[Syarah Hadis] Cakupan Al-Musâqah dan Tanggungjawab Amil Al-Musâqâh
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ عَبْدِ الله بْن عُمَرَ أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَفَعَ إِ لى يَهُودِ خَيْبر نَخْلَ خَيْبَرَ وَأَرْضَهَا عَلَى أَنْ يَعْتَمِلُوهَا مِنْ أَمْوَالِهِمْ وَلِرَسُولِ الله شَطْرُ ثَمَرِهَا
“Dari Abdullah bin Umar bahawa Nabi SAW pernah menyerahkan kepada Yahudi Khaibar pohon kurma dan tanah Khaibar dengan ketetapan agar mereka menggarapnya dari harta mereka dan untuk Rasulullah SAW separuh buahnya. (HR Muslim No. 1551, Abu Dawud No. 3409, an-Nasai No. 4646 dan 11737 di Sunan al-Kubrâ, Ibnu Zanjawayh No. 1976 di al-Amwâl li Ibni Zanjawayh).
Imam an-Nawawi rahimahulLaah menyatakan di dalam Syarah Sahîh Muslim (10/209), “Di dalam hadis-hadis ini ada ketentuan tentang kebolehan al-musâqâh. Ini menjadi pendapat Malik, Ats-Tsawri, Al-Laits, Asy-Syafie, Ahmad, semua muhaddisin, ahlu azh-zhahir, dan jumhur ulama.”
Di dalam hadis ini dinyatakan bahawa akad al-musâqah itu dilakukan atas pohon-pohon kurma Khaibar dan tanahnya. Hanya saja, akad atas tanahnya bukanlah akad terpisah, melainkan akad ikutan atas akad al-musâqah atas kurma Khaibar. Sebabnya, yang dominan di Khaibar adalah pohon kurma, sedangkan tanah untuk pertanian hanya sedikit. Abdullah bin Umar RA menuturkan, “…Lalu Rasul SAW memberi isteri-isteri beliau setiap tahun 100 wasaq, terdiri dari 80 wasaq kurma dan 20 wasaq barli.” (HR Muslim).
Menjelaskan riwayat ini, Imam an-Nawawi mengatakan, “Para ulama berkata: Ini adalah dalil bahawa kawasan tanah di Khaibar yang menjadi kawasan pertanian lebih sedikit daripada syajar (pepohonan).” (An-Nawawi, Syarah Sahîh Muslim).
Dalam hadis Ibnu Umar di atas disebutkan bahagian Rasul SAW adalah tsamarihâ. Lafaz tsamar yang di-idhaafah-kan pada dhamîr yang kembali pada nakhlu Khaibar merupakan lafaz umum. Meski diucapkan terkait nakhlu (kurma) Khaibar, itu tidak hanya berlaku atas kurma Khaibar, tetapi berlaku secara umum untuk semua kurma. Dalam satu riwayat disebutkan,
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم عَامَلَ أَهْلَ خَيْبَر بِشَطْرِ مَا يَخْرُجُ مِنْ النَّخْلِ وَالشَّجَرِ
“Nabi SAW pernah mempekerjakan penduduk Khaibar dengan separuh daripada hasil kurma dan syajar.” (HR Ad-Daraquthni).
Dalam hadis ini, setelah lafaz an-nakhl dilanjutkan dengan lafaz wa asy-syajar. Ungkapan an-nakhl wa asy-syajar ini bersifat lebih umum dari topiknya, iaitu kurma. Keumuman itu berlaku atas semua asy-syajar. Ertinya, al-musâqah itu berlaku pada asy-syajar dan hasilnya.
Ibnu Manzhur di Lisân al-‘Arab menyatakan bahawa ats-tsamar (buah) adalah apa yang dihasilkan oleh syajar. Ahmad bin Muhammad al-Fayyumi di dalam Al-Mishbâh al-Munîr menyebutkan al-hamlu (kandungan) yang dikeluarkan oleh asy-syajar samada boleh dimakan atau tidak.
Asy-Syajar memiliki karakteristik berbuah setiap tahun atau setiap musim, seperti kurma yang disebutkan di dalam hadis. Setelah buahnya dipetik maka akan berbuah lagi pada musim atau tahun berikutnya. Begitu seterusnya.
Jadi, al-musâqâh boleh dilakukan pada semua asy-syajar yang memiliki ats-tsamar (buah) atau al-hamlu, baik ianya boleh dimakan atau tidak boleh dimakan, selama itu diinginkan, yakni dapat dimanfaatkan. Untuk asy-syajar yang memiliki buah hukumnya jelas.
Adapun asy-syajar yang tidak mempunyai buah seperti pokok cemara, atau memiliki buah yang tidak diinginkan (tidak dicari/diperlukan) seperti pinus (pine) dan cemara, maka tidak boleh dilakukan al-musâqâh padanya. Hal ini kerana, al-musâqâh itu tidak lain dengan imbalan bahagian dari buahnya, sementara asy-syajar seperti jenis ini tidak memiliki buah yang diinginkan, kecuali jika berupa asy-syajar yang diperlukan/dicari daunnya seperti mulberi, atau diperlukan bunganya seperti mawar dan melati. Ini boleh dilakukan al-musâqâh atasnya.
Ini kerana daun dan bunga itu statusnya sama dengan buah kerana tumbuh berulang-ulang setiap musim/tahun dan mungkin dilakukan al-musâqâh atasnya dengan imbalan sebahagian dari hasil bunga atau daun itu. Dengan demikian dalam hal ini berlaku hukum tsamar padanya (Lihat: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm; Ibnu Qudamah, Al-Mughni, “Kitâb al-Musâqât”).
Jadi, akad al-musâqâh boleh dilakukan untuk pohon kurma, anggur, zaitun, jeruk, mangga, epal, jambu, kelapa, sawit, dan sebagainya. Boleh juga dilakukan untuk pokok cengkih, lobak, dan sebagainya. Namun, al–musâqâh tidak boleh dilakukan untuk tembikai, padi, sayur-mayur, atau tanaman semusim, dan sebagainya.
Namun, perlu diingat, al-musâqâh itu bukan al-muzâra’ah. Sebabnya, al-musâqâh itu adalah ta’jîr asy-syajar atas bahagian dari buahnya atau ta’jîr asy-syajar bersama tanah yang menjadi ikutannya atas bahagian dari ats-tsamar dan zar’un, dengan ketentuan, syajar hendaklah lebih banyak/dominan dari tanah pertanian.
Adapun ta’jîr al-ardhi (penyewaan tanah) agar ditanami asy-syajar, maka itu adalah al-muzâra’ah, bukan al-musâqâh sehingga menjadi tidak boleh. Di dalam Anîs al-Fuqahâ’ disebutkan bahawa az-zar’u adalah tharhu al-badzri (melempar benih). Di dalam Al-Mughrib disebutkan az-zar’u adalah tanaman yang ditumbuhkan dari benih. Jadi tidak boleh menyerahkan tanah kepada orang lain agar ditanami asy-syajar.
Terkait aktiviti dan tanggungjawab as-sâqiy atau ‘âmil al-musâqah, hal itu telah dijelaskan di dalam hadis Ibnu Umar di atas. Imam an-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menjelaskan, “Ini adalah penjelasan tugas ‘âmil al-musâqâh, iaitu semua yang diperlukan dalam memperbaiki tsamar dan meningkatkan hasilnya di antara apa saja yang diperlukan secara berulang tiap tahun seperti pengairan, pembersihan saluran, perbaikan tempat tumbuh syajar, memupuknya, membersihkan rumput, membersihkan tangkai, menjaga buah, menuai, mengeringkan, dan sebagainya. Adapun apa-apa yang dilakukan untuk menjaga pokoknya seperti membina pagar, menggali saluran air, dan sebagainya, maka itu menjadi kewajipan pemilik pohon.”
Dengan demikian, tanggungjawab âmil al-musâqâh meliputi mengairi dan semua aktiviti yang diperlukan dalam hal perawatan dan pemeliharaan asy-syajar supaya ats-tsamar atau hasilnya banyak. Kos, alat dan apa saja yang diperlukan untuk itu menjadi tanggungan dia, termasuk benih zar’u, tanaman sela, atau tanaman sampingannya. Wallahualam bissawab.
#hadis #tanaman #pertanian #hukumfiqh