[Nafsiyah] Pemandangan-Pemandangan Akhirat
Ketika solat Subuh hari ini, sang Imam membaca surah Al-A’raaf ayat 44-51.
Ayat-ayat di atas menceritakan beberapa gambaran yang diberitakan oleh Allah tentang keadaan pada hari kiamat nanti. Ada penghuni jannah yang menyeru penduduk neraka, ada Ashabul A’raaf yang menyapa penghuni jannah dan mengucapkan selamat kepada mereka kerana sudah berada di tempat yang penuh kenikmatan. Terakhir, ada permintaan penduduk neraka kepada penghuni jannah.
Semua gambaran di atas wajib kita imani kerana Allah sendiri yang menceritakannya dalam Al-Quran sekalipun akal kita ‘belum’ dapat mencerna ‘kaifiyah’ (tatacara) dialog antara mereka. Namun, kita mengimani bahawa kelak dialog antara mereka akan benar-benar terjadi.
Pertama sekali, ayat 44-45 menceritakan tentang seruan penghuni jannah kepada penduduk neraka iaitu, ‘Apakah janji Rabb mereka itu benar?’ Dan penduduk neraka menjawab, ‘benar’. Kemudian ada malaikat yang menegaskan bahawa laknat Allah bagi orang-orang yang zalim (para penduduk neraka).
Kemudian, ayat 46-49 menceritakan bahawa Ashabul A’raaf –yang menurut sebahagian pendapat, mereka adalah orang yang seimbang kebaikan dan keburukannya. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini– berada di antara syurga dan neraka. Mereka dapat melihat syurga dan juga neraka. Ketika mengenal penghuni jannah, mereka memberikan ucapan selamat dan ketika melihat penduduk neraka mereka berdoa agar tidak dikumpulkan bersama orang-orang yang zalim.
Dari kisah Ashabul A’raaf ini memberikan kita pengajaran secara halus iaitu bahawa ketika di akhirat pun kita tetap menghajatkan sikap berharap dan rasa takut. Kedua-dua sikap ini dimiliki oleh Ashabul A’raaf.
Sikap berharap yang ditunjukkan oleh Ashabul A’raaf terlihat pada ayat, لم يدخلوها وهم يطمعون. Mereka ada harapan yang besar untuk memasuki jannah sekalipun mereka belum dapat memasukinya. Mereka sangat berharap agar dapat masuk ke dalam syurga kerana penduduknya mendapatkan semua jenis kenikmatan yang tidak dapat digambarkan.
Seterusnya, rasa takut Ashabul A’raaf ditunjukkan dalam ayat ربنا لا تجعلنا مع القوم الظالمين. Ini adalah permintaan mereka kepada Allah agar tidak dikumpulkan bersama kaum yang zalim serta orang-orang kafir yang menjadi penghuni neraka. Mereka takut jika dikumpulkan bersama penghuni neraka kerana besarnya seksaan yang dialami oleh mereka dan yang terakhir adalah gambaran yang paling membuatkan kita meremang ketakutan iaitu tentang permintaan penduduk neraka kepada penghuni jannah. Mereka merintih agar diberikan belas kasihan.
أن أفيضوا علينا من الماء أو مما رزقكم الله
“Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu” [TMQ Al-A’raaf (7): 50]
Subhanallah! Lihatlah betapa berdukanya penduduk neraka –wal ‘iyadzu billah, wanas’alullahal ‘afiyah–. Mereka meminta agar diberi minum kerana minuman mereka di neraka adalah hakim, air panas mendidih yang jika diminum akan memotong usus-usus mereka.
Dan penduduk neraka juga meminta untuk diberi makanan kerana makanan mereka adalah zaqqum, sebuah pohon yang mengakibatkan penderitaan luar biasa bagi orang yang memakannya.
Minuman dan makanan penduduk neraka ini sememangnya bukan minuman dan makanan yang biasa. Ia adalah minuman dan makanan yang menyeksa, yang tidak akan menghilangkan rasa lapar dan dahaga.
Ketika membaca ayat ini, Abdullah bin Umar bin Khattab RA. menangis ketika hendak berbuka kerana teringat bahawa permintaan penghuni neraka adalah seteguk air minum dan secuil makanan.
Maka, sesekali ketika kita hendak berbuka, kenangkan permintaan penduduk neraka ini. Hayati dan renungkan kemudian bersyukurlah dengan nikmat iman yang Allah berikan. Kemudian, istiqamahlah!
Permintaan penduduk neraka juga menunjukkan tentang kehinaan dunia sehingga Allah masih memberikan ‘seteguk-dua teguk’ nikmat dunia kepada orang-orang kafir. Tetapi di akhirat kelak, mereka tidak akan mendapatkan apa-apa. Wallahualam.
Sumber : https://muslimahnews.net/2022/11/12/14149/
#Nafsiyah #syurga #neraka #penghunisyurga #nikmatsyurga #hariakhirat