[Nafsiyah] Tempat di Antara Neraka dan Syurga (Qantharah)
Sebagai muslim, sudah tentu kita mengimani peristiwa yang terjadi di Yaumul Akhir (Hari Akhirat). Meyakini adanya sirat (titian), di mana manusia akan berjalan di atasnya dengan pelbagai cara mengikut amalan mereka semasa hidup di dunia.
Saudariku, setelah orang-orang beriman berjaya melepasi sirat, mereka akan sampai di suatu tempat yang disebut Qantharah, tempat yang terletak setelah sirat sebelum syurga. Qantharah adalah tempat terakhir yang dilalui manusia, berupa jambatan yang menghubungkan mereka ke syurga. Qantharah merupakan jambatan berasingan yang terpisah dari sirat.
Tempat-tempat di hari kiamat yang akan dilalui manusia ialah Padang Mahsyar, Mizan, Sirat dan Qantharah. Para ulama menyebutnya, “Mawaqif Yaumil Qiyamah (tempat-tempat di Hari Kiamat).”
Rasulullah SAW. bersabda, “Setelah orang-orang beriman berjaya selamat dari neraka, mereka akan ditahan di Qantharah yang terletak antara syurga dan neraka…” (HR Bukhari)
Allah SWT. akan menegakkan qisas di Qantharah. Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra., Rasulullah bersabda, “Setelah orang-orang beriman diselamatkan dari neraka (selamat melepasi sirat), mereka ditahan di Qantharah yang berada di antara syurga dan neraka. Ditegakkan qisas di antara mereka akibat kezaliman yang berlaku di antara mereka semasa di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan, mereka pun dibenarkan masuk ke dalam syurga. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya mereka lebih mengetahui tempat mereka di syurga daripada tempat mereka ketika di dunia.” (HR Bukhari)
Di Qantharah, qisas berlaku untuk menghilangkan rasa dendam, hasad, dan rasa dengki di antara orang-orang yang beriman. Apabila telah bersih, mereka akan masuk ke dalam syurga. Firman Allah SWT., “Dan Kami hilangkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sehingga mereka merasakan bahawa mereka adalah bersaudara yang duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.” [TMQ Al-Hijr (15): 47]
Ibnu Taimiyah Rahimahullah berkata, “Jika mereka telah melepasi sirat, mereka berhenti di Qantharah yang berada di antara syurga dan neraka. Sebahagian mereka juga diqisas kepada sebahagian yang lain. Ketika telah dibersihkan dan dibebaskan, mereka pun dibenarkan untuk masuk ke dalam syurga.” (Majmu’ Fataawa, 3/147)
Qisas di Qantharah hanya berlaku di antara orang beriman (setelah mereka selamat melepasi sirat) untuk menyucikan hati mereka sebelum masuk ke dalam syurga.
Oleh itu saudariku, janganlah kita memandang ringan segala dosa. Sama ada dosa besar atau dosa kecil. Al-Ghazali Rahimahullah mengatakan, “Di antara sebab dosa kecil menjadi besar adalah seorang hamba memandang remeh dosa tersebut dan tidak bersedih kerana dosa (yang pernah dia lakukan).” (Al-Arba’in fii Ushuulid Diin, hlm. 226)
Boleh dibayangkan, berjalannya manusia di atas jalan sirat mesti dilalui dengan penuh berhati-hati. Jika tergelincir dan masuk ke dalam neraka itu kerana dosa-dosa semasa di dunia. Dengan demikian, kita hendaklah sentiasa bertaubat dan memperbaharui niat. Allah tidak akan mencela orang yang berdosa selagi dia mahu bertaubat kepada-Nya.
Sebenarnya kita akan menyibukkan diri untuk terus beramal soleh. Meraih pahala dari sisi Rabb kita sebanyak mungkin. Salah satu aktiviti yang dijanjikan pahala yang besar dan dibalas syurga tempat para nabi dan rasul ialah melakukan aktiviti dakwah.
Firman-Nya, “Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya akan dibawa ke syurga secara berkelompok. Sehingga apabila mereka sampai kepadanya (syurga) dan pintu-pintunya telah dibuka, penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, “Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, berbahagialah kamu!” [TMQ Az -Zumar (39): 73]
Sewajarnya setiap muslim berusaha mengajak muslim yang lain untuk beramal soleh dengan berdakwah agar dapat bersama-sama masuk ke ke dalam syurga Allah yang penuh kenikmatan. Semoga Allah SWT. menyelamatkan kita semasa berjalan di atas jalan sirat dan akhirnya dapat berada di Qantharah seterusnya masuk ke dalam syurga.
Hal ini adalah sesuatu yang sangat kita inginkan, kerana kehidupan setelah dunia ialah kekal selama-lamanya. Kita tidak mahu kekal berada di neraka, melainkan kekal hidup bahagia dengan merasai pelbagai kenikmatan syurga. Wallahul muwafiq.
Sumber:
#Nafsiyah #Qantharah #amalsoleh #hariakhirat