[Nafsiyah] Ketika Syaitan Memfitnah Syaitan
Penulis: M. Taufik N. T
Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya menceritakan bagaimana kegigihan syaitan dalam menggoda keluarga Nabi Ibrahim AS supaya tidak menjalankan perintah Allah SWT untuk menyembelih puteranya sendiri iaitu Nabi Ismail AS.
Syaitan yang menyerupai seorang lelaki telah mendatangi Hajar iaitu ibu Ismail AS lalu berkata:
أَتَدْرِينَ أَيْنَ يَذْهَبُ إِبْرَاهِيمُ بِابْنِكِ
“Adakah kau tahu ke mana Ibrahim pergi bersama puteramu?”
Jawab Hajar: “Laa (Tidak!)”
Syaitan berkata:
إِنَّهُ يَذْهَبُ بِهِ لِيَذْبَحَهُ
“Dia pergi hendak menyembelih puteramu.”
Hajar menjawab:
كَلَّا هُوَ أَرْأَفُ بِهِ مِنْ ذَلِكَ
“Tidak mungkin, dia sangat sayang akan puteranya.”
Syaitan berkata:
إِنَّهُ يَزْعُمُ أَنَّ رَبَّهُ أَمَرَهُ بِذَلِكَ
“Dia menyangka Tuhannya memerintahkan hal tersebut.”
Hajar menjawab:
فَإِنْ كَانَ رَبُّهُ قَدْ أَمَرَهُ بِذٰلِكَ، فَقَدْ أَحْسَن أَنْ يُطِيْعَ رَبَّهُ
“Jika memang Tuhannya memerintahkan demikian, maka yang paling baik bagi Ibrahim adalah mentaatinya.”
Kemudian Syaitan mendatangi Nabi Ismail AS dan berkata:
أَتَدْرِي أَيْنَ يَذْهَبُ بِكَ أَبُوكَ؟
“Apakah engkau tahu ke mana ayahmu akan membawamu pergi?”
Ismail menjawab, ”Laa. (Tidak!)”
Syaitan berkata:
فَإِنَّهُ يَذْهَبُ بِكَ لِيَذْبَحَكَ
“Dia pergi bersamamu untuk menyembelih dirimu.”
Ismail: “Wa lima? (Kenapa?)”
Syaitan berkata:
زَعَمَ أَنَّ رَبَّهُ أَمَرَهُ بِذَلِكَ.
“Dia menyangka Tuhannya memerintahkan demikian.”
Ismail menjawab:
فَلْيَفْعَلْ مَا أَمَرَهُ اللّٰهُ بِهِ، سَمْعًا وَطَاعَةً لِأَمْرِ اللّٰهِ
“(kalau benar itu perintah Tuhan) maka hendaklah dia mengerjakan apa yang diperintahkan Allah SWT iaitu mendengar dan taat kepada perintah Allah SWT.”
Setelah gagal dua kali akhirnya Syaitan mendatangi Ibrahim dan berkata:
أَيْنَ تُرِيدُ؟ وَاللّٰهِ إِنِّي لَأَظُنُّ أَنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ جَاءَكَ فِي مَنَامِكَ، فَأَمَرَكَ بِذَبْحِ ابْنِكَ.
“Ke mana kau hendak pergi? Demi Allah aku yakin bahawa Syaitan telah datang dalam mimpimu kemudian memerintahmu untuk menyembelih puteramu.”
Namun Nabi Ibrahim AS tahu bahawa lelaki tersebut adalah Syaitan, kemudian beliau mengusirnya. [Al-Jâmi’ li Ahkâmil Qur’an, 15/105-106]
Keluarga Nabi Ibrahim memberi teladan kepada kita bahawa ketika perintah dan hukum Allah SWT datang pada bila-bila masa atau dimana jua maka dalam keadaan apa pun kita wajib berkorban untuk menjalankannya walaupun nyawa menjadi taruhan.
Kisah tersebut juga memberi pengajaran bahawa syaitan baik daripada kalangan jin mahupun manusia akan senantiasa berusaha menghalangi manusia dari ketaatan kepada Allah SWT.
Syaitan tidak segan silu dalam menggunakan identiti palsu (iaitu menyerupai manusia) untuk meraih tujuannya serta tidak malu dalam bersumpah atas nama Allah SWT sebagaimana dia katakan: “Wallaahi (demi Allah).”
Juga tidak malu dalam menyebar fitnah bahkan fitnah kepada dirinya sendiri sebagaimana perkataan syaitan, “Inni la-adzunnu annas-syaithaana qad jaa-aka fii manaamika fa-amara bidzab-hi ibnika. (Aku yakin bahawa syaitan datang dalam mimpimu kemudian memerintahmu untuk menyembelih puteramu).”
Pada masa kini syaitan dari jenis jin sudah boleh “berehat seketika”[1] kerana tidak perlu lagi dia mengubah rupa menjadi manusia disebabkan kebanyakan manusia secara sukarela menggantikan peranan syaitan dengan sangat baik.
Andai kata perintah kepada Nabi Ibrahim itu datang pada masa sekarang kemungkinan besar akan ada ramai tokoh, pembela hak asasi manusia, aktivis media sosial mahupun TV yang akan menggantikan kedudukan syaitan tersebut untuk menghalangi Ibrahim dari menyembelih Ismail.
Tidak ketinggalan sebahagian “ulama” pun akan melakukan hal yang sama dengan mencari dalil, dalih, dan kaedah agar Ibrahim tidak melaksanakan perintah Tuhannya.
Kaedah dar-ul mafâsid muqaddamun ‘ala jalbil mashâlih ‘menolak bahaya (menyembelih Ismail) perlu didahulukan daripada meraih kemaslahatan terutama dengan menyembelih Ismail tiada faedah yang diperoleh, iaitu tidak akan menurunkan harga barang, tidak akan menguatkan nilai tukaran mata wang dan kaedah ini tentu akan popular di televisyen.
Jika semuanya gagal, mereka masih boleh menawarkan banyak kebaikan, “Perintah Allah SWT ada banyak, tidak perlu dilaksanakan semuanya tetapi ambil yang senang sahaja,” atau, “Betul perintah Allah SWT itu bagus, tetapi perintah ini tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan adat di sini.” Cadangan yang baik pun akan bersusun menunggu persetujuan, semua dengan satu tujuan utama iaitu agar Ibrahim tidak melaksanakan perintah Tuhannya.
Al Hasan bin Shalih rahimahullah berkata,
إن الشَّيْطَان ليفتح للعبد تسعة وتسعين بابا من الخير يريد به بابا من الشر
“Sesungguhnya syaitan boleh membukakan 99 pintu kebajikan untuk menuju 1 pintu keburukan yang dia inginkan.” [al Muntaqa an Nafis min Talbis Iblis, hal 63].
Jika semuanya gagal, boleh jadi Ibrahim akan teraniaya atau dimasukkan ke penjara sebelum sempat dia mengajak Ismail pergi.
Wallahu’alam.
[1] ‘Hebatnya’, Syaitan itu walau sudah ‘berjaya’, dia tidak pernah puas, tidak pernah beristirehat menggoda manusia, bahkan berusaha agar kawan-kawannya dari kalangan manusia tetap teguh meniti jalan syaitan tersebut.