Batas Kaya dan Fakir (Antara yang Boleh Meminta Zakat dan yang Tidak) (Bahagian 3)
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
«لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ، وَلَا لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ»
Tidak halal sedekah (zakat) untuk orang kaya dan tidak pula untuk orang yang ada kekuatan. (HR. Ahmad no. 8908, Ibnu Majah no. 1939, an-Nasai no. 2597, al-Bazar no. 9627, Ibnu Hibban no. 3290, ad-Daraquthni no. 1989 dan al-Hakim no. 1477).
Mengulas hadis-hadis tersebut (hadis Abu Hurairah, Abdullah Ibn Amru, Ibnu Mas’ud, Abu Sa’id al-Khudzri, Sahlu Ibn al-Hanzhaliyyah dan Anas bin Malik), Imam al-Baihaqi dalam As-Sunan al-Kubrâ (7/9) no. 13312 mengatakan, “Hadis-hadis ini tidak berbeza. Seolah-olah Nabi SAW mengetahui apa yang mencukupi setiap orang daripada mereka sehingga baginda menjadikan kecukupannya dengan itu.”
Imam al-Baihaqi mengatakan di dalam Ma’rifah as-Sunan wa al-Atsâr (9/330), “Semua ini sama dalam makna. Maksudnya, baginda memperhatikan faktor kekayaan (al-ghinâ) dan itu adalah kecukupan (al-kifâyah). Kemudian, kecukupan itu berbeza-beza sesuai dengan perbezaan orang. Di antara mereka ada orang yang 50 dirham mencukupi bagi dirinya. Ada yang 40 dirham mencukupi bagi dirinya. Ada pula yang mempunyai pendapatan yang berputar setiap hari yang mencukupi keperluan makan siang dan malamnya, sementara dia tidak mempunyai keluarga dan pendapatannya mencukupi untuk dirinya, maka dia tidak boleh mengambil sedekah (zakat).”
Dengan demikian, batas antara orang yang tidak boleh meminta atau mengambil sedekah (zakat) dengan orang yang boleh meminta atau mengambil sedekah (zakat), adalah adanya kecukupan pemenuhan keperluan hidup dia dan keluarganya secara berterusan, iaitu bukan hanya hari itu, tetapi juga hari esoknya dan ke depannya. Hal itu dapat dipenuhi dengan: Pertama, dia mempunyai harta yang dapat mencukupkan dia dan keluarganya. Di antara tandanya adalah dia mempunyai 50 dirham atau 40 dirham baki daripada pemenuhan keperluannya. Kedua, dia mempunyai pendapatan rutin—harian, mingguan, bulanan atau lainnya—yang mencukupi untuk diri dan keluarganya. Ketiga, gabungan kedua hal itu, iaitu dia mempunyai pendapatan, baik rutin atau tidak, yang tidak mencukupi dirinya dan keluarganya, tetapi dia mempunyai harta yang dapat menutupi kekurangan itu; atau sebaliknya.
Kecukupan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada pemenuhan keperluan asas yang lengkap, iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal; iaitu yang sepatutnya secara makruf. Pemenuhan ketiga-tiga keperluan asas ini melangkaui batasan makanan, pakaian, dan tempat tinggal; ia juga merangkumi pelbagai perkara lain yang diperlukan untuk memastikan keperluan asasnya dipenuhi secara sempurna. Contohnya, tempat menyimpan makanan, dapur untuk memasak, keperluan untuk mencuci atau hal-hal yang diperlukan untuk kehidupan yang layak, seperti alas tempat tidur atau katil.
Orang yang terpenuhi kecukupan pemenuhan keperluan asas buat dia dan keluarganya secara sempurna itu adalah orang kaya (al-ghaniy). Dia tidak boleh meminta atau mengambil sedekah (zakat). Sebaliknya, orang yang tidak terpenuhi kecukupan pemenuhan keperluan asas dirinya dan keluarganya secara sempurna adalah orang fakir. Dia boleh meminta dan mengambil sedekah (zakat). Itulah batas antara orang yang boleh meminta atau mengambil sedekah (zakat) dengan orang yang tidak boleh meminta atau mengambilnya, iaitu batas antara orang fakir dan orang kaya.
Imam al-Baihaqi dalam Ma’rifah as-Sunan wa al-Atsâr (9/324) menyatakan, “Penjelasan ahlul ash-shadaqah. Imam asy-Syafie berkata, ‘Orang fakir (al-faqîr) adalah orang yang tidak mempunyai harta mahupun pekerjaan yang dapat mencukupkan dirinya (iaitu membuat dirinya tidak memerlukan, pen.), baik dia cacat mahupun tidak, baik dia meminta mahupun menjaga ‘iffah untuk tidak meminta. Orang miskin (al-miskîn) adalah orang yang memiliki harta atau pekerjaan yang dapat menghidupkan dirinya, tetapi itu tidak mencukupi untuk membuat dirinya tidak memerlukan, baik dia meminta mahupun tidak.’”
Imam asy-Syafie menambahkan, “Siapa yang memiliki harta yang membuat dirinya tidak memerlukan dan membuat keluarganya tidak memerlukan atau dia memiliki pekerjaan yang dapat mencukupkan dirinya dan keluarganya, maka dia terkeluar daripada makna kefakiran dan kemiskinan dan dia tidak berhak sedikit pun atas sedekah (zakat).”
Menurut Imam Ibnu Qudamah dalam Al-Mughnî (7/314), orang fakir (al-faqîr) adalah orang yang tidak mampu memperoleh pendapatan yang cukup untuk memenuhi keperluannya, dan yang tidak memiliki upah atau pendapatan tetap yang cukup untuk memenuhi keperluannya, dan dia tidak mempunyai lima puluh dirham atau emas yang setara dengan itu.
Syeikh Abdul Qadim Zalum di dalam Al-Amwâl fî Dawlah al-Khilâfah (hal. 170) menyatakan, “Al-Fuqarâ‘ adalah orang-orang yang tidak memperoleh harta yang mencukupi mereka untuk memenuhi keperluan-keperluan asas mereka, iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Siapa saja yang masuk padanya harta yang kurang daripada apa yang dia perlukan untuk memenuhi keperluan asasnya dinilai sebagai orang fakir. Sedekah (zakat) halal bagi dirinya. Dia berhak mengambil sedekah (Zakat). Dia juga boleh diberi sedekah (zakat) sampai batas yang mengangkat keperluannya dan kefakirannya.”
Setelah menyatakan hadis Abdullah bin Amru, Syeikh Abdul Qadim Zallum menjelaskan, “dzû al-mirrah adalah memiliki kekuatan, kemampuan dan mencari pendapatan. Jika dia tidak mendapati apa yang dia peroleh sebagai pendapatan, dia dianggap sebagai fakir. Orang kaya adalah orang yang tidak memerlukan orang lain dan dia memiliki kelebihan daripada apa yang memenuhi keperluannya. Dinyatakan hadis-hadis yang menjelaskan siapa orang kaya itu.”
Lalu beliau menyebutkan hadis Ibnu Mas’ud. Setelahnya beliau menyatakan, “Jadi siapa yang memiliki 50 dirham perak iaitu 148.75 gram perak atau emas setara dengan itu—sebagai kelebihan daripada makanan, pakaian dan tempat tinggalnya, dan nafkah isterinya, anak-anaknya dan pembantunya—maka dia dinilai sebagai orang kaya dan dia tidak boleh mengambil sedekah (zakat).”
Sementara itu, Al-‘Allamah Asy-Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam An-Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm (hal. 207) ketika menjelaskan al-faqru mengatakan, “Kefakiran (al-faqru) dalam pandangan Islam adalah tidak adanya pemenuhan keperluan-keperluan asas secara sempurna. Syariah telah menetapkan keperluan asas ada tiga: makanan, pakaian dan tempat tinggal.”
Beliau juga mengatakan (hal. 211), “Alhasil, orang fakir yang wajib mendapatkan nafkah adalah orang yang tidak terpenuhi keperluan-keperluan asasnya, iaitu orang yang memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal.”
Adapun ketika menjelaskan pengeluaran zakat (hal. 234) beliau mengatakan, “Orang-orang fakir (al-fuqarâ‘ jamak daripada kata al-faqîr) adalah mereka yang memiliki harta tetapi perbelanjaan mereka lebih banyak daripada apa yang mereka miliki. Adapun orang miskin adalah orang yang tidak memiliki harta dan tidak memiliki pendapatan.”
Inilah batasan orang yang boleh meminta dan mengambil zakat. Dengan kata lain, inilah batasan orang fakir yang berhak atas zakat.
WalLâh a’lam wa ahkam.
#KelayakanZakat #fakirmiskin #orangkaya #hadis #hadispilihan