[Tokoh Inspirasi] Abu Ubaid al-Qasim bin Sallam dan Karya Hebat untuk Ekonomi Dunia
Bernama lengkap Abu Ubaid al-Qasim bin Sallam bin bin Abdillah al-Adib al-Faqih al-Muhaddis. Beliau memiliki banyak karya dalam bidang qiraat, fiqh, bahasa, dan syair. Menurut Adz-Dzahabi, beliau lahir pada tahun 157 Hijriah.
Abu Ubaid lahir di daerah Hirah, Khurasan, sebelah barat laut Afghanistan. Ayahnya seorang pemimpin hamba bagi keluarganya. Nama Sallam diambil dari nama ayahnya yang berasal dari Romawi. Dia merupakan imam yang memiliki pendirian yang kukuh, rajin dalam urusan agama, dan berwibawa. Abu Ubaid menguasai berbagai disiplin ilmu, seperti Al-Quran, fiqh, sejarah, bahasa Arab, dan hadis.
Pujian para Ulama
Ibnu Sa’ad berkata, “Abu Ubaid adalah seorang sasterawan yang menguasai ilmu nahu dan bahasa Arab. Di samping itu, dia juga mendalami hadis dan fiqh. Dia menjawat jawatan hakim daerah Thursus pada masa pemerintahan Tsabit bin Nashr bin Malik dan anaknya. Ketika di Baghdad, dia menafsirkan hadis yang gharib, menelurkan berbagai karya kitab dan banyak manusia yang berguru dengannya. Dia berhaji dan meninggal dunia di Mekah pada tahun 224 Hijriah.”
Ibrahim Al-Harbi berkata, “Aku telah menjumpai tiga orang yang tidak ada orang lain dapat menyamainya untuk selamanya dan perempuan tidak akan mampu melahirkan anak seperti mereka. Mereka itu adalah; Abu Ubaid bin Al-Qasim bin Sallam yang aku umpamakan seperti gunung yang diberi roh; Basyar bin Al-Harits, yang aku ibaratkan dari kepala sampai hujung kakinya seolah penuh dengan akal; dan Ahmad bin Hanbal yang seolah Allah telah mengumpulkan ilmu-ilmu para ulama terdahulu kepadanya. Dari masing-masing mereka ini telah menelurkan karya.”
Abu Ubaid merupakan seorang muhaddis (ahli hadis) dan fuqaha yang legenda. Saat beliau menjadi qadhi di daerah Thursus, prestasinya sangat baik. Hal ini dibuktikan dari kemampuannya menangani masalah pertanahan dan perpajakan yang rumit. Dia juga seorang penterjemah bahasa Persia ke bahasa Arab dalam kajian terjemahan kitab-kitab.
Atas kefaqihannya dalam ilmu hadis, Hilal bin Al-‘Ala’ Ar-Raqqi pernah berkata, “Allah telah menganugerahkan kepada umat ini empat orang yang sesuai dengan zamannya masing-masing.” (1) Dengan Imam Asy-Syafie tentang hadis Rasulullah SAW. (2) Dengan Imam Ahmad yang tegar menghadapi ujian. Kalau tidak dengan ketabahan Imam Ahmad bin Hanbal itu, maka banyak orang akan menjadi kufur. (3) Dengan Yahya bin Ma’in yang membebaskan hadis Nabi dari para pendusta. (4) Dengan Abu Ubaid, yang memberikan tafsir pada lafaz-lafaz hadis yang gharib. Jika Abu Ubaid tidak melakukan hal tersebut, maka banyak manusia akan terperosok dalam pemahaman yang salah terhadap hadis.”
Kisahnya dengan Amir (Penguasa) Khurasan
Dikutip Al-Khathib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan yang lain, bahawasanya ketika Thahir bin Al-Husain akan pergi ke Khurasan, dia singgah dahulu di Moro. Kemudian dia mencari seseorang yang sekiranya dapat diajak berbincang menghabiskan sisa masa di malam itu. Disampaikan kepadanya, “Di sini tidak ada ulama kecuali hanya ada seorang sasterawan.”
Lalu mereka menghadirkan Abu Ubaid. Setelah berbincang-bincang, akhirnya Ibnu Al-Husain mengetahui bahawa Abu Ubaid adalah seorang yang pandai dalam bidang sejarah, nahu, fiqh, dan bahasa. Kemudian Thahir berkata, “Sebuah kezaliman meninggalkanmu di tempat terpencil seperti ini.” Lalu dia memberi seribu dinar kepada Abu Ubaid sembari berkata, “Sekarang ini aku akan pergi ke medan perang. Aku tidak ingin kamu menemaniku kerana sayang kalau terjadi apa-apa terhadapmu. Gunakanlah wang ini untuk mencukupi keperluanmu sehingga aku datang kembali menemuimu.”
Kemudian Abu Ubaid menulis kitab Gharib al-Mushannaf. Setelah Thahir bin Al-Husain kembali dari Khurasan, lalu dia mengajak Abu Ubaid untuk tinggal menetap di daerah Surra Man Ra’a.
Abu Ubaid adalah seorang yang tsiqah, taat beragama, warak, dan berjiwa besar. Tatkala Abu Ubaid menyelesaikan kitab yang ditulisnya, dia memberikannya kepada keturunan Thahir. Mereka pun memberinya wang dalam jumlah yang besar. Ketika Abu Ubaid menyelesaikan kitab Gharib Al-Hadis, maka dia menunjukkan kitab itu kepada Abdullah bin Thahir, dimana Abdullah menganggap kitab itu adalah kitab yang sangat baik.
Lalu Abdullah berkata, “Kalau akal kita mengantarkan untuk membuat kitab karya seperti ini, maka pelakunya tidak perlu bekerja untuk memenuhi keperluan hidupnya.” Kemudian Abdullah memberikan tunjangan sepuluh ribu dirham setiap bulan kepada Abu Ubaid.
Abu Ubaid berkata, “Kehidupanku sekarang ini dipenuhi oleh seseorang yang dia tidak mengambil sesuatu pun dariku, oleh kerana itu, aku tidak memerlukan bantuan dari seseorang selainnya.” Ketika Ibnu Thahir kembali, maka wang itu disampaikan kepadanya lagi, Abu Ubaid berkata, “Wahai Amir, sebenarnya aku telah menerima wang ini. Tetapi berkat kedermawanan dan kemurahanmu yang telah mencukupi semua keperluanku sehingga aku tidak memerlukan wang ini lagi. Maka, wang tiga puluh ribu dinar ini akan aku belikan senjata dan kuda untuk dikirim ke pelabuhan, supaya Amir mendapatkan kebaikan yang melimpah.” Akhirnya dia menggunakan wang itu.
Karya Hebat
Ibnu Darastuwiyah berkata, “Karya terbaik Abu Ubaid Al-Qasim bin Sallam dalam bidang sastera adalah kitab Al-Gharib. Kitab ini setara dengan karya An-Nadhdhar bin Syumail yang diberi nama Ash-Shifat yang dimulai dari bab penciptaan manusia, penciptaan kuda, lalu penciptaan unta.”
Di antara karya Abu Ubaid adalah kitab Gharib Al-Hadis yang hadisnya disebutkan dengan sanadnya sehingga banyak ulama yang menyukainya. Begitu juga kitab Ma’ani Al-Quran, yang belum siap sepenuhnya, kerana dia meninggal dunia terlebih dahulu.
Dalam bidang fiqh, Abu Ubaid memiliki karya hebat dan sumbangannya sangat besar dalam menggambarkan sistem ekonomi Islam untuk dunia, iaitu Al-Amwal. Kitab yang pembahasannya lebih luas berbanding kitab Al-Kharaj karya Abu Yusuf.
Kitab Al-Amwal fokus membahas terkait dengan masalah kewangan publik. Kitab Al-Amwal merupakan karya tentang ekonomi yang dibuat Abu Ubaid. Kitab ini menjelaskan praktik pengelolaan kewangan negara yang dilakukan Rasulullah hingga masa para sahabat, terutama masa Khalifah Umar bin Khattab RA. dan Umar bin Abdul Aziz dalam membangun sistem perekonomian Islam yang memberi kemaslahatan sosial.
Begitulah sosok ulama tabiin yang terdidik dengan baik dalam lingkungan sistem Islam. Mereka menelurkan karya hebat dan memberi manfaat bagi umat di zaman ini. Semoga akan ada lagi ulama-ulama besar seperti Abu Ubaid di masa ini bersama hadirnya sistem Khilafah yang mampu mencetak para alim, ilmuwan, dan ulama cerdas dengan karya-karya terbaik bagi peradaban Islam di masa hadapan. Insyaallah.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/11/02/13700/
#tokohinspirasi #ilmuwanislam #tokohislam