[Fikrul Islam] Kebebasan menurut Barat (Bahagian 2/2)
Penulis : Ahmad Mahmud
Semua itu adalah trade mark demokrasi yang merupakan hasil dari hawa nafsu manusia yang bukan datang dari Allah SWT dan tidak bergantung kepada wahyu yang turun dari langit. Demokrasi juga tidak ada kena mengena dengan mana-mana agama. Jika kita merujuk kepada asal-usul kelahirannya sebagaimana yang ada di dalam fikiran pencetusnya iaitu para pemikir. Kemudian memperhatikan juga situasi dan keadaan kelahirannya. Maka, akan nampak lebih jelas kepada kita bahawa demokrasi itu berdiri di atas prinsip kufur.
Juga sangat jelas bahawa demokrasi adalah reaksi kepada kata-kata Louis XIV yang berkata, “Sebenarnya kuasa raja-raja adalah berdasarkan wakil pencipta dan sumbernya adalah Tuhan sahaja, bukan rakyat dan raja-raja tidak bertanggungjawab atas cara-cara pelaksanaan kekuasaan kecuali kepada Tuhan. Di samping itu, para pemikir menggambarkan teori kontrak sosial John Jacques Rousseau di mana teori ini adalah Injil Revolusi Perancis sekular.
Dari semua penjelasan di atas jelaslah kepada kita bahawa terdapat pertentangan antara Islam dan demokrasi yang sangat menyeluruh termasuk asal usul, akidah yang terpancar daripadanya, prinsip yang menjadi asasnya, pemikirannya, dan sistem yang dibawanya.
Sumber datangnya demokrasi adalah manusia dan hakim dalam sistem demokrasi iaitu tempat dikembalikannya segala keputusan hukum mengenai tindakan dan undang-undang mengenai segala sesuatu termasuk perihal perkara baik dan buruk adalah keinginan dan keperluan situasional. Demokrasi adalah ciptaan ahli falsafah Eropah.
Islam sendiri sangat bercanggah dengan apa yang disebutkan di atas. Islam datang dari Allah SWT yang mewahyukanya kepada Nabi Muhammad, hambaNya, dan RasulNya. Sementara itu, hakim dalam Islam iaitu tempat dikembalikannya pembuatan hukum adalah syarak bukan akal. Fungsi akal hanya terbatas dalam memahami nas-nas syariah.
Akidah yang melahirkan demokrasi ialah akidah memisahkan agama dari kehidupan (sekularisme) iaitu akidah yang berlandaskan jalan tengah (kompromi). Akidah ini mengakui kewujudan agama tetapi menghapuskan peranannya dalam kehidupan dan dalam negara. Selanjutnya, menetapkan bahawa manusialah yang berhak untuk membuat peraturan hidup mereka. Berdasarkan akidah inilah, tamadun demokrasi telah dibina dan hala tuju pemikiran demokrasi ditentukan.
Islam sangat bertentangan dengan hal itu. Islam berlandaskan kepada akidah Islam yang mewajibkan berjalannya segala urusan hidup dan negara berlandaskan perintah Allah dan laranganNya. Dalam erti kata lain, mestilah mengikut undang-undang syariah yang terpancar daripada akidah Islam. Di atas akidah inilah tamadun Islam terbina dan hala tuju pemikiran Islam ditentukan.
Prinsip asas demokrasi ialah kedaulatan yang berada di tangan rakyat dan rakyat adalah sumber kekuasaan. Berdasarkan atas kedaulatan rakyat itu, sistem demokrasi melahirkan tiga bentuk kekuasaan iaitu kuasa perundangan, eksekutif, dan kehakiman yang secara praktikal menterjemahkan bentuk kedaulatan dan kuasa rakyat.
Sedangkan dalam Islam, kedaulatan terletak di tangan syarak. Umat tidak layak membuat undang-undang. Namun begitu, Islam menyerahkan penerapan perintah Allah dan larangan-laranganNya kepada kaum muslim. Semua ini ditunjukkan dengan tertegaknya Daulah Khilafah yang dibatasi oleh nas-nas syarak.
Demokrasi datang dengan sistem dan idea yang berdiri berdasarkan faedah dan hawa nafsu. Manakala, perundangan Islam yang tegak adalah berdasarkan nas-nas dan hukum istinbat syarak yang bersumberkan nas-nas tersebut. Islam berpegang teguh pada syariah dan sentiasa mengikuti petunjuk.
Perkataan yang menyebut bahawa dalam demokrasi terdapat beberapa unsur kebaikan yang boleh dimanfaatkan oleh Islam adalah kenyataan yang ditolak dan tidak mempunyai bukti. Setelah penjelasan tentang demokrasi tadi dan segala perkara yang diciptanya dalam bentuk realiti yang sangat buruk maka, kita melihat bahawa tidak ada sedikit pun kebaikan yang diperlukan oleh umat terbaik ini (umat Islam). Adakah Islam yang kita anuti ini mempunyai kekurangan yang perlu ditutup oleh slogan-slogan seperti ini?
Rujukan : https://muslimahnews.net/2022/11/25/14772/