[Soal Jawab] Bagaimanakah Cara untuk Membuktikan Cinta kepada Nabi SAW. Pada Masa Ini?
Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Bagaimanakah cara untuk membuktikan cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW. pada masa ini? Sebaliknya, bagaimana membuktikan seseorang tidak layak menyatakan dirinya mencintai Nabi SAW.?
Jawapan:
Perbincangan ini sebenarnya telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh Al-Qadhi Iyadh dalam kitabnya, Asy-Syifaa bi Ta’riifi Huquuq al-Musthafaa, khususnya di bahagian kedua. Beliau menyebut, ada hak-hak yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW. ke atas umatnya yang mesti dipenuhi.
Pertama, wajib beriman kepada Nabi SAW. dan syariat yang dibawa oleh beliau. Hukumnya fardhu ain. Tidak sempurna iman dan keislaman seseorang, kecuali dengan beriman kepada baginda.
Allah SWT. berfirman,
قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُمۡ جَمِيعًا ٱلَّذِي لَهُۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ يُحۡيِۦ وَيُمِيتُۖ فَئَامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِ ٱلنَّبِيِّ ٱلۡأُمِّيِّ ٱلَّذِي يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَكَلِمَٰتِهِۦ وَٱتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٥٨
“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai manusia, sesungguhnya aku ini utusan Allah bagi kalian semua. Dialah Tuhan Yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan selain Dia. Yang menghidupkan dan mematikan. Kerana itu berimanlah kalian kepada Allah dan Rasul-Nya, (iaitu) nabi yang ummi (tidak pandai membaca dan menulis) yang beriman kepada Allah dan kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya). Ikutilah dia agar kalian mendapat petunjuk.” [TMQ Al-A’raf (7): 158].
Bukan hanya mengimani kenabian dan kerasulan beliau, tetapi juga risalah yang dibawa oleh baginda. Al-Qadhi Iyadh menyatakan,
وَالإِيْمَانُ بِهِ صلى الله عليه وسلم هُوَ تَصْدِيْقُ نُبُوَّتِهِ، وَرِسَالَةِ اللهِ لَهُ، وَتَصْدِيْقُهُ فِي جَمِيْعِ مَا جَاءَ بِهِ وَمَا قَالَهُ، وَمُطَابَقَة تَصْدِيْقِ الْقَلْبِ شَهَادَةَ اللِّسَانِ بِأَنَّهُ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم فَإِذَا اجْتَمَعَ التَّصْدِيْقُ بِهِ بِالْقَلْبِ، وَالنُّطْقُ بِالشَّهَادَة بِذَلِكَ اللِّسَانِ تَمَّ الإِيْمَانُ بِهِ وَالتَّصْدِيْقُ لَه
“Mengimani Rasulullah SAW. adalah dengan membenarkan kenabian dan risalah yang Allah turunkan kepada beliau. Membenarkan beliau dalam seluruh perkara yang dibawa dan disampaikan oleh beliau. Sesuai antara pembenaran hatinya dan kesaksian lisannya, bahawa beliau ialah Rasulullah SAW.. Jika pembenaran kepada beliau dengan hati ini bertemu dengan cara kesaksian dengan lisan, maka iman dan pembenaran kepada beliau itu telah sempurna.”[1]
Kedua, wajib mentaati Nabi SAW. dan mentaati semua syariat (risalah) yang dibawa oleh baginda tanpa terkecuali. Syariat Nabi SAW. itu meliputi seluruh aspek kehidupan, bermula daripada akidah, ibadah (solat, puasa, zakat, haji, dan jihad), muamalah (sistem pemerintahan (Khilafah) , ekonomi, sosial, dan pendidikan), hudud dan jinayah (sanksi hukum) dan jihad (termasuk politik luar negeri).
Allah SWT. berfirman,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَوَلَّوۡاْ عَنۡهُ وَأَنتُمۡ تَسۡمَعُونَ ٢٠
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kalian berpaling dari-Nya, padahal kalian mendengar (perintah dan larangan-Nya).” [TMQ Al-Anfal (8): 20].
وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧
“Apa sahaja yang Rasul bawa kepada kalian, ambillah. Apa sahaja yang dia larang atas kalian, tinggalkanlah. Bertakwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” [TMQ Al-Hasyr (59): 7]
Ketiga, wajib mengikuti Nabi SAW., melaksanakan perintah dan meneladani sunnah (tuntunan) baginda.
Allah SWT. berfirman,
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣١
“Katakanlah (Muhammad), ‘Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Ali Imran (3): 31]
Ittibaa’ kepada Nabi SAW. menurut Imam Al-Amidi, wajib memenuhi tiga syarat: (1) An Taf’ala Mitsla Fi’lihi (Kamu melakukan seperti mana baginda lakukan); (2) ‘Ala Wajhihi (Dalam sifat yang sama sebagaimana sifat beliau; (3) Min Ajli Fi’lihi (Mempunyai tujuan yang sama).
Alasannya, kerana tidak disebut ittibaa’ jika bentuk perbuatannya berbeza. Satu duduk, satu berdiri. Oleh itu, kedua-duanya mesti sama.
Begitu juga apabila bentuknya sama, tetapi tujuan dan niatnya berbeza. Misalnya, satu yang wajib sementara yang lain sunat walaupun bentuknya sama.
Hal yang sama juga apabila bentuk dan sifatnya sama tetapi konteksnya berbeza. Misalnya, solat Zuhur dan puasa Ramadhan. Sama-sama wajib tetapi berbeza konteks. Walaupun kedua-duanya menjalankan kewajipan, namun konteks yang satu dengan yang lain berbeza, maka tidak boleh disebut ittibaa’. Oleh itu, ittibaa’ mestilah memenuhi tiga syarat di atas.[2]
Jika ketiga-tiga syarat ini dipenuhi, ittibaa’ kepada Nabi SAW. akan dianggap sempurna. Jika tidak, maka ia tidak dinamakan ittibaa’. Nabi SAW. mendirikan negara yang menjalankan syariat Islam, mendirikan parti politik, dan membina sahabat sebagai negarawan. Semuanya merupakan bentuk (mitsla fi’lihi). Hukumnya wajib kerana dilakukan secara berterusan walaupun ujian dan tentangan luar biasa (‘ala wajihi).[3]
Bilakah Nabi SAW. melakukan tatsqif (pembinaan/pengkaderan), tafa’ul (interaksi dalam masyarakat), dan thalab an-nusrah [mencari sokongan]? Semuanya adalah sebahagian daripada Min ajlihi. Dilakukan sama seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW..
Sebaliknya, mengingkari perintah dan sunnahnya merupakan kesesatan, perbuatan maksiat dan dosa.
Allah SWT. berfirman,
فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ٦٣
“Hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul-Nya takut akan mendapat cubaan atau ditimpa azab yang pedih.” [TMQ An-Nur (24): 63]
Keempat, hendaklah sentiasa mencintai baginda.
Allah SWT. berfirman,
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah (Muhammad), ‘Jika bapa-bapa kalian, anak-anak kalian, saudara-saudara kalian, pasangan-pasangan kalian, keluarga kalian, harta kekayaan yang kalian usahakan dan perniagaan yang kalian khuatirkan kerugiannya, serta tempat tinggal yang kalian sukai lebih kalian cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan (azab)-Nya.’ Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” [TMQ At-Taubah (9): 24]
Ciri-ciri orang yang mencintai Nabi SAW. ialah:
1. Sering menyebut dan mendoakan baginda;
2. Rindu sekali ingin berjumpa dengan Nabi SAW;
3. Mengagungkan, bersikap hormat ketika ingat kepada Nabi SAW., menampakkan kekhusyukan dan hati bergetar, bahkan menangis apabila mendengar nama baginda disebut;
4. Mencintai sesiapa sahaja yang dicintai Nabi SAW., seperti keluarga, sahabat Ansar dan Muhajirin. Memusuhi sesiapa sahaja yang memusuhi mereka. Membenci sesiapa sahaja yang membenci mereka. Sebabnya, sesiapa saja yang mencintai sesuatu, maka dia pasti akan mencintai sesiapa sahaja yang dia cintai.
5. Mencintai Al-Quran yang dibawa oleh baginda. Sesiapa sahaja yang mencari petunjuk dengan petunjuknya, pasti mendapat petunjuk. Termasuk berakhlak dengan akhlak beliau. Mencintai Al-Quran bererti membaca, mencintai, memahami, mengamalkan isinya, dan menegakkan hukum-hukumnya.
Mencintai dan mengasihi umat baginda, memberi nasihat kepada mereka, memperjuangkan kemaslahatan mereka, menghilangkan pelbagai bahaya dan mudarat yang menimpa mereka; sebagaimana sifat Nabi SAW. yang pengasih dan lemah lembut kepada mereka.[4]
Kelima, hendaklah sentiasa “memberi nasihat” kepada baginda, para penguasa dan umat Islam umumnya.
Memberi nasihat kepada Nabi SAW., menurut Abu Sulaiman seperti dalam hadis maksudnya, adalah membenarkan kenabian baginda; mengerahkan segala kuasa dan usaha untuk mentaati beliau; mentaati apa sahaja yang diperintahkan dan dilarang oleh beliau.
Menurut Abu Bakar, ia juga boleh dimaksudkan sebagai menolong dan menyokong baginda, baik ketika masih hidup mahupun setelah wafat. Menghidupkan dan menyebarkan sunnah Rasulullah SAW. serta berakhlak dengan akhlak beliau. Menurut Abu Ibrahim Ishaq at-Tujibi, ia termasuk mendakwahkan dan mengamalkannya.[5]
Adapun memberikan nasihat kepada para penguasa adalah mentaati mereka apabila mereka taat dan menyeru mereka supaya taat ketika mereka bermaksiat. Mengingatkan mereka ketika mereka lalai dan apabila ada urusan umat Islam yang tidak nampak oleh mereka.[6]
Adapun memberi nasihat kepada umat Islam secara umum, dengan menunjukkan kemaslahatan mereka, membantu mereka dalam urusan agama dan dunia mereka, dengan perkataan dan perbuatan. Mengingatkan kelalaian mereka. Mendidik orang-orang bodoh di kalangan mereka. Menutup aib mereka. Mencegah mudarat yang akan menimpa mereka serta mencari kemaslahatan untuk mereka.[7] Inilah dalam bahasa Al-‘Allamah al-Qadhi Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani disebut “Tabanni Mashalih al-Ummah”.
Keenam: Menghormati baginda SAW., keluarga, keturunan dan Ummahat al-Mukminin. Ia juga sebahagian daripada kewajipan umat Islam hari ini terhadap Rasulullah SAW..[8]
Ketujuh: Menghormati baginda dan para sahabat beliau. Ia juga sebahagian daripada kewajipan umat Islam hari ini kepada Rasulullah SAW..[9]
Oleh itu, sesiapa sahaja yang mengaku sebagai umat baginda, tetapi tidak memenuhi hak-hak beliau dan tidak mencintai beliau, dengan bukti-bukti yang telah dijelaskan oleh al-‘Allamah al-Qadhi ‘Iyadh di atas, maka tidak layak disebut sebagai umat beliau dan mendakwa cinta kepada baginda.
Bahkan, ada yang telah membawa mereka keluar dari agamanya, seperti ketika menolak syariat beliau, menghina beliau dan sebagainya. Mereka bukan sahaja tidak layak disebut mencintai Nabi, tetapi sudah tidak layak disebut umat baginda dan dianggap keluar dari agama.
Nota kaki:
1 Al-‘Allamah al-Qadhi Abu al-Fadhal ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahshabi, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, Dar al-Haqdits, Qahirah, cetakan I, 2004 M/1425 H, hlm. 260.
2 Al-‘Allamah Saifuddin al-Amidi, al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam, al-Maktab al-Islami, Beirut, cetakan II, 1402 H, Juz I/hlm. 172.
3 Apa indikasinya bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi itu hukumnya wajib? Jawapannya, salah satunya, adanya “Qarinah Masyaqqah”, iaitu ketika Nabi tetap konsisten melakukannya, walaupun ditentang, dimusuhi, bahkan hendak dibunuh. Itu merupakan indikasi yang membuktikan bahawa perbuatan tersebut wajib dilaksanakan. Contohnya, seperti kegiatan Tafa’ul dan Thalab an-Nusrah untuk mendirikan Negara Islam di Madinah. Ujiannya luar biasa. Indikasi lain, adalah “Qarinah Mudawamah”, ertinya perbuatan itu dilakukan berterusan tanpa henti, seperti aktiviti Nabi melakukan aktiviti pembinaan, mulai dari awal, di Mekah, dari fasa Tatsqif dan Tafa’ul, sehingga di Madinah, semasa fasa Tathbiq al-Ahkam. Apa yang dilakukan secara berterusan membuktikan, bahawa aktiviti itu hukumnya wajib.
4 Al-‘Allamah al-Qadhi Abu al-Fadhal ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahshabi, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, Dar al-Haqdits, Qahirah, cetakan I, 2004 M/1425 H, hlm. 277—279.
5 Al-‘Allamah al-Qadhi Abu al-Fadhal ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahshabi, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, Dar al-Haqdits, Qahirah, cetakan I, 2004 M/1425 H, hlm. 283.
6 Al-‘Allamah al-Qadhi Abu al-Fadhal ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahshabi, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, Dar al-Haqdits, Qahirah, cetakan I, 2004 M/1425 H, hlm. 283.
7 Al-‘Allamah al-Qadhi Abu al-Fadhal ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahshabi, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, Dar al-Haqdits, Qahirah, cetakan I, 2004 M/1425 H, hlm. 283.
8 Al-‘Allamah al-Qadhi Abu al-Fadhal ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahshabi, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, Dar al-Haqdits, Qahirah, cetakan I, 2004 M/1425 H, hlm. 292—295.
9 Al-‘Allamah al-Qadhi Abu al-Fadhal ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahshabi, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, Dar al-Haqdits, Qahirah, cetakan I, 2004 M/1425 H, hlm. 296—299.
#SoalJawab
#CaraMencintaiNabiSaw
#BuktiCintaNabi
#TaatKepadaAllahSWT
#MengikutSunnahNabiSaw