AGAMA INI AMANAH UNTUKMU
Oleh : Ahmad Syahrin Thoriq
Wahai anakku, Islam datang membawa cahayanya yang terang benderang, tidaklah dibawa oleh hembusan angin, kepakan sayap burung atau aliran air.
Agama ini tersebar dan tersiar, lalu bisa bersemayam di dalam hatimu, adalah menerusi perjuangan panjang para pengusungnya.
Dalam mengemban risalah agama ini, wajah dan tubuh Nabimu hingga bersimbah berdarah. Beliau pun difitnah, terusir lalu diperangi oleh kaumnya sendiri.
Untuk agama ini para sahabat Nabi tertimpa berbagai musibah berat. Tubuh Bilal ditindih batu besar lalu dijemur di bawah teriknya padang pasir yang membakar.
Mus’ab bin Umair terasing, hingga badannya menjadi kurus kering kerana kurang makan. Salman perlu meninggalkan kampung halaman dan keluarganya untuk selama-lamanya. Dan sebahagian dari sahabat bahkan berguguran di medan jihad.
Perjuangan membawa dan mempertahankan agama ini lalu diteruskan oleh para ulama melalui pena dan lembaran kitab mereka, juga para mujahid dengan pedang dan tombak-tombaknya.
Mereka menghadapi berbagai rintangan berat tak terperi demi mempertahankan eksistensi agama ini. Maka jangan pernah engkau percaya, bila ada yang mengatakan kepadamu, bahawa Islam dibawa ke negerimu, oleh serombongan orang yang sekadar menjadikannya sebagai sambilan. Berdagang sambil berdakwah.
Sungguh agama ini mampu sampai ke tempatmu ini, dibawa oleh para ulama dan pejuang umat yang telah melelehkan peluh, darah dan air matanya di jalan dakwah.
Orang-orang yang rela meninggakan kampung halaman dan keluarganya, kerana tidak rela gelapnya kesesatan dan kezaliman menyelimuti sebahagian dari bumi Allah.
Wahai anakku, tabiat agama ini hanya boleh disebarkan, dan juga dipertahankan menerusi perjuangan panjang nan melelahkan. Itu tak mungkin boleh dilakukan oleh orang sembarangan apalagi yang hendak menjadikannya sambilan.
Sungguh, Islam telah meninggalkan satu negeri yang telah ditempatinya sekian lama, yang di dalamnya pernah dipenuhi oleh ilmu dan kebaikan, hanya kerana generasi setelahnya lalai dari menjaganya.
Maka jangan sampai Islam lenyap dari negerimu bahkan hatimu, kerana disebabkan generasimu ternyata lebih lalai dari generasi kami saat ini…
Wahai anakku, generasi demi generasi akan terus berganti. Engkau dilahirkan sekali, hidup sekali, lalu akhirnya mati. Jangan jadikan kesempatanmu yang hanya sekali itu sia-sia adanya.
Sungguh Islam yang sekarang ada bersamamu, bukanlah warisan bapamu atau nenek moyangmu. Ia adalah amanah dan anugerah besar untukmu dari Tuhanmu, agar engkau mampu melakukan untuk agamamu, apa yang tak mampu dilakukan oleh bapa-bapamu !