Mencintai Rasulullah SAW dalam Perspektif Hadis
Oleh: Siti Murlina
Bagi setiap muslim mencintai Rasulullah SAW merupakan sebahagian daripada ibadah dan akan mendapatkan pahala berlimpah daripada Allah SWT. Maka menjadi kewajipan pula sebagai sebab akibat daripada cinta tersebut untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri tauladan yang mendasari corak pemikiran dan sikap seorang muslim dalam seluruh aspek kehidupan.
Dan orientasi cinta itu juga menjadikan Rasulullah SAW sebagai satu-satunya yang wajib dicintai melebihi cinta kepada apa pun dan kepada siapa pun di dunia ini. Sebagaimana dinyatakan dalam sabda-Nya:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya:
“Seseorang tidaklah beriman (dengan sempurna) sehingga aku lebih dicintainya daripada anak dan ibu bapanya serta manusia seluruhnya.” (HR. Muslim no.44)
Dan dalam hadis lain, daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيْمَانِ، مَنْ كَانَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ِ،
Maksudnya:
“Tiga perkara yang membuatkan seseorang akan mendapatkan manisnya iman iaitu: Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya…” (HR. Bukhari no. 16 dan Muslim no. 43)
Berdasarkan hadis di atas, maka mencintai Rasulullah SAW adalah wajib dan mesti didahulukan daripada kecintaan kepada segala sesuatu selain kecintaan kepada Allah. Sebab mencintai Rasulullah SAW adalah mengikuti kewajipan dalam mencintai Allah. Mencintai Rasulullah SAW merupakan penerapan cinta kepada Allah SWT.
Sebagaimana juga dinyatakan oleh Ibnul Qayyim bahawa “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Seperti mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW sesungguhnya ia adalah penyempurna kecintaan dan pengagungan kepada Rabb yang mengutusnya. Umatnya mencintai baginda SAW kerana Allah telah memuliakannya. Maka kecintaan ini adalah kerana Allah sebagai sebab akibat dalam mencintai Allah”.
Mengenai kata-kata yang dimaksudkan dalam hadis tadi iaitu “perkara yang membuatkan seseorang akan mendapatkan manisnya iman” boleh kita ambil mafhum daripada kenyataan Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, menyatakan terkait makna cinta. Menurutnya, cinta merupakan kecenderungan tabiat kepada sesuatu disebabkan sesuatu itu mempunyai nikmat. Setiap kali kenikmatan sesuatu bertambah, maka semakin besar juga cinta kepada sesuatu itu. Wujudnya boleh berupa fizikal mahupun bukan.
Lebih lanjut, Imam Ghazali menyatakan hakikat cinta yang sejati adalah kenikmatan cinta yang berasal daripada penglihatan bukan fizikal (batin), iaitu kenikmatan hati. Kenikmatan hati yang disebabkan telah mengetahui perkara-perkara Ilahiah yang mulia dan tidak dapat difahami oleh pancaindera merupakan sesuatu yang lebih mulia, lebih sempurna dan lebih besar kenikmatannya.
Jadi hakikat mencintai Rasulullah SAW memerlukan adanya penghormatan, ketundukan dan keteladanan kepadanya. Mencintai Rasulullah SAW iaitu ittiba’ kepada baginda SAW sekaligus menunjukkan kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Meneladani Rasulullah sebagai bentuk kecintaaan wajib secara keseluruhan, sebab Rasulullah adalah satu-satunya teladan bagi setiap mukmin. Di antara keteladanan Nabi SAW yang wajib diikuti adalah kepimpinan baginda atas umat manusia. Rasulullah SAW bukan sekadar pemimpin kerohanian, tetapi juga Ketua Negara Islam pertama.
Para sahabat RA telah menunjukkan bentuk kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW di antaranya adalah hadis berikut, daripada Abdullah bin Hisyam, dia berkata, “Kami pernah bersama Nabi SAW dan baginda memegang tangan Umar bin Khattab RA. Kemudian Umar berkata, “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali terhadap diriku sendiri.” Kemudian Nabi SAW berkata,
لَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ فَإِنَّهُ الْآنَ وَاللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْآنَ يَا عُمَر ُ رواه البخاري
Maksudnya:
“Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya (imanmu belum sempurna). Tetapi aku perlu lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Kemudian Umar berkata, “Sekarang, demi Allah, Engkau (Rasulullah) lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Kemudian Nabi SAW berkata, “Saat ini juga wahai Umar, (imanmu telah sempurna).” (HR. Bukhari no.6632)
Dalam riwayat lain, Anas mengatakan, “Kami tidak pernah merasa gembira sebagaimana rasa gembira kami ketika mendengar sabda Nabi SAW: Anta ma’a man ahbabta (Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai).” Anas pun mengatakan, “Kalau begitu aku mencintai Nabi SAW, Abu Bakar, dan Umar. Aku berharap dapat bersama dengan mereka kerana kecintaanku pada mereka, walaupun aku tidak dapat beramal seperti amalan mereka.” (HR. Bukhari no.3688)
Urwah bin Mas’ud berkata kepada kaum Quraisy: “Wahai kaumku, demi Allah, aku telah diutus kepada para Kisra, Maharaja dan raja-raja, namun aku tidak pernah melihat seorang raja pun yang diagungkan oleh segenap rakyatnya melebihi pengagungan para Sahabat RA kepada Muhammad SAW. Demi Allah, mereka tidak memandang dengan tajam kepada baginda sebagai bentuk pengagungan mereka kepadanya SAW, serta tidaklah baginda berdahak kecuali ditadah dengan telapak tangan salah seorang daripada mereka, kemudian dilumurkan pada wajah dan dadanya. Kemudian tatkala baginda SAW berwudhuk, maka hampir saja mereka saling membunuh kerana berebut sisa air bekas wudhuk baginda SAW.” (HR. Bukhari no.2731)
Begitulah keadaan para sahabat RA dalam mengekspresikan kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW. Sangat berbeza halnya dengan keadaan kaum muslimin yang hidup dalam sistem kapitalis sekular saat ini. Makna cinta yang hakiki mulai hilang dan kabur. Ekspresi mereka dalam mencintai Nabi SAW setiap bulan maulid (Rabiulawal) mereka semarakkan dengan pelbagai aktiviti. Namun, sayangnya yang mereka lakukan itu hanya sebatas upacara tahunan belaka, tidak ada pengaruhnya ketika ritual itu selesai baik daripada cara berfikir mahupun bersikap. Malah sebenarnya euforia majlis tersebut telah menipu perasaan mereka sendiri pada sosok yang sepatutnya menjadi teladan bagi mereka dalam seluruh aspek kehidupan.
Kecintaan terhadap Rasulullah SAW hanya sebatas sebutan di bibir saja, mereka banyak disibukkan pada aktiviti upacara yang hanya sekadar bacaan selawat, zikir dan tausiah singkat hanya dalam bentuk biografi sejarah. Syariat dan risalah yang dibawa dan diperjuangkan oleh Rasulullah SAW dicampakkan dan hanya sebatas nyanyian selawat saja. Mereka mencontohi Rasulullah SAW hanya pada ibadah mahdhah saja, tapi dalam hal pemakaian, akhlak, politik, ekonomi, pendidikan, pergaulan dan lainnya tidak mereka ambil dan amalkan.
Wajar saja, penghinaan terhadap syariat, Al-Quran dan bahkan terhadap peribadi Rasulullah SAW sering berlaku dan terus berulang, menjadi hal yang biasa dan tidak memberi kesan pencegahan. Semua ini disebabkan oleh kaum muslimin yang telah mengabaikan syariat dan perasaan cinta mereka telah tumpul. Sedangkan dalam cinta yang hakiki, bentuk kecintaan adalah dengan mengikuti seluruh apa yang disukai oleh orang yang dicintai dan membenci apa yang dia benci serta berusaha untuk membelanya daripada siapa pun yang menghinakannya.
Semestinya, dalam mewujudkan rasa cinta tersebut adalah dengan terus belajar agar corak pemikiran dan cara bersikap kita terus terhubung dengan figura teladan kita dan mendakwahkan serta memperjuangkan risalah yang dibawa oleh baginda. Maka kecintaan kita kepada Rasulullah SAW mesti diekspresikan dengan kerinduan, ketaatan, pembelaan dan perjuangan Islam sebagaimana Rasulullah juga memperjuangkan Islam agar menjadi pandangan hidup manusia, demi keselamatan di dunia dan akhirat. Wallahu a’lam bissawab.
#CintaNabi #TaatNabi