[Nafsiyah] Jadikan Akhirat Tujuan Hidup Kita
Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Dakwah sebenarnya bukan sahaja tugas dan kewajipan para ulama atau ustaz. Dakwah merupakan kewajipan setiap muslim. Justeru, dakwah hendaklah menjadi pilihan hidup setiap orang yang mengaku beragama Islam. Malangnya, realiti tidak menunjukkan sedemikian. Di tengah-tengah kurangnya pemahaman kebanyakan umat Islam, ditambah dengan dunia yang semakin materialistik dan pragmatik, dakwah bukanlah pilihan ramai. Tidak sedikit para daie, pendakwah, mahupun aktivis dakwah yang mula hilang tujuan hidup. Dakwah yang mereka lakukan tidak lagi bernilai ukhrawi, tetapi penuh dengan kepentingan duniawi. Tidak kurang sedihnya, kerana beratnya tekanan hidup, kadang-kadang dakwah pun berada di kedudukan kedua, malah ditinggalkan.
Dakwah dan Kita
Dakwah adalah perintah yang diwajibkan oleh Allah SWT dan RasulNya kepada kita, sama ada secara individu, jemaah, mahupun negara. Allah SWT berfirman, “Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk seluruh umat manusia, maka kalian mestilah memerintahkan kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar, serta beriman kepada Allah SWT.” [TMQ Ali Imran (3): 110]
Ayat ini mengandungi madh (pujian) kepada umat Rasulullah. Al-‘Allamah Syekih Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya, Asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah Juz II, menyatakan, sekiranya pujian (madh) tersebut memberi kesan kepada tegak dan tidaknya hukum syariat, maka pujian (madh) ini mempunyai konotasi wajib. Pujian yang ditujukan oleh Allah SWT kepada umat ini, yang dipuji sebagai umat terbaik (khayra ummah) adalah berkaitan dengan kegiatan mereka iaitu amar makruf nahi mungkar dan keimanan kepada Allah SWT. Kita tahu bahawa ketiga-tiga ini merupakan rukun tertegak dan tidaknya hukum Allah SWT. Oleh itu, ayat ini bukan sahaja mengandungi pujian (madh), tetapi juga perintah mengenai kewajipan berdakwah.
Ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW yang menyatakan, “Sesiapa di antara kamu yang menyaksikan kemungkaran, hendaknya mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Itu merupakan selemah-lemah iman.” [HR Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibn Majah dari Abu Said al-Khudri]
Disamping tuntutan akidah dan syariat, seperti yang dinyatakan di atas, Allah SWT mengingatkan kepada kita, “Takutlah kamu terhadap fitnah yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu, tetapi juga orang-orang yang tidak zalim.” [TMQ al-Anfal (8): 25]
Fitnah ini disebabkan oleh orang yang zalim kerana kemaksiatan yang mereka lakukan. Di sinilah kewajipan berdakwah dengan cara melaksanakan amar makruf nahi mungkar menyeru kita. Seruan ini berlaku kepada individu, jemaah, dan negara kerana seruan (khithab)bersifat umum. Malah terdapat ancaman disitu, jika kita tidak melakukan apa-apa untuk mengubah kemaksiatan tersebut, maka kita pun akan terkena tempias walaupun kita tidak melakukannya.
Inilah keadaan yang dialami oleh umat Islam pada hari ini. Dalam negara yang penduduknya majoriti beragama Islam dan memiliki kekayaan alam yang luar biasa, ternyata rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Mereka semua menjadi mangsa jenayah yang dilakukan oleh pemerintah boneka iaitu puak-puak penjajah. Kesalahan mereka mungkin hanya satu kerana mereka diam dan tidak berjuang untuk menghentikan jenayah ini. Akibatnya keadaan ini terus melanda mereka. Realiti ini menjadi bukti yang kukuh, bahawa dakwah ini bukan sahaja tuntutan keimanan dan kewajipan syariat, tetapi juga tanggungjawab manusia yang mesti dipikul oleh setiap orang.
Dakwah Adalah Keutamaan dan Pilihan Hidup
Dakwah sepatutnya menjadi mainstream (arus perdana) hidup kita. Bagi yang lain harus mengikuti arus perdana ini. Itulah sebabnya, apabila Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu pertama, surah al-‘Alaq, baginda segera menyatakan kepada Khadijah, “La rahata ba’da al-yawma, ya Khadijah. (Tidak ada lagi waktu untuk berlengah-lengah setelah hari ini, wahai Khadijah).” Dalam riwayat lain disebutkan, “Qad dha’a waqtu an-nawm, ya Khadijah (Waktu tidur sudah berlalu wahai Khadijah).” Ini menunjukkan bahawa dakwah telah menjadi keutamaan dalam kehidupan Nabi SAW sehingga mengambil keseluruhan masa baginda.
Begitu juga orientasi hidup seorang muslim sepatutnya ialah akhirat. Allah SWT telah memerintahkan, “Carilah apa yang Allah berikan kepadamu untuk akhirat.” [TMQ al-Qasas (28): 77]
Juga dalam firman Allah SWT, “Akhirat itu lebih baik bagimu berbanding dunia.” [TMQ ad-Dhuha (93): 4]
Pada masa yang sama, oleh kerana kita hidup di dunia, kehidupan ini juga tidak boleh diabaikan, walaupun hanya sebagai alat atau sarana (al-wasail) ke arah kehidupan akhirat yang kekal abadi dan lebih baik.
Daripada ini dapat disimpulkan bahawa terdapat arus perdana (mainstream) dan tidak. Tujuan utama kehidupan kita ialah akhirat dan segala-galanya mesti terarah ke arahnya dan yang lain perlu megikuti arus perdana ini. Inilah yang menentukan ke mana hala tuju hidup kita. Segala urusan kehidupan kita yang lain, seperti perniagaan, harta benda dan lain-lain, hendaklah disesuaikan dengan kehidupan kita sebagai pembawa dakwah dan bukan sebaliknya. Seorang penyampai dakwah mungkin mempunyai perniagaan atau kehidupan peribadi, tetapi semua itu tidak sepatutnya menghalang malah memalingkan dirinya daripada tujuan utama hidupnya iaitu akhirat.
Dakwah dan Persoalan Hidup
Setiap orang mempunyai masalah pada tahap yang berbeza-beza. Masalah pasti dapat diselesaikan dengan cara bagaimana sikap kita dalam menangani dan menyelesaikan masalah tersebut. Apabila kita membuat pilihan hidup untuk berdakwah dan akhirat menjadi tujuan hidup kita, maka kita hendaklah mampu untuk menyahut setiap akibat yang datang dalam hidup kita dengan sebaiknya. Sebagai contoh, kadangkala kita mengalami masalah ekonomi. Sebenarnya ini tidak akan menjadi masalah jika kita boleh bertindak dengan sewajarnya iaitu jangan mengeluh, jangan meminjam orang tetapi memberi alasan untuk membayar kembali serta jangan mengemis atau iri hati dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada orang lain.
Pada masa yang sama, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk hidup di atas tangan dan kaki kita sendiri. Dengan begitu, Allah SWT pasti akan memuliakan kita walaupun kita serba kekurangan. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berusaha menjaga kehormatannya dengan tidak meminta-minta, Allah SWT akan memuliakannya.”
Selain itu, kita mestilah yakin bahawa rezeki itu berada di tangan Allah SWT. Kita mesti yakin bahawa kita tidak akan mati sebelum sempurnanya rezeki kita. Kita hendaklah yakin bahawa setiap dari kita semuanya telah dijamin rezeki oleh Allah SWT. Kita juga mesti yakin bahawa Tuhan memberikan anugerahNya yang berbeza kepada kita mengikut kehendakNya. Kita mestilah yakin dengan menolong Allah SWT, nescaya Allah SWT akan menolong kita. Ini adalah faktor keyakinan. Dimana keyakinan inilah yang membentuk sikap kita dan membolehkan kita terus hidup. Selain itu, kita masih perlu bersabar dengan segala qada dari Allah SWT.
Memantapkan Diri Menjadi Pengemban Dakwah
Sesungguhnya menjadi pendakwah adalah pilihan terbaik. Oleh itu, kuatkan keimanan dan tetap fokus kepada akhirat sebagai tujuan hidup serta sentiasa tanamkan nafsiyah dengan menghadirkan kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam kehidupan kita. Di sinilah kita perlu membaca sirah di mana kita perlukan sirah seolah-olah kita terlibat dalam kehidupan mereka, meneroka dialog mereka, belajar bagaimana gelora sanubari mereka, suka duka mereka ketika berdakwah, kehidupan berkeluarga, dan sebagainya. Ini adalah penting supaya kita masih mempunyai pegangan dan bukan seolah-olah hidup bersendirian, kemudian merasakan seolah-olah kita sahaja yang mengalami masalah. Dengan cara itu, kita akan merasa lebih tenang dan bijak dalam menangani dan menguruskan apa-apa masalah yang dihadapi.
Teruskan belajar dan perbaiki diri termasuklah membaca secara berterusan, mendengar dan merenung Al-Quran, hadis Nabi, serta perjalanan hidup Nabi dan sahabat, dan orang-orang yang bertaqwa. Contohnya, membaca kitab Musnad Fatimah karangan Imam al-Hafizh Jalaluddin as-Suyuthi. Melalui buku ini, kita akan merasai bagaimana onak dan duri kehidupan Rasulullah SAW, Fatimah dan Ali bin Abi Talib seolah-olah kita hidup di tengah-tengah mereka. Tanpa kita sedar, kita akan menitiskan air mata dan dalam masa yang sama kita boleh sedar mengenai sikap kita. Bagaimana sebaik-baik manusia seperti mereka ini hidup secara sederhana tetapi jangan ditanya bagaimana kedudukan mereka di mata Allah SWT.
Kisah mereka sentiasa memberikan inspirasi kepada kita. Selain kisah hidup mereka, kita dapat menghafal kata-kata pendek yang penuh dengan hikmah. Sebagai contoh, ungkapan al-Bushiri dalam Qasidah Burdahnya, mengatakan, “Kam hasanat ladzdzatan li al-mar’i qatilatan (Betapa kenikmatan itu memang menyenangkan, tetapi sebenarnya boleh menjadi pembunuh bagi seseorang).” Isteri yang cantik, kekayaan yang melimpah ruah, pangkat yang tinggi, termasuk nama yang terkenal adalah nikmat yang menyenangkan, tetapi ini boleh menjadi “pembunuh” bagi kita jika kita kehilangan tujuan. Semua itu boleh membuatkan kita terlena dan meninggalkan dakwah.
Begitu juga apabila kita ditimpa musibah, kita sering merasa lemah. Kita juga sering meratapi nasib kita. Di saat seperti itu, kata-kata Wazir Ali bin Musa al-Jarrah, tepat untuk kita renungkan, “Musibah yang pasti balasannya lebih baik daripada nikmat yang tidak disyukuri.” .Kita juga disedarkan bahawa nasib buruk yang kita alami sebenarnya lebih baik, kerana ganjarannya mengalir kepada kita. Malah, kita tidak akan ditanya tentang musibah itu juga. Sebaliknya, nikmat yang kita terima belum tentu lagi menyelamatkan kita, kerana Allah SWT pasti akan mempersoalkan tentang itu. Wallahu’alam.