara seekor anak kuda sehingga ia tumbuh seperti gunung.” [HR Bukhari]
Ibnu Abbas menafsirkan ayat, “wa ma ataitum min ar-riba”, bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah seseorang yang memberi hadiah kerana menginginkan balasan yang lebih dari apa yang diberikannya, maka tidak akan bertambah di sisi Allah SWT dan tidak akan diberi pahala orang yang memberi hadiah dengan niat ini, walaupun dia tidak berdosa. Ayat tersebut turun dengan maksud sedemikian (dipetik oleh Al-Qurthubi).
Ibnu Kathir Rahimahullah berkata berkenaan ayat ini, “Sesungguhnya orang yang memberi sesuatu kerana ingin mendapat balasan dari manusia yang lebih dari apa yang mereka hadiahkan, maka orang seperti ini tidak mendapat pahala di sisi Allah SWT.”
Demikian juga tafsir Ibnu Abbas, Mujahid, Ad-Dhahhak, Qatadah, Ikrimah, Muhammad bin Ka’ab, dan Asy-Sya’biy. Tindakan ini dibenarkan hukumnya.
Ibnu Abbas berkata, “Terdapat dua jenis riba, (iaitu) riba la yashihu (riba yang tidak halal), iaitu dalam jual beli, dan riba la ba’sa bihi (riba yang tidak mengapa) iaitu hadiah seseorang yang mahu mendapat lebih banyak balasan.”
Adapun ayat kedua,
“Janganlah kamu makan riba yang berlipat ganda.“ [TMQ Ali-Imran (3): 130]
Ayat ini diturunkan untuk melarang makan riba yang berlipat ganda, iaitu riba yang terdapat pada zaman jahiliyah. Dalam ayat ini tidak ada perkara yang mengikat (mentaqyid) haramnya riba.
Ahli tafsir menyatakan bahawa surah al-Baqarah yang di dalamnya terdapat ayat pengharaman riba adalah ayat pertama yang diturunkan di Madinah, sedangkan surah Ali Imran yang mengandungi ayat mengharamkan makan riba yang berlipat ganda diturunkan setelah ayat pengharaman riba dalam surah al-Baqarah. Berdasarkan kenyataan ini, andaian bahawa Allah SWT telah menghalalkan makan riba adalah sedikit tertolak.
Justeru ayat tentang riba yang terkandung dalam surah Ali Imran bukanlah menjelaskan tadarruj, tetapi menjelaskan tabiat orang kafir yang telah berakar umbi dalam urusan riba. Maka berdasarkan penjelasan ini, pengharaman riba telah wujud sejak awal.
Adapun ayat ketiga,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba ( yang masih ada pada orang yang berhutang).” [TMQ aI-Baqarah (2): 278]
Ayat ini tidak membawa maksud bahawa Allah SWT telah menghalalkan sedikit riba kepada umat Islam, maka riba diharamkan sepenuhnya bagi mereka. Ayat ini diturunkan untuk orang-orang yang beriman dan mereka mempunyai harta, (tetapi) ia mengandungi riba yang ada di tangan orang lain. Sebelumnya mereka telah mengambil sebahagian daripada riba dan tidak mengambil yang lain. Maka Allah SWT mengampuni mereka atas riba yang telah mereka ambil dan melarang mereka mengambil sisa riba.
Perkara ini diperkuatkan lagi oleh firman Allah SWT,
“Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya)) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” [TMQ al-Baqarah (2): 279]
Begitu juga diperkuat oleh hadis Rasulullah SAW,
“Ketahuilah bahawa riba itu jahil (menghapuskan) segala sesuatu, dan riba yang pertama (dihapuskan) ialah riba Abbas bin Abdul Muthalib.” [Sirah Ibnu Hisyam]
Sedangkan ayat yang keempat,
“Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukanya dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu,judi dan sebagainya).” [TMQ an-Nisaa’ (4): 161]
Riba yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah harta haram risywah (rasuah) dan lain-lain yang sebelumnya dimakan oleh orang Yahudi, sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat Allah SWT,
“Sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” [TMQ al-Maidah (5): 42]
Ini bermaksud bukanlah riba yang dimaksudkan dengan syarak. Berdasarkan perbincangan di atas jelaslah bahawa riba telah diharamkan sejak ayat pertama riba diturunkan. Tidak ada petunjuk bahawa riba telah diharamkan secara beransur-ansur. Banyak nas-nas yang terkandung dalam kes ini bertujuan untuk acara tertentu. Dan tidak ada satu pun perkara yang menunjukkan bahawa riba telah diharamkan secara beransur-ansur.
*Bersambung ke bahagian 2/2
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #PemikiranIslam #tadarruj