[Fikrul Islam] Munculnya Tadarruj
Penulis: Ahmad Mahmud
Fokus penulisan ini adalah untuk menerangkan kerosakan idea tadarruj dalam aspek penerimaan dan penerapan undang-undang Islam, termasuklah isu-isu yang terkait dengannya seperti pendapat yang mengatakan umat Islam boleh menyertai sistem pemerintahan sekarang. Begitu juga dengan pendapat yang mengatakan bahawa demokrasi merupakan sebahagian daripada Islam , ia termasuk dalam usaha mendekatkan Islam dengan akal manusia. Penerangan tentang idea ini adalah perlu kerana terdapat hubungan yang rapat antara pemikiran ini dengan aktiviti yang dijalankan oleh beberapa jemaah yang menjalankan aktiviti taghyir (perubahan).
Apakah yang dimaksudkan dengan tadarruj? Apakah yang terdapat pada pandangan orang yang membenarkannya? Serta apa pula sebab-sebabnya, dan bagaimana hukum syarak mengatasi masalah ini?
Ketika umat Islam mengalami kemerosotan ruhiyah, kemunduran material, pemikiran dan politik, maka pemikiran mereka menjadi selari dengan realiti buruk yang menimpa mereka. Akibatnya, muncul pemikiran yang tidak mencerminkan hakikat Islam yang sebenar di tengah-tengah masyarakat yang memiliki komitmen kepada Islam.
Pemikiran mereka lebih kepada menggambarkan tentang buruknya pemahaman dan kejahilan terhadap Islam dan petunjuk-petunjuk Islam dalam kehidupan. Pihak kafir imperialis yang menguasai urusan kaum muslim dan juga mampu membolak-balikkan umat Islam sesuka hati mereka, telah berjaya menanamkan pemahaman dan tolok ukur mereka dalam kalangan umat Islam.
Orang kafir berjaya menanamkan pelbagai pemikiran dengan pelbagai cita rasa yang terasa sedap di mulut dan manis ketika diucapkan. Semua itu hanyalah untuk kepentingan mereka. Puncanya bukan kerana Islam, melainkan kerana umat Islam yang telah longgar ikatannya dengan lslam, dan juga hilangnya pemahaman yang benar di dalam diri mereka.
Sebahagian kaum muslim telah berusaha melakukan penentangan dengan berasaskan pemahaman yang telah dipengaruhi oleh realiti dan tunduk kepada (kepentingan) maslahat. Namun, tentangan yang dilakukan hanyalah usaha yang sia-sia dan langkah bertatih yang berakhir dengan kegagalan, berhujung kepada penghinaan dan kepasrahan yang menakutkan.
Orang kafir masih bertapak di negara kita. Tidak ada yang dapat menghalangi mereka dan tidak ada yang mampu mencegah mereka. Bagaimanakah sebenarnya golongan kafir imperialis menyerang lslam? Dan bagaimanakah reaksi umat Islam?
Orang kafir menyerang lslam dengan mengatakan bahawa lslam tidak mampu menyesuaikan diri dengan zaman, dan Islam tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah kontemporari yang muncul. Tindakan umat Islam terhadap lontaran ini adalah menciptakan penyelesaian Islam dari pelbagai perkara yang dilontarkan oleh sistem Kapitalis.
Oleh sebab prinsip yang menjadi asas penubuhan sistem Kapitalis adalah bertentangan dengan prinsip yang menjadi asas Islam, mereka sengaja mencampuradukkan antara dua perkara yang sebenarnya bertentangan. Mereka juga secara sengaja membuat tafsiran yang salah, yang akhirnya akan melahirkan pemahaman dan tolok ukur yang salah dan disandarkan kepada syarak secara zalim dan dusta.
Semua itu bertujuan untuk menciptakan keharmonian di antara kedua-duanya dan memberikan gambaran bahawa Islam mampu mengikuti perkembangan zaman. Akibatnya, pemahaman-pemahaman dan tolok ukur seperti itu dianggap Islami dan digunakan untuk memahami Islam. Hakikatnya jika kita mengambil pemahaman dan tolok ukur itu bermakna sama sahaja dengan meninggalkan Islam dan mengikuti sistem Kapitalis.
Setiap seruan untuk persetujuan atau apa sahaja yang dipengaruhi oleh seruan persetujuan ini hakikatnya adalah seruan untuk mengambil kekufuran dan meninggalkan Islam. Ini juga bermakna mengemban pemikiran kafir kepada umat Islam dan mengajak mereka untuk mengambilnya, sama seperti meninggalkan dakwah kepada Islam yang sebenarnya.
Oleh yang demikian, jika umat Islam berusaha untuk membangkitkan umat dengan pemikiran seperti ini, maka usaha-usaha itu ibarat pancaran cahaya yang tidak mampu menerangi umat dan tidak juga sanggup menariknya dari kemunduran umat.
Dari sinilah kita mula mendengar pelbagai perbincangan yang melampaui batas syariat Islam, baik disertai dengan niat atau secara tidak disengajakan, lalu menyatakan bahawa tidak masuk akal jika kita yang hidup pada masa lebih dari empat belas abad sejak masa Rasulullah SAW masih berpegang dengan pola fikir yang sama dengan pola fikir masa kenabian. Jadi hendaklah dilakukan usaha tajdid (pembaharuan) kembali terhadap syariat Islam agar dapat menyesuaikan diri dengan situasi dan keadaan. Hal ini mampu meletakkan Islam di barisan paling hadapan (di antara umat-umat lain).
Menurut mereka, lslam hendaklah diberi pakaian dengan fesyen moden dan pemikiran kontemporari disuntik ke dalamnya agar Islam mampu menyatukan kembali jiwa, agar Islam keluar dari kepompongnya, serta keluar dari tuduhan pihak lain yang dilontarkan kepadanya disebabkan pakaian buruknya tidak dapat diterima orang ramai.
Bermula dari sini, sebahagian kaum muslim mengeluarkan sejumlah pemikiran yang menjadi bentuk kaedah pemikiran mereka, yang membatasi gerak-geri orang-orang yang mengamalkannya dan menetapkan perspektif baru dalam kehidupan mereka. Pemikiran ini dipanggil pemikiran zaman kemerosotan, yang mula muncul sejak tumbuhnya idea-idea Barat yang rosak di negara kita. Ia terjadi ketika sebahagian umat Islam menganggap bahawa mengikuti perkembangan zaman dan mengambil manfaat dari pemikiran Barat yang sedang bangkit merupakan suatu kewajipan yang Islamik agar Islam tetap berada pada kemodenannya.
Sejak itu muncul pemikiran kontemporari yang melayani tujuan ini, seperti: inna ad-dina marinun wa mutathawwir (agama Islam itu mudah dan mengikuti perkembangan), khudz wa thalib (ambil dan tuntutlah hak anda), al-qabul bima yuwafiqu asy-syar’i aw bima la yukhalifu asy-syarie (menerima apa pun yang sesuai dengan syarak atau apa pun yang tidak bertentangan dengan syarak), irtikabu akhaffu adh-dhararain wa ahwanu asy-syarrain (pelaksanaan yang lebih ringan bahayanya dan yang lebih sedikit keburukannya), ma la yu’khadzu kulluhu la yutraku jalluhu (apa yang tidak dapat dilaksanakan seluruhnya maka jangan ditinggalkan semuanya), at-tadarruj fi akhzi al-lslam (bertahap dalam penerapan Islam), ad-dimuqrathiyyah min al-lslam (demokrasi adalah bahagian dari Islam), la yunkaru taghayyur al-ahkam bi taghayyuri az-zaman wa al-makan (tidak diingkari perubahan hukum dengan berubahnya waktu dan tempat), haitsuma takunu al-maslahah fatsamma syar’ullah (di mana ada maslahat, di sana ada hukum AlIah).
Pemikiran-pemikiran seperti ini menjadi titik tolak pemikiran atau kaedah berfikir bagi apa yang mereka namakan dengan “kebangkitan Islam moden” yang dipandu oleh tokoh terpenting dalam masalah ini, iaitu Jamaluddin al-Afghani dan muridnya yang menjadi anggota organisasi Freemason, Muhammad Abduh, yang ketika itu digelar Syaikhul Islam.
Sesungguhnya perkataan seperti ini diucapkan oleh orang yang mempunyai niat buruk dan menyembunyikan agendanya yang busuk. Mereka memang berniat untuk memecah belahkan umat Islam dengan kekuatan mereka, dan mewariskan segala kelemahan yang membuatkan umat Islam berdiam diri untuk menerapkan hukum-hukum Allah buat kali kedua.
Perkataan tersebut juga dilontarkan oleh orang-orang yang berniat baik, tetapi mereka menganggap bahawa pemikiran tersebut merupakan penyembuh mujarab yang dapat menyembuhkan apa sahaja yang dideritai kaum muslim ketika ini, iaitu kemunduran dan kemerosotan. Perkataan seperti ini,samada diucapkan dengan niat buruk atau baik, namun pengaruhnya terhadap realiti kaum muslim sama sahaja.
Kami, bagaimanapun memperingatkan kepada umat Islam tentang tipu daya orang-orang kafir terhadap agama ini. Nasihat kami, agar mereka mencabut pemikiran seperti ini yang pasti kegagalannya secara benar, yang tidak melahirkan kebaikan dan tidak mampu menghalau keburukan. Allah SWT telah menjadikan kita umat yang paling kaya kerana Islam telah cukup dan tidak perlu mengambil dari umat yang lain. Islam telah menentukan kaedah pengambilannya dan agama Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk menyelesaikan seluruh permasalahan dalam kehidupan.
Tidak ada yang dapat dilakukan oleh seorang muslim kecuali berijtihad, menggali nas-nas syarak yang telah diturunkan. Bukan mencari yamg lain untuk mengetahui hukum-hukum Allah SWT. Kaedah berfikir seorang muslim yang mewajibkan kehidupannya terikat dengan dalil-dalil syarak itulah yang dipanggil dengan hukum syarak yang memiliki dalil yang terperinci. Kaedah ijtihad ini bersifat tetap dan tidak berubah. Dengan alasan apa pun tidak boleh menggantikannya. Dari sinilah bermulanya asas kebangkitan kita secara sempurna, sebagaimana sebelumnya.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam