[Nafsiyah] Bersangka Baik Kepada Allah SWT, Membuka Pintu Kebaikan
Kala ujian melanda tidak kunjung reda, silih ganti terus datang membuatkan hati tidak tenang, saat itu pula terkadang muncul rasa khuatir yang amat besar. Adakah Allah SWT tidak lagi menyayangi hambanya ini, sehingga diberikan ujian dan masalah yang datang bertubi-tubi? Bilakah ujian akan segera berakhir, sehingga kita tidak lagi merasa susah dan sedih dalam menghadapinya?
Mungkin masih banyak rentetan persoalan yang kita ajukan pada Allah SWT dalam keadaan ketika mana kita diuji terhimpit dengan ujian dan pelbagai masalah. Namun, kita terus bertanya tanpa memahami bahawa dalam setiap ujian dan masalah terdapat banyak ibrah serta hikmah yang Allah SWT sedang tunjukkan pada kita. Inilah peri pentingnya untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT.
Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan kenikmatan yang agung dan menjamin kebahagiaan hidup seseorang di dunia dan juga di akhirat. Hadis daripada Abu Hurairah RA dari Rasulullah SAW, sesungguhnya Allah SWT berfirman,
“Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingati Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya ketika bersendirian, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak” [HR Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW juga dalam kehidupan sehariannya senantiasa mendidik para sahabatnya agar selalu berbaik sangka kepada Allah SWT. Dari Jabir RA, dia berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW mengatakan tiga hari sebelum kewafatannya, baginda SAW bersabda, “Janganlah seseorang di antara kalian meninggal dunia, kecuali dalam keadaan bersangka baik terhadap Allah.” [HR Muslim]
Di samping itu, bersangka baik kepada Allah SWT termasuk dalam ibadah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya berprasangka baik pada Allah adalah termasuk sebaik-baiknya ibadah.” [HR Abu Daud]
Ulama tabiin, Hasan al-Basari RA pun mengatakan bahawa, “Sesungguhnya seorang mukmin ketika bersangka baik kepada Tuhannya, maka dia akan memperbaiki amalnya. Sementara orang buruk, dia berprasangka buruk kepada Tuhannya, sehingga dia melakukan amal keburukan.” [HR Ahmad]
Lalu mengapa kita masih banyak mengeluh dengan ujian dan masalah kehidupan? Bukankah Allah SWT akan memberikan kebaikan bagi hambaNya yang bersangka baik kepadaNya?
Tutuplah celah keluhan, perbanyakkanlah istighfar juga berprasangka baik padaNya. Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Pengampun, nescaya akan mengampuni dosa hamba-hambaNya.
Allah SWT juga Maha Penyayang dan akan memberikan belas kasihannya bagi hamba-hambaNya yang bersabar dan bertawakkal saat ditimpa ujian mahupun masalah. Sesungguhnya pasti akan ada jalan keluar dan pertolongan dari Allah SWT dari arah yang tidak diduga.
Berharaplah sepenuhnya kepada Allah SWT untuk meminta apa saja yang kita perlukan selama mana perkara tersebut berupa kebaikan bagi mencari redhaNya. Janganlah berputus asa hanya kerana kita tidak yakin bahawa Allah SWT akan menolong hidup kita.
Sebagaimana firman Allah SWT, “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” [TMQ az-Zumar (39) : 53-54]
https://muslimahnews.net/2022/11/16/14337/