[Fikrul Islam] Akhlak Islamiyah
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Akhlak adalah sebahagian dari syariat Islam, iaitu sebahagian dari perintah dan larangan Allah. Akhlak merupakan sifat yang wajib dimiliki oleh seorang muslim bagi menyempurnakan amalan terhadap Islam.
Definisi Akhlak
Menurut bahasa, akhlak dari kata al-khuluq yang bermaksud kebiasaan (al-sajiyyah) dan tabiat (al-thab’u). Manakala makna dari segi istilah, akhlak ialah sifat-sifat yang diperintahkan oleh Allah kepada seorang muslim apabila dia menjalankan pelbagai aktivitinya.
Sifat-sifat akhlak ini muncul dalam diri seorang muslim apabila dia melakukan pelbagai aktiviti, seperti ibadah, muamalah, dan sebagainya, jika dia menjalankan aktiviti tersebut dengan betul. Sebagai contoh, seseorang akan kelihatan khusyuk dalam solat. Allah berfirman:
قَدْ اَفْلَحَ الْمُؤْمِنُوْنَۙ – ١ الَّذِيْنَ هُمْ فِيْ صَلٰو تِهِمْ خَاشِعُوْنَ – ٢
“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya,dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.” [TMQ Al-Mukminun (18): 1-3]
Sifat lemah lembut juga dilihat dalam diri seorang pengemban dakwah apabila melakukan dakwah dengan masyarakat. Allah berfirman ketika menggambarkan akhlak Rasulullah ﷺ,
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّٰهِ لِنْتَ لَهُمْۚ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيْظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوْا مِنْ حَوْلِكَۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ…
“Maka dengan rahmat Allah kamu (Muhammad) berlaku lemah lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” [TMQ Ali Imran (3): 159]
Dalam perkara lain, ia akan dilihat pada sikap berani seorang Muslim apabila dia berani untuk membetulkan atau memuhasabah pemerintah yang zalim. Rasulullah ﷺ bersabda;
سَيِّدُ الشَّهَدَاءُ حَمْزَةٌ وَرَجُلٌ قَامَ إلَى حَاكِمٍ ظَالِمٍ فَنَصِحَهُ
فَقَتَلَهُ
“Pemimpin para syuhada adalah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim kemudian dia menasihatinya, lalu penguasa itu membunuhnya.”
Diri seorang muslim juga akan dihiasi dengan kesabaran (al-shabr) dan menguatkan kesabaran (mushabarah) tatkala menanggung derita dan tatkala menghadapi musuh. Allah SWT berfirman;
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اصْبِرُوْا وَصَابِرُوْا…
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 200]
Dia juga akan dihiasi dengan sifat mengutamakan orang lain iaitu mengutamakan orang lain untuk mendapat kebaikan berbanding dirinya. Dia sanggup berlapar sendiri demi orang lain. Allah SWT berkata;
… وَيُؤْثِرُوْنَ عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ…
“…dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas (kepentingan) mereka walaupun mereka dalam kesusahan…” [TMQ Al-Hasyr (59): 9]
Kita juga dapat melihat apabila Ali bin Abi Talib RA sanggup menduduki tempat tidur Nabi pada malam konspirasi orang musyrik untuk membunuh Nabi ﷺ. Dia mengorbankan dirinya untuk Rasulullah ﷺ.
Seorang penguasa akan mempunyai akhlak yang adil di tengah-tengah rakyatnya. Allah SWT berfirman:
وَاِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ اَنْ تَحْكُمُوْا بِالْعَدْلِ
“Dan apabila kamu menghukum di tengah-tengah manusia, maka hendaklah kamu menghukum dengan adil.” [TMQ An-Nisa’ (4): 58]
Selain yang telah disebutkan di atas, terdapat beberapa sifat akhlak lain yang diperintahkan oleh Allah untuk dimiliki setiap muslim, di antaranya adalah menjauhkan diri dari hal-hal yang tidak baik (‘iffah), dermawan, tawaduk, dan sebagainya.
Di samping itu, terdapat beberapa sifat akhlak tercela yang dilarang oleh Islam, di antaranya adalah berdusta, menghasut, zalim, menipu, riak, malas, penakut (al jubnu), membicarakan orang lain (ghibah), dan sebagainya. Allah SWT berfirman;
وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ اِذَا حَسَدَ
“dan dari kejahatan orang yang berhasad dengki.” [TMQ Al-Falaq (113): 5]
Rasulullah ﷺ bersabda;
اَللّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ وَالْهَرَمِ وَالْبُخْلِ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah, malas, takut, nyanyuk dan bakhil.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Kajian Dasar-Dasar Pemikiran Islam
#FikrulIslam #akhlak #PemikiranIslam