[Nafsiyah] Terhalangnya Hidayah
Saudariku, kita memahami bahawa hidayah tidak pernah memilih orang, ia boleh menyapa setiap hamba Allah SWT. Hidayah pun tidak memilih kasih kepada setiap hambaNya. Sebenarnya, manusia sendirilah yang menyebabkan dirinya boleh menerima hidayah ataupun tidak.
Hidayah itu umpama sinar mentari. Jika rumah dikelilingi kaca yang bersih, sinar mentari pun mudah masuk ke rumah tersebut. Namun demikian, jika kaca rumahnya kotor, sinar mentari tidak akan pernah masuk ke rumah. Sesungguhnya hati manusia adalah ibarat kaca.
Allah SWT berfirman, “Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, dialah yang mendapat petunjuk (dalam semua kebaikan dunia dan akhirat), dan barang siapa yang disesatkan Allah, merekalah orang-orang yang merugi (dunia dan akhirat).” [TMQ al-A’raaf (7): 178]
Rasulullah SAW bersabda, “Berikanlah kepada kami hidayah ke jalan yang lurus.” [HR Ahmad]
Dalam hadis Qudsi, Allah SWT berfirman, “Wahai hamba-hamba Ku, kalian semua tersesat kecuali orang yang Aku beri petunjuk, mintalah petunjuk kepada-Ku, nescaya Aku akan berikan petunjuk kepada kalian.”
Hidayah secara bahasa ialah ar-rasyad (bimbingan) dan ad-dalalah (dalil/petunjuk) dari (Kitab al-Qamushul muhith).
Hidayah terbahagi menjadi empat jenis menurut Ibnul Qayyim.
Pertama, hidayah yang diberikan Allah SWT kepada semua makhluk. Firman-Nya, Nabi Musa berkata: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”[TMQ Taha (20): 50]
Hidayah ini terkait dengan kesinambungan dan kemaslahatan hidup dalam urusan-urusan dunia, seperti melakukan perkara-perkara yang bermanfaat dan menjauhi perkara-perkara yang membinasakan bag kesinambungan hidup di dunia.
Kedua, hidayah berupa penjelasan dan penerangan mengenai jalan yang baik dan buruk, serta jalan yang selamat dan jalan yang binasa.
Firman Allah SWT, “Adapun kaum Tsamud, mereka telah Kami beri petunjuk, tetapi mereka lebih menyukai kebutaan (kesesatan) daripada petunjuk.” [TMQ Fussilat(41): 17].
Maksudnya, Kami jelaskan dan tunjukkan kepada mereka jalan kebenaran, tetapi mereka tidak mahu mengikuti petunjuk.
Dalam perkara ini, jalan meraih hidayah adalah dengan melakukan aktiviti dakwah, menyeru manusia ke jalan Allah SWT dan menjelaskan kepada mereka jalan yang benar. Tidak lupa juga, pendakwah hendaklah mengingatkan tentang jalan yang salah. Akan tetapi, hidayah yang sempurna (taufik) hanya berada di tangan Allah SWT.
Ketiga, hidayah taufik, ilham (dalam hati manusia untuk mengikuti jalan yang benar) dan kelapangan dada untuk menerima kebenaran serta memilihnya. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya dan memberi hidayah (taufik) kepada siapa yang dikehendakiNya.” [ TMQ al-Fathir (35): 8]
Keempat, puncak hidayah iaitu hidayah kepada syurga dan neraka ketika penghuninya dibawa kepadanya. Firman Allah SWT, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kami ke (syurga) ini, dan kami tidak akan mendapat hidayah ke syurga kalau sekiranya Allah tidak menunjukkan kami.” [TMQ al-A’raaf (7): 43]
Dalam surah yang lain, “Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman-teman yang bersama mereka dan apa yang dahulu mereka sembah selain Allah, lalu tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka.” [TMQ as-Saffat(37): 22- 23]
Setelah mengetahui empat jenis hidayah, lalu apa penyebab terhalangnya manusia dari mendapat hidayah?
Pertama, sifat zalim. Zalim adalah kegelapan di akhirat dan di dunia. Seseorang akan terhalang dari hidayah kerana bersikap zalim terhadap dirinya sendiri dan orang lain, salah satunya iaitu perbuatan syirik.
Kedua, melakukan maksiat. Melakukan penyimpangan dari ketaatan kepada Allah SWT sehingga dia terhalang dari mendapat hidayah.
Ketiga, berkawan dengan orang-orang yang teruk. Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang itu bergantung kepada agama teman akrabnya. Oleh kerana itu, salah satu di antara kalian hendaknya memperhatikan siapa yang dia jadikan teman akrabnya.” [HR Abu Dawud dan at-Tirmidzi]
Di sinilah pentingnya memilih lingkungan rakan. Kita hendaklah mendekatkan diri kita dengan orang yang sentiasa mengingatkan kita tentang syariat Allah dan ajaran Rasul di mana ia adalah perkara utama yang perlu dilakukan.
Keempat, takut akan celaan manusia. Sukarnya seseorang mendapat hidayah boleh jadi kerana rasa khuatir serta ketakutan jikalau disisihkan oleh keluarga, masyarakat, dan sahabat sehingga menjadikannya tidak ingin kehilangan harga diri dan enggan mengakui kebenaran.
Kelima, sombong atau tinggi diri. Sombong ialah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain. Sifat ini menjadikan hati seseorang menjadi keras sehingga Allah SWT tidak menurunkan hidayah padanya. Semoga kelima-lima perkara di atas tidak terjadi pada kita. Kita mengharapkan Allah SWT memberikan hidayahNya agar kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang beruntung dan sentiasa berjalan di muka bumi dalam bimbingan Islam. Mudah-mudahan sehingga kita layak mendapatkan syurgaNya. Amin. Wallahul muwafiq.