[Kisah Inspiratif] Abu Hanifah an-Nu’man, Ulama Cerdas yang Hujahnya Kuat
“Siapa lagi yang lebih bersih dari Abu Hanifah dalam hidup dan matinya.” [Khalifah Al-Manshur].
Namanya Nu’man bin Tsabit bin Marzuban yang dikenali dengan Abu Hanifah, ulama yang meletakkan asas-asas fikih dan mengajarkan ilmu-ilmu yang baik. Beliau pernah hidup pada dua masa kekhalifahan Islam, iaitu Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah. Beliau hidup pada masa sebelum berakhirnya Khilafah Bani Umayyah dan awal kekuasaan Bani Abbasiyah. Beliau hidup di suatu masa di mana para khalifah dan gabenor memuliakan para ilmuwan dan ulama sehingga rezeki datang dari segala arah, tanpa mereka sedari.
Salah seorang gurunya ialah Syeikh Hammad bin Abu Sulayman, ulama fikih terkenal yang berasal dari Kufah.Abu Hanifah menuntut ilmu dengan beliau selama 18 tahun.
Imam Abu Hanifah dikenali dengan kecerdasannya. Suatu ketika beliau berjumpa Imam Malik yang sedang duduk bersama beberapa sahabatnya. Setelah Abu Hanifah keluar, Imam Malik menoleh kepada mereka dan berkata, “Tahukah kalian siapa beliau?” Mereka menjawab, “Tidak.”
Beliau berkata, “beliaulah Nu’man bin Tsabit. Seandainya beliau berkata bahawa tiang masjid itu emas, nescaya kata-katanya akan digunakan orang sebagai bahan perdebatan.” Tidak berlebihan apa yang dikatakan Imam Malik dalam menggambarkan diri Abu Hanifah. Hal ini kerana beliau memang memiliki kekuatan dalam berdebat, pemahaman yang cepat, cerdas, dan wawasannya tajam.
Buku sejarah banyak menggambarkan kekuatan perdebatannya dalam menghadapi pihak lawan bicaranya. Juga ketika beliau menghadapi penentang akidah. Semuanya membuktikan kebenaran komentar daripada Imam Malik, “Seandainya beliau mengatakan bahawa tanah di tanganmu itu terdapat emas, maka engkau akan membenarkannya kerana alasannya yang tepat dan mengikuti pernyataannya. “Bagaimana pula jika yang dipertahankan adalah kebenaran, dan perdebatan untuk membela kebenaran?
Sebagai bukti dari pernyataan Imam Malik di atas, terdapat seorang lelaki dari Kufah yang menyesatkan Allah SWT. Beliau merupakan orang yang terhormat dan didengari ucapannya. Lelaki itu menuduh di depan orang ramai bahawa Uthman bin Affan adalah seorang Yahudi, lalu masih menganut Yahudi lagi setelah masuk slam.
Ketika mendengar berita tersebut, Abu Hanifah bergegas menjumpainya dan berkata, “Aku datang kepadamu untuk meminang puterimu yang bernama fulanah untuk seorang sahabatku.”
Beliau berkata, “Selamat atas kedatanganmu. Orang seperti engkau tidak layak ditolak keperluannya, wahai Abu Hanifah. Namun, siapakah peminang itu?” Beliau menjawab, “Seorang yang terkemuka dan dikenali kaya di tengah-tengah kaumnya, dermawan dan ringan tangan, penghafal Al-Quran, menghabiskan malam dengan satu rukuk dan sering menangis kerana takwa dan takutnya kepada Allah.”
Lelaki itu berkata, “Wah. . .wah, cukup Abu Hanifah! Sebahagian dari yang engkau sebutkan sudah cukup untuk meminang seorang puteri Amirul mukminin.” Abu Hanifah berkata, “Hanya saja ada satu perkara yang engkau perlu pertimbangkan.”
Beliau bertanya, “Apakah itu?” Abu Hanifah berkata, “beliau seorang Yahudi.” Mendengar hal tersebut, orang itu terperanjat dan bertanya, “Yahudi? Adakah engkau ingin saya menikahkan puteri saya dengan seorang Yahudi? Demi Allah, aku tak akan menikahkan puteriku dengannya walaupun beliau memiliki segalanya dari yang awal sampai yang akhir.”
Lalu Abu Hanifah berkata, “Engkau menolak pernikahan puterimu dengan seorang Yahudi dan engkau mengingkarinya dengan keras, tetapi kau sebarkan berita kepada orang ramai bahawa Rasulullah SAW telah menikahkan kedua-dua puterinya dengan Yahudi (iaitu Uthman)?”
Seketika itu gementarlah tubuh orang tersebut, lalu berkata, “Astaghfirullah, aku memohon ampun kepada Allah atas kata-kata buruk yang aku ucapkan. Aku bertaubat dari tuduhan busuk yang aku lontarkan.”
Abu Hanifah pernah berjumpa dengan orang-orang atheist yang mengingkari kewujudan Al-Khaliq. Beliau pun berkata kepada mereka,” Bagaimana pendapat kalian, jika ada sebuah kapal memuatkan barangan yang penuh. Lalu kapal itu mengharungi samudera yang gelombangnya kecil dan anginnya tenang. Namun, setelah kapal sampai di tengah-tengah laut, tiba-tiba terjadi badai besar.”
“Yang peliknya ialah kapal itu terus berlayar dengan tenang, sehingga tiba di destinasi sesuai seperti yang telah dirancangkan tanpa goncangan dan membelok arah. Sedangkan tidak ada nahkoda yang mengemudikan dan mengendalikan kapal. Adakah cerita ini masuk akal?”
Mereka berkata, “Tidak mungkin. Itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal, bahkan oleh khalayak ramai sekalipun, wahai Syeikh.” Abu Hanifah pun berkata, “Subhanallah, kalian mengingkari adanya kapal yang berlayar sendiri tanpa pengemudi, tetapi kalian mengakui bahawa alam semesta yang terdiri dari lautan yang membentang, langit yang dipenuhi bintang dan benda-benda yang terdapat di langit, burung yang berterbangan tanpa adanya Pencipta yang sempurna penciptaan-Nya, dan mengaturnya dengan cermat? Celakalah kalian! Lantas apa yang membuatkan kalian ingkar kepada Allah?” Abu Hanifah menghabiskan seluruh hidupnya untuk menyebarkan agama Allah SWT dengan kekuatan perdebatan yang dianugerahkan kepadanya. Melawan kebatilan dengan hujah yang cerdas dan meyakinkan. Lisannya penuh berhikmah. Tutur katanya sememangnya menghujam sesiapapun yang mendengarnya.
https://muslimahnews.net/2022/12/07/15225